SIARAN MEDIA
WOOD & LIFESTYLE FAIR (WLF)
(MTIB 50 TAHUN TEGUH SEIRING USIA)
MALAYSIA GRAND BAZAAR, KUALA LUMPUR

YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II & Menteri Perladangan dan Komoditi, hari ini merasmikan pameran Wood & Lifestyle Fair (WLF) (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) bertempat di Malaysia Grand Bazaar (MGB), Kuala Lumpur. Pameran ini diadakan sempena sambutan Jubli Emas Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang ke 50 tahun pada 1 Jun 2023. WLF (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) akan berlangsung mulai hari ini sehingga 12 Mac 2023.


Pelbagai acara telah dirancang bersempena sambutan Jubli Emas MTIB. Pameran ini juga merupakan kolaborasi MTIB bersama Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) dan Jaringan Usahawan Laser Bumiputera (JULB). Penganjuran WLF (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) merupakan satu platform promosi dan jualan untuk usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan.


Pameran ini juga akan menjadi hab kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera dalam memacu industri perabot dan kraf kayu ke peringkat yang lebih tinggi serta berdaya saing. Pameran ini melibatkan sebanyak 20 usahawan perkayuan bumiputera yang terdiri daripada usahawan perabot kayu, laser, ukiran kayu, produk biokomposit dan produk gaharu. Pameran ini turut dijangka akan menarik seramai 20,000 orang pengunjung.


Pelbagai aktiviti yang menarik telah diaturkan sepanjang berlangsungnya pameran ini selama empat hari. Antaranya adalah demonstrasi produk ukiran kayu dari usahawan Bumiputera, sesi taklimat oleh Key Opinion Leader (KOL) dalam industri perkayuan, padanan pekerjaan dan pendidikan dalam industri perkayuan, “From Waste to Wealth Activities”, sesi padanan perniagaan dan pameran woodcraft dan perabot kayu, produk biokomposit serta produk-produk gaharu.


Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi MTIB akan terus mempergiatkan pelaksanaan program bagi agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai misi nasional dan Kerajaan. KPK juga sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera industri perkayuan agar mampu bersaing secara kompetitif di peringkat global. Pemerkasaan Bumiputera juga menjadi salah satu teras utama fokus KPK di dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030) iaitu di bawah teras Keterangkuman: Meningkatkan penyertaan Bumiputera dan menjaga kesejahteraan pekebun kecil.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
9 MAC 2023