KENYATAAN MEDIA SENARIO HARGA GETAH SEMASA DAN USAHA KERAJAAN DALAM MEMBANTU MERINGANKAN BEBAN PEKEBUN KECIL GETAH SEMASA KEJATUHAN HARGA GETAH
1. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ingin merujuk kepada berita yang disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 14 Januari 2023 berhubung kejatuhan harga getah. Kementerian amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan kesannya kepada pekebun kecil getah dan penoreh di seluruh negara terutama dalam mendepani kehidupan tatkala berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
2. Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa faktor penurunan harga getah adalah berkait rapat dengan pelbagai faktor. Antaranya adalah berikutan prospek ekonomi global yang lembap, peningkatan bekalan getah asli, penurunan harga minyak mentah (mempengaruhi permintaan getah sintetik berbanding getah asli dalam pembuatan produk getah), kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China dan ketidaktentuan daripada konflik RusiaUkraine. Faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global tersebut memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah di pasaran. Malaysia tidak mempunyai kedudukan yang kuat sebagai pengeluar untuk melakukan intervensi meningkatkan harga getah secara unilateral di pasaran antarabangsa. Ini kerana negara kini hanya mengeluarkan 4% daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.
3. Walau bagaimanapun, dalam usaha bagi membantu penoreh getah dan pekebun kecil getah, pihak Kementerian dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengadakan siri perbincangan melibatkan pelbagai Kementerian dan agensi berkaitan untuk mengurangkan impak kejatuhan harga getah.
4. Usaha-usaha dan langkah-langkah kerajaan bagi membantu para pekebun getah dalam menghadapi situasi kejatuhan harga getah dan kos sara hidup yang meningkat adalah: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh. Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50% kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga Disember 2022, IPG telah diagihkan kepada 202,533 pekebun kecil di seluruh negara dengan perbelanjaan berjumlah RM446 juta; Pelaksanaan MyROL MyROL merupakan salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian. Kombinasi ciri-ciri di dalam MyROL seperti urusniaga yang telus, tanpa sempadan dan kewujudan pesaing melalui penglibatan lebih ramai pembeli, secara tidak langsung mendorong pencapaian harga tawaran yang lebih kompetitif kepada pekebun kecil. Terkini, terdapat 11 pusat jualan getah di sekitar Kelantan, Perak dan Pahang telah menggunakan MyROL dalam urusniaga mereka dan ini telah memanfaatkan kira-kira 700 pekebun kecil. Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) Objektif program IPL adalah untuk memberi peluang kepada pekebun kecil getah untuk menambah pendapatan dengan memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan pengeluaran lateks selain menggalakkan pekebun kecil beralih kepada menghasilkan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap (cuplump). Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM 1.00/kg bagi 100% kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM 850 bagi setiap hektar secara one-off. Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) Pelaksanaan Projek TARGET melalui konsep koperasi pekebun dan pengusaha ladang getah tempatan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan melalui penglibatan pekebun dalam rantaian industri getah (integrasi menegak). Projek ini dijangka dapat menambah nilai getah dan memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil.
5. Selain itu, KPK melalui LGM telah memperkenalkan beberapa mekanisma / inovasi bagi memastikan agihan bantuan kepada pekebun kecil dapat dilakukan dengan cekap seperti berikut: Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G merupakan pengenalan kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang memiliki atau mengusahakan kebun getah. Dengan adanya pengenalan ini, ianya bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, namun bertindak sebagai pemudahcara kepada setiap pelaksanaan program dan inisiatif yang dijalankan kerajaan melibatkan pekebun kecil getah; dan Penggunaan RRIMniaga RRIMniaga adalah inovasi LGM yang merupakan satu aplikasi telefon pintar yang dapat memudahkan urusniaga getah oleh peniaga getah yang berdaftar dengan LGM. Selain itu, rekod transaksi urusniaga adalah lebih telus dan ini membantu pemantauan di peringkat LGM. Proses penyaluran bantuan seperti tuntutan IPG dan IPL bagi pemohon yang layak juga adalah lebih mudah kerana dapat dilakukan secara automatik dalam talian.
6. Kementerian Perladangan dan Komoditi amat memahami situasi yang dialami oleh pekebun kecil dan akan memastikan program serta aktiviti yang lebih tuntas dilaksanakan agar dapat meringankan beban pekebun kecil khususnya semasa kejatuhan harga getah. KPK dan LGM akan meneruskan usaha bersama dengan Kementerian dan agensi berkaitan bagi mewujudkan dasar yang lebih strategik dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah seluruh negara.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 15 JANUARI 2023
SIARAN MEDIA KUNJUNGAN RASMI TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI KE LEMBAGA LADA MALAYSIA (MPB) CAWANGAN SIBU, SARAWAK
1. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah memulakan siri lawatan dan kerja rasmi ke Sarawak dalam usaha untuk merapatkan hubungan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
2. Menerusi siri lawatan dan kerja rasmi pada 6 Januari 2023, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah berkunjung ke salah satu agensi bawah KPK iaitu Lembaga Lada Malaysia (MPB) di pejabat cawangan dalam daerah Sibu, Sarawak.
3. Sehingga kini, MPB memiliki sembilan (9) buah pejabat cawangan di seluruh negeri Sarawak yang diselia oleh Pejabat Wilayah Sarawak iaitu di Serian, Sri Aman, Betong, Bintangor, Sarikei, Bintulu, Miri, Belaga dan Sibu serta dua (2) buah pejabat wilayah masing – masing di Semenanjung Malaysia (Johor) dan juga Sabah (Kota Kinabalu).
4. MPB Sibu secara khususnya berperanan dalam menyelia aktiviti industri lada yang meliputi kawasan Sibu, Mukah dan Kapit (kecuali daerah Belaga yang diselia oleh MPB Belaga). Antara fasiliti yang terdapat di MPB Sibu termasuklah Loji Pemprosesan Kering dan Basah dan Loji Rawatan Haba bagi aktiviti pemprosesan lada serta Makmal Kawalan Kualiti.
5. Aktiviti - aktiviti yang dijalankan di premis ini termasuklah perkhidmatan kawalan kualiti dan penggredan, aktiviti pemprosesan lada, selain melaksanakan Program Pembangunan Penanaman Lada dengan mengagihkan input pertanian, perkakasan ladang, dan bantuan infrastruktur ladang.
6. MPB Sibu telah berjaya mendapat pengiktirafan Sijil Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah memenuhi syarat-syarat bagi perlaksanaan sistem HACCP untuk produk Steam treated Black Pepper/ White Pepper. Akreditasi seumpama ini penting bagi menjamin kredibiliti dan keselamatan produk lada yang dihasilkan berlandaskan prosedur pelaksanaan HACCP.
7. Makmal Analisa MPB Sibu di bawah Cawangan Kawalan Kualiti juga telah berjaya mendapatkan akreditasi melalui pensijilan MS ISO/IEC 17025:2017 (Skop Kimia). Akreditasi ini menunjukkan keupayaan skop analisa dan kualiti pengurusan Makmal Analisa MPB diiktiraf dan beroperasi mengikut piawaian dan standard antarabangsa.
8. Untuk rekod, jumlah kawasan penanaman lada di Bahagian Sibu adalah seluas 494.83 hektar dengan jumlah pekebun kecil lada seramai 3,402 orang pekebun.
9. Sepanjang tahun 2022, MPB Sibu telah mengagihkan sejumlah RM7.6 juta bantuan lada kepada 346 orangpekebun kecil lada yang layak bagi kawasan seliaan MPB Sibu. Daripada jumlah tersebut seramai 96 orang merupakan penerima Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) yang berjumlah RM3.3 juta, manakala seramai 250 orang pula menikmati manfaat daripada Skim Tanaman Lada Matang (STLM) yang berjumlah RM4.2 juta.
10. Sepanjang tahun 2022, Pusat Pemprosesan Lada MPB Sibu telah memproses sebanyak 928.67 metrik tan lada hitam dan lada putih bagi tujuan eksport.
11. Kerajaan akan terus membantu menaik taraf kehidupan para pekebun kecil lada di seluruh negara khususnya di negeri Sarawak melalui penyaluran pelbagai bantuan disamping terus memperkasa peranan MPB selaku badan yang mengawal selia aktiviti industri lada di negara ini.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 6 JANUARI 2023