KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI M A L A Y S I A
KENYATAAN MEDIA
BAYARAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) BERSIFAT MENYELURUH KEPADA SEMUA PEMILIK KEBUN DAN PENOREH GETAH
Kerajaan tidak pernah mengabaikan pekebun kecil getah ketika harga komoditi tersebut diparas rendah. Kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pekebun kecil getah yang mana pendapatan mereka akan terjejas apabila harga getah merosot. Seperti komoditi lain, getah asli juga berorientasikan eksport dan harganya ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa dan diluar kawalan mana-mana pihak.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ingin menegaskan bahawa penyaluran IPG melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) adalah bersifat menyeluruh kepada semua pemilik kebun dan penoreh getah yang berjumlah lebih 320,000 orang. Oleh itu, Kenyataan tular yang menyatakan berlaku ketidakadilan dalam bayaran IPG adalah tidak berdasarkan fakta sebenar.
Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 yang bersifat serampang dua mata iaitu bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh bagi meningkatkan pengeluaran getah negara.
Bagi menggalakkan pengeluaran getah, penyaluran IPG adalah bersifat menyeluruh yang merangkumi pemilik kebun getah dan juga pengusaha (penoreh) berdasarkan takrifan rasmi semasa pekebun kecil di Malaysia. Penoreh yang mengambil upah menoreh secara pawah (pajakan) juga layak untuk memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dan seterusnya menerima bantuan IPG.
Kerajaan menyalurkan bantuan IPG kepada kedua-dua pemilik dan penoreh dengan mengambil kira keperluan kedua-dua pihak. Pemilik kebun getah memerlukan bantuan IPG bagi membeli input pertanian seperti baja dan racun serta penyelenggaraan kebun. Manakala penoreh getah memerlukan bantuan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Kenyataan baru-baru ini mengenai peruntukan Kerajaan untuk IPG berjumlah RM2 bilion dan bayaran IPG berjumlah RM575 juta sejak 2015 hingga 2022 adalah tidak tepat. Rekod sebenar perbelanjaan IPG oleh Kerajaan adalah sebanyak RM446 juta telah disalurkan kepada pekebun kecil seluruh negara sejak 2015 hingga kini.
Tiada sebarang karenah birokrasi dalam penyaluran bantuan IPG oleh LGM. Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG telah dibuat secara terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM ataupun RISDA. Pekebun kecil yang memiliki PAT-G diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM.
Pekebun kecil adalah seseorang yang memiliki dan mengusahakan satu atau lebih kebun getah yang jumlah keseluruhannya tidak melebihi 40.46 hektar. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, pekebun kecil diwajibkan memiliki PAT-G. PAT-G merupakan permit jualan getah yang dikeluarkan secara percuma oleh LGM. Dengan adanya PAT-G, ia bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, malah dapat membantu mempermudahkan penyaluran bantuan Kerajaan kepada pekebun kecil.
Walaupun bayaran IPG telah dibayar secara automatik, terdapat segelintir pekebun kecil yang gagal untuk menerima bayaran disebabkan masalah akaun bank yang tidak aktif dan PAT-G yang tamat tempoh.
Bagi menangani isu ini, LGM sentiasa komited turun ke lapangan melalui pembukaan kaunter One Stop Centre (OSC) di seluruh Malaysia bagi menyantuni pekebun kecil dalam mempermudahkan urusan PAT-G dan IPG. Terkini bagi negeri Kedah, kaunter OSC telah dibuka di Baling, Sik, Bukit Selambau, Jitra, Padang Terap dan Kuala Nerang. Malahan kaunter OSC juga telah diadakan di negeri-negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
Saranan sesetengah pihak supaya sebahagian dana IPG dikeluarkan dan disalurkan dibawah Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) adalah tidak sesuai. Ini kerana objektif pelaksanaan BMT dan IPG adalah berbeza. BMT adalah bantuan secara sekali beri (one-off) bagi membantu pendapatan pekebun kecil yang terjejas ketika musih tengkujuh. Manakala IPG adalah bantuan secara berterusan bagi menggalakkan pekebun kecil kekal menoreh dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
KPK dan LGM sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pekebun kecil getah dipelihara dan memastikan bantuan bersifat adil dan saksama kepada semua golongan sasar. Kerajaan juga sedang meneliti beberapa inisiatif atau projek berimpak tinggi yang sedia dan berpotensi dilaksanakan khususnya dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah.
KENYATAAN MEDIA TPM FADILLAH YUSOF TERIMA KUNJUNGAN HORMAT SETIAUSAHA KEWANGAN HONG KONG, PAUL CHAN MO-PO
Pada pagi Selasa, 28 Mac 2023, saya telah menerima kunjungan hormat daripada rakan sejawat saya, Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, bangunan Parlimen.
Perjumpaan ini merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama di antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh 3 tahun.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut disertai oleh En. Abdul Hadi Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Cik Belvinder Kaur Sron, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan para pegawai daripada KPK.
Seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke rantau Asia, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi detinasi eksport Malaysia yang ke-5 terbesar. Nilai dagangan di antara Malaysia dengan Hong Kong juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 20% pada tahun 2022, iaitu daripada USD21.68 billion pada 2021 kepada USD25.69 billion pada 2022.
Dalam pertemuan itu saya telah menyentuh mengenai kepentingan memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan, agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan, dan ekonomi digital.
Paul Chan Mo-Po turut menjemput saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hub ekonomi terbaharu iaitu the Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao. GBA ini merupakan sebuah kawasan yang mempunyai potensi besar pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.
Malaysia berharap kunjungan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.
Dato’ Sri Fadillah Yusof Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi 28 Mac 2023
1. Merujuk kepada laporan akhbar bertajuk “Tiada lagi hasil getah Malaysia?” disiarkan oleh akhbar Berita Harian, yang menyentuh mengenai harga getah rendah dan berterusan tidak stabil, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan bahawa Kerajaan sentiasa komited dalam membantu pekebun kecil khususnya yang terlibat dalam sektor getah.
2. Harga produk ini adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa. Selain itu, antara faktor-faktor lain yang mempengaruhi harga getah asli adalah seperti prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeluar serta pengimport utama getah dunia.
3. KPK telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG), yang diperkenalkan sejak 2015 sehingga 31 Disember 2022. Sehingga kini, bantuan telah diagihkan kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara dengan nilai berjumlah RM446 juta (Semenanjung - RM313 juta; Sarawak - RM4juta dan Sabah - RM129 juta). Terkini, Kerajaan juga telah bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350juta.
4. Kerajaan turut telah memperkenalkan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). Setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga akan menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off).
5. Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga telah menambah baik proses pembayaran bagi memudahkan penyaluran bantuan seperti IPG dan IPL. Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG telah dibuat secara terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM. Pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM yang mengguna pakai aplikasi RRIMniaga. RRIMniaga merupakan satu aplikasi telefon pintar yang dibangunkan oleh LGM untuk merekodkan urus niaga jual beli getah. Ia juga dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.
6. Bagi menghadapi cabaran kekurangan buruh asing dan menarik minat generasi pelapis, LGM telah memperkenalkan konsep pembangunan getah secara berkelompok. Kolaborasi strategik antara kerajaan dan entiti bukan kerajaan atau syarikat swasta telah perkenalkan melalui penambahbaikan model dan struktur operasi pekebun kecil dan rangkaian bekalan getah di peringkat huluan. Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain dapat menarik minta generasi pelapis untuk berkerjaya dalam industri getah. Projek ini yang dikenali sebagai Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dijangka bukan sahaja membantu golongan muda tetapi turut memberi pulangan yang baik kepada pekebun kecil getah.
7. Kerajaan tidak ketandusan teknologi baru dalam membangunkan industri getah negara. LGM telah mengambil inisiatif dalam menggalakkan aktiviti R&D untuk penghasilan klon-klon getah yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan automasi dalam sektor huluan industri getah . Kajian yang mendalam dalam sektor hiliran khususnya bagi penghasilan produk-produk berasaskan getah yang bernilai tambah turut dilaksanakan.
8. Bagi meningkatkan penggunaan getah asli di Malaysia, Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk penggunaan Cuplump Modified Bitumin (CMB) untuk penyelenggaraan jalan di dalam Belanjawan 2023. Ini merupakan salah satu teknologi yang dibangunkan oleh LGM.
9. Kementerian mengalu-alukan cadangan dan saranan yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) ke arah meningkatkan industri getah negara. Untuk makluman berhubung saranan supaya semua agensi berkepentingan mahupun industri untuk duduk bersama adalah satu pendekatan yang sentiasa diamalkan oleh KPK. Kerajaan sentiasa komited dalam merangka dasar dan strategi untuk meningkatkan daya saing dan daya maju industri getah negara.
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI MESYUARAT PERTAMA MAJLIS BIODIVERSITI NEGARA
22 MAC 2023
1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN1) pada 22 Mac 2023. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 7 orang YB Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan serta YAB Menteri Besar Perak, YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak; dan 11 orang Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Semenanjung Malaysia.
2. Majlis Biodiversiti Negara (MBN) merupakan platform utama bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membincangkan hala tuju dan strategi biodiversiti di peringkat kebangsaan.
3. Sebanyak 3 Kertas Pertimbangan dan 4 Kertas Makluman yang merangkumi inisiatif konservasi biodiversiti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah dibentangkan dan MBN1 bersetuju dengan Terma Rujukan Majlis Biodiversiti Negara; dan penyelarasan Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025. MBN1 juga bersetuju supaya penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (Malaysia Biodiversity Centre - MBC) diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi meningkatkan pengurusan biodiversiti negara dan merealisasikan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semulajadi Malaysia (Natural History Museum Malaysia).
4. MBN1 turut mengambil maklum mengenai status konflik manusia dan hidupan liar di Semenanjung Malaysia; cadangan usaha konservasi spesies pokok Gelam (Melaleuca cajuputi); pelaksanaan akses dan perkongsian faedah di Sabah; dan projek Sarawak Reef Ball.
5. MBN1 menekankan kepentingan mengarusperdana pengurusan biodiversiti melalui pendekatan keseluruhan negara (whole-ofnation approach). Keputusan MBN1 ini seterusnya akan dibentangkan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
6. Saya telah berkesempatan menanam pokok Cempaka Hutan (Gardenia carinata) di laman Kompleks Parlimen Malaysia sebagai simbolik dan tanda sokongan kepada usaha pemuliharaan biodiversiti negara sempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun.
7. Saya juga telah melancarkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) bagi menghubung, mengekalkan dan memelihara serta memulihara kawasan-kawasan hutan yang terpisah di Semenanjung Malaysia di kawasan Central Forest Spine (CFS).
8. Saya yakin kesepakatan dalam mengukuhkan pengurusan biodiversiti negara melalui MBN akan meningkatkan lagi imej dan reputasi negara dalam pengurusan biodiversiti yang akan menjadi senjata ampuh dalam mematahkan kempen-kempen negatif yang dibuat oleh pihak luar bagi mencemar nama baik negara khususnya apabila menyentuh mengenai sektor perladangan dan komoditi negara.
DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 22 MAC 2023
KENYATAAN MEDIA UPACARA PENGHANTARAN GERMINATED SEEDLING (GS) KE HONDURAS OLEH MAJLIS NEGARA-NEGARA PENGELUAR MINYAK SAWIT (CPOPC)
Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries - CPOPC) bersama-sama pemain industri dari Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak 102,000 biji benih bercambah kelapa sawit (Germinated Seedling - GS) kepada Honduras yang dilanda bencana ribut taufan Eta dan Iota pada bulan November 2020. Sumbangan ini adalah susulan permohonan daripada Secretary of State in Dispatch of Agriculture and Livestock of the Republic of Honduras (SAG) kepada Ketua Setiausaha CPOPC.
CPOPC dan pemain industri Indonesia masing-masing menyumbang sebanyak 20,000 dan 62,000 GS. Manakala Malaysia melalui Minamas Plantation menyumbang sebanyak 20,000 GS. Sumbangan ini dijangka akan membantu pekebun-pekebun kecil sawit di Honduras untuk membina semula hidup mereka yang telah terkesan akibat bencana ribut taufan tersebut. Proses penghantaran GS ini dilakukan melalui udara dari Jakarta, Indonesia dan dijangka akan mendarat di San Pedro Sula, Honduras pada 27 Mac 2023.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia yang juga Pengerusi CPOPC, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, menyatakan bahawa sumbangan ini melambangkan kerjasama erat di antara negaranegara pengeluar minyak sawit. Sumbangan ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada Honduras yang kini telah memuktamadkan proses accession dan dijangka menjadi negara ke-3 ahli penuh CPOPC pada bulan Mei 2023.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berharap usaha ini akan membantu memperkukuh hubungan dalam kalangan negara ahli-ahli CPOPC.