KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
 M A L A Y S I A
KENYATAAN MEDIA
KERAJAAN KOMITED BANTU PEKEBUN KECIL GETAH
 
1. Merujuk kepada laporan akhbar bertajuk “Tiada lagi hasil getah Malaysia?” disiarkan oleh akhbar Berita Harian, yang menyentuh mengenai harga getah rendah dan berterusan tidak stabil, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan bahawa Kerajaan sentiasa komited dalam membantu pekebun kecil khususnya yang terlibat dalam sektor getah.
2. Harga produk ini adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa. Selain itu, antara faktor-faktor lain yang mempengaruhi harga getah asli adalah seperti prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeluar serta pengimport utama getah dunia.
3. KPK telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG), yang diperkenalkan sejak 2015 sehingga 31 Disember 2022. Sehingga kini, bantuan telah diagihkan kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara dengan nilai berjumlah RM446 juta (Semenanjung - RM313 juta; Sarawak - RM4juta dan Sabah - RM129 juta). Terkini, Kerajaan juga telah bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350juta.
4. Kerajaan turut telah memperkenalkan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). Setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga akan menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off).
5. Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga telah menambah baik proses pembayaran bagi memudahkan penyaluran bantuan seperti IPG dan IPL. Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG telah dibuat secara terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM. Pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM yang mengguna pakai aplikasi RRIMniaga. RRIMniaga merupakan satu aplikasi telefon pintar yang dibangunkan oleh LGM untuk merekodkan urus niaga jual beli getah. Ia juga dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.
6. Bagi menghadapi cabaran kekurangan buruh asing dan menarik minat generasi pelapis, LGM telah memperkenalkan konsep pembangunan getah secara berkelompok. Kolaborasi strategik antara kerajaan dan entiti bukan kerajaan atau syarikat swasta telah perkenalkan melalui penambahbaikan model dan struktur operasi pekebun kecil dan rangkaian bekalan getah di peringkat huluan. Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain dapat menarik minta generasi pelapis untuk berkerjaya dalam industri getah. Projek ini yang dikenali sebagai Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dijangka bukan sahaja membantu golongan muda tetapi turut memberi pulangan yang baik kepada pekebun kecil getah.
7. Kerajaan tidak ketandusan teknologi baru dalam membangunkan industri getah negara. LGM telah mengambil inisiatif dalam menggalakkan aktiviti R&D untuk penghasilan klon-klon getah yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan automasi dalam sektor huluan industri getah . Kajian yang mendalam dalam sektor hiliran khususnya bagi penghasilan produk-produk berasaskan getah yang bernilai tambah turut dilaksanakan.
8. Bagi meningkatkan penggunaan getah asli di Malaysia, Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk penggunaan Cuplump Modified Bitumin (CMB) untuk penyelenggaraan jalan di dalam Belanjawan 2023. Ini merupakan salah satu teknologi yang dibangunkan oleh LGM.
9. Kementerian mengalu-alukan cadangan dan saranan yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) ke arah meningkatkan industri getah negara. Untuk makluman berhubung saranan supaya semua agensi berkepentingan mahupun industri untuk duduk bersama adalah satu pendekatan yang sentiasa diamalkan oleh KPK. Kerajaan sentiasa komited dalam merangka dasar dan strategi untuk meningkatkan daya saing dan daya maju industri getah negara.
 
 
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 MAC 2023