KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN  KOMODITI M A L A Y S I A

KENYATAAN MEDIA

 

 

BAYARAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) BERSIFAT MENYELURUH KEPADA SEMUA PEMILIK KEBUN DAN PENOREH GETAH

 

Kerajaan tidak pernah mengabaikan pekebun kecil getah ketika harga komoditi tersebut diparas rendah. Kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pekebun kecil getah yang mana pendapatan mereka akan terjejas apabila harga getah merosot. Seperti komoditi lain, getah asli juga berorientasikan eksport dan harganya ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa dan diluar kawalan mana-mana pihak.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ingin menegaskan bahawa penyaluran IPG melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) adalah bersifat menyeluruh kepada semua pemilik kebun dan penoreh getah yang berjumlah lebih 320,000 orang. Oleh itu, Kenyataan tular yang menyatakan berlaku ketidakadilan dalam bayaran IPG adalah tidak berdasarkan fakta sebenar.

Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 yang bersifat serampang dua mata iaitu bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh bagi meningkatkan pengeluaran getah negara.

Bagi menggalakkan pengeluaran getah, penyaluran IPG adalah bersifat menyeluruh yang merangkumi pemilik kebun getah dan juga pengusaha (penoreh) berdasarkan takrifan rasmi semasa pekebun kecil di Malaysia. Penoreh yang mengambil upah menoreh secara pawah (pajakan) juga layak untuk memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dan seterusnya menerima bantuan IPG. 

Kerajaan menyalurkan bantuan IPG kepada kedua-dua pemilik dan penoreh dengan mengambil kira keperluan kedua-dua pihak.  Pemilik kebun getah memerlukan bantuan IPG bagi membeli input pertanian seperti baja dan racun serta penyelenggaraan kebun. Manakala penoreh getah memerlukan bantuan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kenyataan baru-baru ini mengenai peruntukan Kerajaan untuk IPG berjumlah RM2 bilion dan bayaran IPG berjumlah RM575 juta sejak 2015 hingga 2022 adalah tidak tepat. Rekod sebenar perbelanjaan IPG oleh Kerajaan adalah sebanyak RM446 juta telah disalurkan kepada pekebun kecil seluruh negara sejak 2015 hingga kini.

 

Tiada sebarang karenah birokrasi dalam penyaluran bantuan IPG oleh LGM. Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG telah dibuat secara terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM ataupun RISDA. Pekebun kecil yang memiliki PAT-G diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM.

 

Pekebun kecil adalah seseorang yang memiliki dan mengusahakan satu atau lebih kebun getah yang jumlah keseluruhannya tidak melebihi 40.46 hektar. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, pekebun kecil diwajibkan memiliki PAT-G. PAT-G merupakan permit jualan getah yang dikeluarkan secara percuma oleh LGM. Dengan adanya PAT-G, ia bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, malah dapat membantu mempermudahkan penyaluran bantuan Kerajaan kepada pekebun kecil.

Walaupun bayaran IPG telah dibayar secara automatik, terdapat segelintir pekebun kecil yang gagal untuk menerima bayaran disebabkan masalah akaun bank yang tidak aktif dan PAT-G yang tamat tempoh.

Bagi menangani isu ini, LGM sentiasa komited turun ke lapangan melalui pembukaan kaunter One Stop Centre (OSC) di seluruh Malaysia bagi menyantuni pekebun kecil dalam mempermudahkan urusan PAT-G dan IPG. Terkini bagi negeri Kedah, kaunter OSC telah dibuka di Baling, Sik, Bukit Selambau, Jitra, Padang Terap dan Kuala Nerang. Malahan kaunter OSC juga telah diadakan di negeri-negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

 

Saranan sesetengah pihak supaya sebahagian dana IPG dikeluarkan dan disalurkan dibawah Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) adalah tidak sesuai. Ini   kerana objektif pelaksanaan BMT dan IPG adalah berbeza. BMT adalah bantuan secara sekali beri (one-off) bagi membantu  pendapatan pekebun kecil yang terjejas ketika musih tengkujuh. Manakala IPG adalah bantuan secara berterusan bagi menggalakkan pekebun kecil kekal menoreh dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

KPK dan LGM sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pekebun kecil getah dipelihara dan memastikan bantuan bersifat adil dan saksama kepada semua golongan sasar. Kerajaan juga sedang meneliti beberapa inisiatif atau projek berimpak tinggi yang sedia dan berpotensi dilaksanakan khususnya dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

31 Mac 2023