KENYATAAN MEDIA
BANTUAN PASCA COVID-19 TERUS DIPERKASA KEPADA GOLONGAN
ASNAF, IBU TUNGGAL, WARGA EMAS, SURAU DAN WARGA EMAS
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) hari ini meraikan 350 buah keluarga yang terdiri daripada keluarga asnaf, ibu-ibu tunggal, warga emas, 17 buah surau serta dua buah masjid di sekitar Ampang dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Bandar Baru Ampang.
2. Hadir sama dalam majlis berbuka berkenaan adalah Pengerusi MTC, Puan Hajah Norrida Yusoff bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MTC Encik Muhtar Suhaili serta Pengerusi Masjid Bandar Baru Ampang Tuan Haji Zainal Abidin Pilus.
3. Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui penyerahan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berserta wang tunai kepada 350 buah keluarga. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan dan membantu mereka dalam melakukan persiapan menjelang bulan Syawal yang bakal tiba.
4. Sumbangan wang tunai turut diserahkan kepada 17 buah surau dan dua buah masjid yang terlibat dalam usaha menyokong aktiviti yang dilakukan rumahrumah ibadat ini, selepas lebih dua tahun tidak dapat melakukan program dan aktiviti ketika tempoh fasa pandemik susulan penularan wabak Covid-19.
5. Program seumpama ini bukanlah program julung kali diadakan oleh Kementerian menerusi agensi, sebaliknya akan diteruskan dari semasa ke semasa. Bahkan, MTC sendiri telah diberi pengiktirafan atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang cemerlang, menerusi Anugerah Majlis Kerajaan Terbaik Untuk Sokongan Komuniti Cemerlang pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 202.
6. Kementerian menerusi agensi di bawahnya akan terus menyantuni masyarakat dari pelbagai kelompok dalam usaha untuk mendengar pandangan dan keluhan berhubung sektor agrikomoditi negara. Peluang dan kesempatan ini juga dapat digunakan untuk menjelaskan mengenai sumbangan sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf dalam membangunkan ekonomi negara.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 APRIL 2022