JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PUSAT MINI PEMPROSESAN KOKO DAN JALAN LADANG KAMPUNG
KETIMBONG ANTARA USAHA KEMENTERIAN MEMPERKASA SEKTOR KOKO
PASCA COVID-19


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menjayakan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Rumah Panjang Unga, Kampung Ketimbong, Sebuyau, Simunjan, Samarahan, Sarawak. Beliau juga telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Mini Pemprosesan Koko dan Jalan Ladang Kampung Ketimbong.


2. Pusat Mini Pemprosesan Koko Kampung Ketimbong telah mula dibina pada April 2021 dan siap sepenuhnya pada Julai 2021, dilengkapi dengan kotak pemeraman dengan kapasiti 100 kilogram biji koko basah dan pelantar pengering biji koko. Pusat pemprosesan ini dibina bagi menyediakan kemudahan kepada petani koko di sekitar Sebuyau, Sarawak untuk memproses biji koko yang lebih berkualiti dan berpotensi untuk dijual dengan harga yang tinggi.


3. Jalan Ladang Kampung Ketimbong yang telah siap sepenuhnya pada November 2020 dibangunkan melalui dua (2) fasa. Fasa pertama adalah pada tahun 2018 melibatkan sepanjang 0.75 kilometer manakala fasa kedua pada tahun 2020 dengan tambahan panjang jalan sebanyak 1 kilometer.


4. Pembinaan Pusat Mini Pemprosesan Koko dan Jalan Ladang ini bakal mempermudah pengendalian aktiviti huluan koko serta memberi faedah kepada pekebun koko di bawah Kelompok Kampung Ketimbong, Sebuyau. Kelompok ini dibangunkan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) melalui Program Tanaman Baru Tahun 2018 (TB18) dan pada tahun 2019 (TB19).


5. Jumlah terkini keluasan tanaman adalah seluas 14.13 hektar dan diusahakan oleh 16 orang pekebun. Peserta program yang terlibat menerima insentif seperti baja, peralatan kecil pertanian serta khidmat latihan dan nasihat.


6. Kementerian yakin dengan pembukaan semula sempadan dan kelonggaran pergerakan bermula awal April lalu, pengeluaran industri koko disasar akan meningkat sekali ganda dan bakal menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
13 April 2022