SIARAN MEDIA


PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENSIJILAN KAYU: EXPLORING
FUTURE FRONTIERS BENTANG HASIL PENYELIDIKAN
PELAKSANAAN PENSIJILAN HUTAN


Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pensijilan Kayu: Exploring Future Frontiers di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Persidangan antarabangsa ini merupakan anjuran bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC). Persidangan selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.


Persidangan antarabangsa yang turut diadakan secara hibrid ini membentangkan hasil Projek Penyelidikan The Impact of Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) on Forest Management, Industry and Trade yang telah dilaksanakan oleh MTCC dan LESTARI selama tiga tahun yang bermula pada akhir tahun 2019. Objektif persidangan ini adalah:


i. memberi gambaran secara keseluruhan pengalaman dalam pelaksanaan MTCS di Malaysia;


ii. menjadi platform perkongsian pengalaman negara-negara lain dalam pelaksanaan pensijilan hutan;


iii. meneroka idea untuk mengarusperdanakan pensijilan hutan melalui penerimaan oleh industri dalam perdagangan dan pasaran kayu domestik dan global; dan


iv. mewujudkan pilihan dan keyakinan serta keterdapatan produk kayu mampan dalam pasaran domestik dan global.


Sejak Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992, kepentingan hutan untuk mengekalkan integriti ekologi bumi semakin ditekankan, dan ini dimeterai dalam Matlamat dan Sasaran Hutan Global di bawah Pelan Strategik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hutan 2030. Perkembangan ini adalah seiring dengan peningkatan permintaan terhadap bahan dan sumber binaan yang boleh diperbaharui dan mesra alam. Selain itu, memandangkan terdapat perubahan ke atas keperluan kawal selia serta permintaan pengguna dan pasaran global, kepentingan pensijilan kayu amat kritikal dalam memastikan pengurusan hutan lestari dan pengeluaran produk kayu dari sumber yang mampan kekal efektif dan inovatif.


Persidangan ini memberi tumpuan kepada tiga tema iaitu;


i. Mengarusperdanakan Pensijilan Kayu untuk Pengurusan Hutan Mampan, Perindustrian dan Perdagangan yang membincangkan pelaksanaan dasar, termasuk perkongsian pengalaman komuniti dan industri. Sesi ini diketuai oleh Cik Sheam Satkuru, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) sebagai penyampai ucaptama;


ii. Inisiatif untuk Kelestarian Masa Hadapan Pensijilan Kayu yang memfokuskan kepada inisiatif lain yang menyokong pematuhan pensijilan pengurusan hutan dan rantaian jagaan serta memastikan keberkesanan amalan mampan dalam industri perhutanan dan perkayuan di Malaysia. Ucaptama bagi sesi ini telah disampaikan oleh Dr. Michael Berger, Ketua Pegawai Eksekutif Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC); dan


iii. Pelengkap dalam Pensijilan Kayu Mampan Menjelang dan Melangkau Tahun 2030 mengkongsikan pengalaman dan strategi negara lain dalam melaksanakan pensijilan kayu dan tindak balas terhadap permintaan global untuk produk dan perkhidmatan yang mampan.


Sejak permulaan pada tahun 2001, MTCS terus berkembang melalui proses penambahbaikan dan penglibatan berterusan dengan semua pihak berkepentingan berkaitan perhutanan. Sehingga 31 Disember 2022, terdapat 37 unit pengurusan hutan dengan sejumlah 5.81 juta hektar hutan dan 360 syarikat rantaian jagaan yang dipersijilkan di bawah MTCS.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 MAC 2023