SIARAN MEDIA 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
BANTUAN PASCA COVID-19 TERUS DIPERKASA KEPADA GOLONGAN
ASNAF, IBU TUNGGAL, WARGA EMAS, SURAU DAN WARGA EMAS

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) hari ini meraikan 350 buah keluarga yang terdiri daripada keluarga asnaf, ibu-ibu tunggal, warga emas, 17 buah surau serta dua buah masjid di sekitar Ampang dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Bandar Baru Ampang.


2. Hadir sama dalam majlis berbuka berkenaan adalah Pengerusi MTC, Puan Hajah Norrida Yusoff bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MTC Encik Muhtar Suhaili serta Pengerusi Masjid Bandar Baru Ampang Tuan Haji Zainal Abidin Pilus.


3. Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui penyerahan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berserta wang tunai kepada 350 buah keluarga. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan dan membantu mereka dalam melakukan persiapan menjelang bulan Syawal yang bakal tiba.


4. Sumbangan wang tunai turut diserahkan kepada 17 buah surau dan dua buah masjid yang terlibat dalam usaha menyokong aktiviti yang dilakukan rumahrumah ibadat ini, selepas lebih dua tahun tidak dapat melakukan program dan aktiviti ketika tempoh fasa pandemik susulan penularan wabak Covid-19.


5. Program seumpama ini bukanlah program julung kali diadakan oleh Kementerian menerusi agensi, sebaliknya akan diteruskan dari semasa ke semasa. Bahkan, MTC sendiri telah diberi pengiktirafan atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang cemerlang, menerusi Anugerah Majlis Kerajaan Terbaik Untuk Sokongan Komuniti Cemerlang pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 202.


6. Kementerian menerusi agensi di bawahnya akan terus menyantuni masyarakat dari pelbagai kelompok dalam usaha untuk mendengar pandangan dan keluhan berhubung sektor agrikomoditi negara. Peluang dan kesempatan ini juga dapat digunakan untuk menjelaskan mengenai sumbangan sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf dalam membangunkan ekonomi negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
JELAJAH AGRIKOMODITI ANTARABANGSA PERKUKUH PROMOSI HASIL
KOMODITI NEGARA
___________________________________________________________________

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah mengadakan sidang media bagi merumuskan lawatan-lawatan Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia dari bulan Januari 2022 sehingga April 2022. Program Jelajah Agrikomoditi ini meliputi pembangunan agrikomoditi negara bagi memastikan sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara.


2. Pada awal tahun ini sektor agrikomoditi terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun negara berdepan dengan Covid-19. Nilai eksport komoditi Jan dan Feb 2022 meningkat sebanyak 5% iaitu RM 31.61 bilion berbanding tempoh yang sama 2021 dengan nilai RM 30.01 billion.


3. Peningkatan eksport ini banyak didorong oleh nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit. Antara faktor penyumbang ialah kenaikan permintaan global terhadap minyak sawit. Seterusnya, kenaikan harga minyak mentah Brent akibat konflik Rusia-Ukraine dan had pengeluaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Selain itu, trend kenaikan harga minyak kacang soya di pasaran global. Permintaan yang lebih tinggi untuk minyak sawit akan menyumbang kepada penurunan stok minyak sawit dan membawa kepada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).


4. Malaysia tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran terutamanya sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu khususnya media barat terhadap agrikomoditi negara seperti sawit dan getah yang dikaitkan dengan buruh paksa. Walaubagaimanapun, Kementerian sentiasa bersedia untuk berhubung dengan pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat
bagi menjawab dakwaan buruh paksa terhadap sektor industri sawit Malaysia.


5. YB Menteri juga turut mempromosikan Program Malaysian International Agricommodity Expo and Summit 2022 (MIACES) yang akan berlangsung 26 Julai sehingga 28 Julai 2022. Program ekspo ini kelak akan menjadi sebuah program jaringan kerjasama antara pemain industri dalam dan luar negara, yang akan mempertingkatkan usaha sama antarabangsa dalam sektor industri perusahaan komoditi. Ekspo ini dijangka akan membuka peluang yang lebih meluas bagi potensi pasaran eksport agrikomoditi negara.


6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus berusaha untuk memperluas pasaran agrikomoditi negara ke pasaran luar negara. Usaha KPPK akan dipergiat walaupun ketika ini terdapat tuduhan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia. Kementerian menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dengan KPPK dalam usaha menangani propaganda anti minyak sawit yang jelas tujuannya untuk menjatuhkan industri agrikomoditi negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MENTERI KPPK SAKSI PENYERAHAN BANTUAN TUALA WANITA DAN
TEPUNG GANDUM BAGI GOLONGAN B40 SEKTOR AGRIKOMODITI
___________________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menerima sumbangan tuala wanita bernilai sebanyak RM144,100.00 daripada Best Eternity Recycle Technology bagi Program Period Poverty yang diterajui oleh Girl2Leader. Selain itu, KPPK turut menerima sumbangan satu (1) tan tepung daripada Lotus FKM Berhad untuk program di bawah kelolaan Yayasan Komuniti Negara.


2. Sumbangan yang diserahkan oleh wakil syarikat Best Eternity Recycle Technology, Encik Ng Kim Fan Rex dan Lotus FKM, Cik Lee Wai Fun kepada Girl2Leader dan Yayasan Komuniti Negara telah disaksikan oleh Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Penaung Yayasan Komuniti Negara.


3. YB Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan oleh pihak industri kerana ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para penerimanya, terutamanya golongan wanita B40 yang sering YB Menteri temui semasa Program Jelajah Agrikomoditi bersama-sama pekebun kecil.


4. Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan dan ini bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh sebilangan wanita di negara ini. Menyedari akan permasalahan itu, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin bersama Persatuan Girl2Leader mengambil inisiatif memulakan
Program Period Poverty.


5. Sumbangan satu (1) tan tepung gandum akan diagihkan kepada lebih 500 keluarga yang memerlukan bagi meringankan beban terutamanya ketika di bulan Ramadan.


6. Kementerian akan terus mendekati masyarakat pelbagai lapisan, khususnya golongan pekebun kecil dan memberi bantuan sewajarnya bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
INDUSTRI GETAH SEBAGAI ANTARA PENYUMBANG PERCEPAT
PEMULIHAN EKONOMI NEGARA PASCA PANDEMIK COVID-19


1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengadakan lawatan ke Meditech Gloves Sdn. Bhd. di Nilai, Negeri Sembilan pada hari ini.


2. Malaysia merupakan antara pengeksport getah dan produk getah utama dunia dan peningkatan nilai eksport getah negara menjangkau RM71 bilion pada tahun 2021,menunjukkan peningkatan sebanyak 46.3% berbanding tahun sebelumnya. Industri getah negara mempunyai potensi untuk berkembang pada tahun ini berikutan permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran utama, sejajar dengan peralihan Malaysia ke fasa endemik mulai 1 April 2022.


3. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Kementerian menerusi Malaysian Rubber Council (MRC) bagi membantu pemain industri getah, antaranya penyediaan pakej insentif yang bertujuan untuk menyokong pengeluar produk getah dan mengukuhkan syarikat untuk memastikan kehadiran mereka di peringkat antarabangsa. Pakej Rangsangan COVID-19 diperkenalkan pada 2020 bagi menyokong dan memudahkan industri produk getah meneruskan aktiviti promosi pasaran di bawah senario norma baharu. Kementerian juga berusaha untuk menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram bagi membantu para pekebun kecil.


4. Sejajar dengan itu, Kementerian dengan kerjasama MRC juga memperkenalkan Industry Linkage Fund (ILF) untuk menggalakkan kerjasama antara industri dan universiti/institusi penyelidikan dalam projek R&D yang akan menyumbang kepada pembangunan industri getah di Malaysia. Kementerian yakin bahawa industri getah merupakan antara penyumbang pemulihan ekonomi negara dan komited dalam usaha meningkatkan nilai tambah getah pasca COVID-19.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
14 April 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MIACES BUKA RUANG PEMAIN INDUSTRI AGRIKOMODITI TEMPATAN JANA
PENDAPATAN KEPADA NEGARA
__________________________________________________________

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa sempena Malaysia International Agricommodity & Summit 2022 (MIACES’22) bertempat di Connexion Conference & Event Centre, The Vertical, Bangsar South City, Kuala Lumpur.


2. Majlis ini bertujuan mengumpulkan semua agensi dan majlis di bawah Kementerian yang terlibat dengan program MIACES’22 selain menjalin rangkaian kerjasama antara peserta industri dalam memperkembang eksport produk komoditi negara ke pasaran baharu.


3. Menerusi penganjuran MIACES’22 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Julai 2022, Kementerian berhasrat untuk menjadikan ia sebagai platform mempromosi produk komoditi selain menaik taraf produk yang telah sedia ada melalui pelbagai kajian teknologi.


4. MIACES’22 setakat ini telah menerima pengesahan kehadiran lima (5) Menteri dari Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka, India, dan Iran hadir serta dijangka beberapa negara lain juga akan hadir. Kehadiran pemimpin tertinggi negaranegara luar bakal membuka ruang perbincangan komprehensif dalam memperkasakan industri agrokomoditi Malaysia. Penganjuran MIACES’22 ini akan membuka ruang kepada pemain industri tempatan untuk menjana pendapatan dan seterusnya meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).


5. Sejajar dengan pelaksanaan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 di bawah Kementerian yang berpaksikan Rancangan Malaysia Ke-12, MIACES’22 merupakan antara inisiatif memastikan sektor agrikomoditi negara terus berkembang dalam negara serta di peringkat antarabangsa.


6. Kementerian yakin jumlah eksport agrikomoditi Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dalam proses negara beralih daripada fasa pandemik ke fasa endemik COVID-19. Sehingga November 2021, pendapatan eksport agrikomoditi dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2020 yang mana perubahan ini didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 APRIL 2022