INFO SIARAN MEDIA

SIARAN MEDIA


PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENSIJILAN KAYU: EXPLORING
FUTURE FRONTIERS BENTANG HASIL PENYELIDIKAN
PELAKSANAAN PENSIJILAN HUTAN


Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pensijilan Kayu: Exploring Future Frontiers di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Persidangan antarabangsa ini merupakan anjuran bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC). Persidangan selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.


Persidangan antarabangsa yang turut diadakan secara hibrid ini membentangkan hasil Projek Penyelidikan The Impact of Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) on Forest Management, Industry and Trade yang telah dilaksanakan oleh MTCC dan LESTARI selama tiga tahun yang bermula pada akhir tahun 2019. Objektif persidangan ini adalah:


i. memberi gambaran secara keseluruhan pengalaman dalam pelaksanaan MTCS di Malaysia;


ii. menjadi platform perkongsian pengalaman negara-negara lain dalam pelaksanaan pensijilan hutan;


iii. meneroka idea untuk mengarusperdanakan pensijilan hutan melalui penerimaan oleh industri dalam perdagangan dan pasaran kayu domestik dan global; dan


iv. mewujudkan pilihan dan keyakinan serta keterdapatan produk kayu mampan dalam pasaran domestik dan global.


Sejak Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992, kepentingan hutan untuk mengekalkan integriti ekologi bumi semakin ditekankan, dan ini dimeterai dalam Matlamat dan Sasaran Hutan Global di bawah Pelan Strategik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hutan 2030. Perkembangan ini adalah seiring dengan peningkatan permintaan terhadap bahan dan sumber binaan yang boleh diperbaharui dan mesra alam. Selain itu, memandangkan terdapat perubahan ke atas keperluan kawal selia serta permintaan pengguna dan pasaran global, kepentingan pensijilan kayu amat kritikal dalam memastikan pengurusan hutan lestari dan pengeluaran produk kayu dari sumber yang mampan kekal efektif dan inovatif.


Persidangan ini memberi tumpuan kepada tiga tema iaitu;


i. Mengarusperdanakan Pensijilan Kayu untuk Pengurusan Hutan Mampan, Perindustrian dan Perdagangan yang membincangkan pelaksanaan dasar, termasuk perkongsian pengalaman komuniti dan industri. Sesi ini diketuai oleh Cik Sheam Satkuru, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) sebagai penyampai ucaptama;


ii. Inisiatif untuk Kelestarian Masa Hadapan Pensijilan Kayu yang memfokuskan kepada inisiatif lain yang menyokong pematuhan pensijilan pengurusan hutan dan rantaian jagaan serta memastikan keberkesanan amalan mampan dalam industri perhutanan dan perkayuan di Malaysia. Ucaptama bagi sesi ini telah disampaikan oleh Dr. Michael Berger, Ketua Pegawai Eksekutif Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC); dan


iii. Pelengkap dalam Pensijilan Kayu Mampan Menjelang dan Melangkau Tahun 2030 mengkongsikan pengalaman dan strategi negara lain dalam melaksanakan pensijilan kayu dan tindak balas terhadap permintaan global untuk produk dan perkhidmatan yang mampan.


Sejak permulaan pada tahun 2001, MTCS terus berkembang melalui proses penambahbaikan dan penglibatan berterusan dengan semua pihak berkepentingan berkaitan perhutanan. Sehingga 31 Disember 2022, terdapat 37 unit pengurusan hutan dengan sejumlah 5.81 juta hektar hutan dan 360 syarikat rantaian jagaan yang dipersijilkan di bawah MTCS.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 MAC 2023

SIARAN MEDIA
WOOD & LIFESTYLE FAIR (WLF)
(MTIB 50 TAHUN TEGUH SEIRING USIA)
MALAYSIA GRAND BAZAAR, KUALA LUMPUR

YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II & Menteri Perladangan dan Komoditi, hari ini merasmikan pameran Wood & Lifestyle Fair (WLF) (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) bertempat di Malaysia Grand Bazaar (MGB), Kuala Lumpur. Pameran ini diadakan sempena sambutan Jubli Emas Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang ke 50 tahun pada 1 Jun 2023. WLF (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) akan berlangsung mulai hari ini sehingga 12 Mac 2023.


Pelbagai acara telah dirancang bersempena sambutan Jubli Emas MTIB. Pameran ini juga merupakan kolaborasi MTIB bersama Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) dan Jaringan Usahawan Laser Bumiputera (JULB). Penganjuran WLF (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) merupakan satu platform promosi dan jualan untuk usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan.


Pameran ini juga akan menjadi hab kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera dalam memacu industri perabot dan kraf kayu ke peringkat yang lebih tinggi serta berdaya saing. Pameran ini melibatkan sebanyak 20 usahawan perkayuan bumiputera yang terdiri daripada usahawan perabot kayu, laser, ukiran kayu, produk biokomposit dan produk gaharu. Pameran ini turut dijangka akan menarik seramai 20,000 orang pengunjung.


Pelbagai aktiviti yang menarik telah diaturkan sepanjang berlangsungnya pameran ini selama empat hari. Antaranya adalah demonstrasi produk ukiran kayu dari usahawan Bumiputera, sesi taklimat oleh Key Opinion Leader (KOL) dalam industri perkayuan, padanan pekerjaan dan pendidikan dalam industri perkayuan, “From Waste to Wealth Activities”, sesi padanan perniagaan dan pameran woodcraft dan perabot kayu, produk biokomposit serta produk-produk gaharu.


Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi MTIB akan terus mempergiatkan pelaksanaan program bagi agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai misi nasional dan Kerajaan. KPK juga sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera industri perkayuan agar mampu bersaing secara kompetitif di peringkat global. Pemerkasaan Bumiputera juga menjadi salah satu teras utama fokus KPK di dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030) iaitu di bawah teras Keterangkuman: Meningkatkan penyertaan Bumiputera dan menjaga kesejahteraan pekebun kecil.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
9 MAC 2023

T I M B A L A N P E R D A N A M E N T E R I
D A N
M E N T E R I P E R L A D A N G A N D A N K O M O D I T I
M A L A Y S I A

KENYATAAN MEDIA
BELANJAWAN 2023 MEMARTABATKAN MA63 DAN
MEMANTAPKAN INFRA RAKYAT SABAH DAN SARAWAK


Peningkatan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2023 berbanding Belanjawan 2022 membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.


Sabah menerima peruntukan berjumlah RM6.5 bilion dalam Belanjawan 2023 berbanding RM5.16 bilion pada 2022, manakala Sarawak menerima peruntukan RM5.6 bilion pada 2023 berbanding RM4.67 bilion pada 2022.


Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani juga, jelas membuktikan komitmen dan iltizam berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.


Ini terbukti dengan sejumlah RM20 bilion diperuntukan untuk menerus dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Pan Borneo Sarawak serta Sabah Sarawak Link Road dengan jajaran lebih 1,000 kilometer.


Belanjawan 2023 memfokuskan kepada projek jalan utama Sabah Sarawak, jalan di sempadan dan menaiktaraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan Nusantara akan menjadi bandar baharu Kalimantan.


Usaha ini bagi menambah baik hubungan yang membuka pelbagai peluang di negara ini dan Kalimantan. Hubungan manusia kepada manusia, perniagaan dengan perniagaan dan Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) akan dapat diperkukuhkan sekiranya logistik ditambah baik.


Menerusi Belanjawan 2023, Kerajaan Persekutuan juga terus komited dalam meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kerajaan telah bersetuju memuktamadkan Pemberian Khas Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi Sarawak dengan jumlah pemberian khas sekurang-kurangnya RM300 juta. Sejak tahun 1973, kadar Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak masingmasing kekal pada RM26.7 juta dan RM16 juta. Kerajaan Persekutuan juga komited dalam menyegerakan rundingan untuk formula baharu.


Selain itu, Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa melulus perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak bagi projek sehingga RM50 juta. Ini akan memberi impak positif terhadap usaha mempercepat pembangunan di kedua-dua wilayah berkenaan.


Dari segi kemudahan kesihatan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.2 billion bagi penyelenggaraan 400 buah klinik daif dan 380 buah sekolah daif di kedua-dua negeri berkenaan.


Belanjawan 2023 Malaysia MADANI membuktikan tekad Kerajaan Perpaduan dalam menggabungkan agenda dan dasar murninya yang mengutamakan rakyat Malaysia secara keseluruhan terutamanya dalam menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak secara tuntas.


YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN
KOMODITI
(24 FEBRUARI 2023)

U n i t K o m u n i k a s i K o r p o r a t | K e m e n t e r i a n P e r l a d a n g a n d a n K o m o d i t i

K E M E N T E R I A N P E R L A D A N G AN D A N K O M O D I T I
M A L A Y S I A
KENYATAAN MEDIA
SEKTOR AGRIKOMODITI TERUS DIPERKASA DALAM BELANJAWAN 2023,
DIYAKINI DAPAT MEMANFAATKAN PEKEBUN KECIL SELURUH NEGARA


1. Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan.


2. Menerusi Belanjawan 2023, ia dilihat menyasarkan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat lebih besar, melalui bantuan disalurkan kepada golongan sasar, penambahbaikan untuk menangani kos sara hidup dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk golongan miskin tegar serta kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.


3. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 yang selaras dengan prinsip MADANI. Berteraskan nilai-nilai MADANI, Belanjawan 2023 dijangka dapat memacu pertumbuhan industri dan memberi manfaat kepada pemegang taruh Kementerian ini melalui inisiatif yang baru diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.


4. Kementerian percaya, antara fokus utama yang dititikberatkan dalam Belanjawan 2023 adalah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekebunpekebun kecil di seluruh negara serta usaha untuk terus memperkasakan sektor perladangan. Selain itu, Kementerian turut bertekad untuk memastikan daya saing negara dapat dipertingkatkan serta tatakelola kerajaan dapat ditambah baik.

5. Pada tahun 2022, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 5.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi nilai eksport sebanyak RM207.3 bilion, manakala lebihan dagangan sebanyak RM146.5 bilion, sekaligus menjadi komponen terpenting dalam ekonomi Malaysia.


6. Kementerian juga fokus untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan serta mengharapkan syarikat-syarikat perladangan bersama-sama dengan Kerajaan dalam memastikan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan eksport negara. Belanjawan 2023 memberi fokus kepada pembangunan sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkara-perkara berikut:


a) Peruntukan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan Artificial Intelligence (AI) serta menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran;
b) Peruntukan RM80 juta untuk menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Anti Minyak Sawit;
c) Peruntukan RM350 juta untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram; dan
d) Peruntukan RM50 juta untuk menggunakan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) bagi tujuan penyelenggaraan jalan.


7. Tahun 2023 dijangka akan lebih dinamik memandangkan cabaran yang bakal didepani bagi menjamin kemampanan industri Agrikomoditi negara. KPK bertekad untuk mendepani cabaran tersebut demi kelangsungan industri berkenaan sejajar dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada industri Agrikomoditi. Selain itu, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) akan terus dijadikan asas bagi merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia Madani.


YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Perladangan dan Komoditi
24 FEBRUARI 2023

U n i t K o m u n i k a s i K o r p o r a t | K e m e n t e ri a n

SIARAN MEDIA
IRRDB IRC 2023 PLATFORM UTAMA PERKONGSIAN ILMU
PENYELIDIKAN BAGI MEMPERTINGKAT DAYA SAING SEKTOR
GETAH ANTARABANGSA


YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini telah merasmikan International Rubber Research Development Board (IRRDB) International Rubber Conference (IRC) 2023 di Kuala Lumpur.


Bertemakan ‘Natural Rubber in Net Zero World: Challenges and Opportunities’, IRC 2023 ini dianjurkan secara bersama oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan IRRDB bermula pada 20 sehingga 21 Februari 2023. Persidangan ini melibatkan penyertaan daripada 20 buah negara pengeluar dan pengguna getah iaitu Malaysia, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Liberia, Guatamala, Ivory Coast, Cameroon, Cambodia, Papua New Guinea, Brazil, Bangladesh dan Singapura.


Objektif penganjurannya adalah untuk menyediakan platform bagi perkongsian maklumat dan hasil penyelidikan tentang getah kepada semua pemain industri getah selain memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak yang berkaitan. Kesemua negara berpeluang membentangkan hasil perkembangan terkini dalam sektor getah serta berkongsi pelbagai kaedah baharu yang bakal memberi manfaat untuk memperkukuh industri ini, sekali gus dijangka akan menjana idea baharu bertujuan memperkasa keseluruhan rangkaian sektor getah Malaysia dan negara-negara serantau.


Seramai 200 peserta terdiri daripada kalangan penyelidik getah, penanam getah, pemproses, pengilang, peniaga, pengeksport, penggubal dasar, serta pihak berkepentingan industri telah turut serta pada persidangan.


Sejumlah 6 kertas plenary dan 65 kertas pembentangan saintifik berkaitan penyelidikan getah akan dibentangkan semasa persidangan berlangsung, meliputi tujuh (7) skop penyelidikan getah yang terdiri daripada perdagangan karbon (carbon trading) dan perubahan cuaca, pembaikan, pengurusan dan penuaian getah, pengurusan penyakit dan perosak, sosio-ekonomi dan teknologi getah. Sesi pembentangan ini diharapkan dapat mencetuskan idea dan inovasi baharu dalam menyelesaikan isu-isu yang dihadapi sektor getah negara, terutama pada peringkat sektor huluan.

Sektor getah merupakan antara sumber komoditi utama yang memainkan peranan dalam menjana ekonomi negara. Pengaplikasian kaedah dan teknologi terkini dalam industri ini amat diperlukan bagi mempertingkat kecekapan produktiviti getah serta mengoptimum penggunaan sumber dalam konteks penerapan karbon sifar bersih (‘net zero’), sejajar dengan komitmen negara menuju ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.


Kementerian Perladangan dan Komoditi bersama LGM akan terus komited dalam memastikan agar industri getah Malaysia terus kekal berdaya saing di peringkat pasaran global, di samping terus berusaha untuk melaksanakan pelbagai kaedah strategik dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah seluruh negara yang merupakan tunjang kepada rantaian bekalan industri ini.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 FEBRUARI 2023