KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
TPM FADILLAH YUSOF TERIMA KUNJUNGAN HORMAT
SETIAUSAHA KEWANGAN HONG KONG, PAUL CHAN MO-PO
 

Pada pagi Selasa, 28 Mac 2023, saya telah menerima kunjungan hormat daripada rakan sejawat saya, Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, bangunan Parlimen.

Perjumpaan ini merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama di antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh 3 tahun.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut disertai oleh En. Abdul Hadi Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Cik Belvinder Kaur Sron, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan para pegawai daripada KPK.

Seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke rantau Asia, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi detinasi eksport Malaysia yang ke-5 terbesar. Nilai dagangan di antara
Malaysia dengan Hong Kong juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 20% pada tahun 2022, iaitu daripada USD21.68 billion pada 2021 kepada USD25.69 billion pada 2022.

Dalam pertemuan itu saya telah menyentuh mengenai kepentingan memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan, agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan, dan ekonomi digital.

Paul Chan Mo-Po turut menjemput saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hub ekonomi terbaharu iaitu the Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao. GBA ini merupakan sebuah kawasan yang mempunyai potensi besar pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

Malaysia berharap kunjungan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.

Dato’ Sri Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan
Komoditi
28 Mac 2023