KENYATAAN MEDIA
UPACARA PENGHANTARAN GERMINATED SEEDLING (GS) KE
HONDURAS OLEH MAJLIS NEGARA-NEGARA PENGELUAR MINYAK
SAWIT (CPOPC)


Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries - CPOPC) bersama-sama pemain industri dari Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak 102,000 biji benih bercambah kelapa sawit (Germinated Seedling - GS) kepada Honduras yang dilanda bencana ribut taufan Eta dan Iota pada bulan November 2020. Sumbangan ini adalah susulan permohonan daripada Secretary of State in Dispatch of Agriculture and Livestock of the Republic of Honduras (SAG) kepada Ketua Setiausaha CPOPC.


CPOPC dan pemain industri Indonesia masing-masing menyumbang sebanyak 20,000 dan 62,000 GS. Manakala Malaysia melalui Minamas Plantation menyumbang sebanyak 20,000 GS. Sumbangan ini dijangka akan membantu pekebun-pekebun kecil sawit di Honduras untuk membina semula hidup mereka yang telah terkesan akibat bencana ribut taufan tersebut. Proses penghantaran GS ini dilakukan melalui udara dari Jakarta, Indonesia dan dijangka akan mendarat di San Pedro Sula, Honduras pada 27 Mac 2023. 

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia yang juga Pengerusi CPOPC, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, menyatakan bahawa sumbangan ini melambangkan kerjasama erat di antara negaranegara pengeluar minyak sawit. Sumbangan ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada Honduras yang kini telah memuktamadkan proses accession dan dijangka menjadi negara ke-3 ahli penuh CPOPC pada bulan Mei 2023.


YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berharap usaha ini akan membantu memperkukuh hubungan dalam kalangan negara ahli-ahli CPOPC.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 MAC 2023