SIARAN MEDIA 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
STESEN PENYELIDIKAN LAPANGAN LEMBAGA LADA MALAYSIA (MPB) BAKAL MEMPERKUKUH SEKTOR AGRIKOMODITI LADA




1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini telah meluangkan masa meninjau Projek Stesen Penyelidikan Lapangan, Lembaga Lada Malaysia (MPB) bertempat di Semenggok, Kuching.
2. Penubuhan Stesen Penyelidikan Lapangan MPB adalah bertujuan untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan perladangan bagi meningkatkan aktiviti ujian lapangan tanaman lada, membangunkan plot – plot ujian ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D serta menyelenggara koleksi germplasma lada di Malaysia.
3. Penubuhan stesen penyelidikan lapangan ini adalah selari dengan hala tuju MPB dan industri lada untuk memperkasakan aktiviti R&D melalui kemudahan penyelidikan yang moden dan canggih. Ia juga akan menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan di lapangan yang membolehkan MPB menjalankan pelbagai jenis R&D berkaitan lada secara sistematik dan pengumpulan germplasma serta varieti bagi penghasilan varieti lada baru.

4. Antara kemudahan yang dibina di stesen ini merangkumi empat (4) unit greenhouse berkeluasan 168m2 setiap unit. Greenhouse tersebut akan digunakan untuk kajian penyakit dan perosak, kultur tisu, pembiakbakaan dan agronomi lada; satu (1) unit bangsal tumbuhan berkeluasan 150m2 akan digunakan untuk menyelenggara koleksi germplasma lada. Selain itu, kemudahan asas lain seperti sistem perparitan, sistem saliran air dan kumbahan, jalan serta kelengkapan ICT turut dibina.
5. Dua (2) plot ujian ladang iaitu Plot Koleksi Germplasma Lada sebagai sumber bahan kajian untuk penyelidikan dan penyelenggaraan sumber genetik lada di Malaysia serta Plot Ujian Ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D turut dibangunkan. Plot-plot tersebut akan membantu aktiviti pemantauan dan mengurangkan ralat yang boleh mengganggu kesahihan data saintifik sekaligus meningkatkan pendedahan hasil R&D dan inovasi lada kepada orang awam.
6. Justeru, melalui penubuhan stesen seumpama ini pemerkasaan R&D lada dapat diperkukuh dengan meningkatkan penemuan R&D dan inovasi baru bagi komoditi lada ke arah pembangunan industri lada yang mampan.
7. Pembinaan stesen dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.83 juta ini telah siap sepenuhnya secara fizikal dan dijangka akan diserahkan kepada Lembaga Lada Malaysia pada bulan Mac 2022.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 FEBRUARI 2022

 

JATA LATES
KENYATAAN MEDIA
PENINGKATAN HARGA MINYAK SAWIT MENTAH (MSM) DI PARAS TERTINGGI MEMBERI KEUNTUNGAN BUAT PEKEBUN KECIL SELURUH NEGARA


1. Peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) selama dua hari berturut-turut di paras RM5,750 setiap tan pada 3 dan 4 Februari 2022 pastinya memberi khabar gembira dan keuntungan kepada hampir 400,000 pekebun kecil di seluruh negara memandangkan ia merupakan harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara.

2. Peningkatan ini adalah bukti komitmen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan dasar Kerajaan.

3. KPPK akan terus berusaha memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia ke pasaran luar negara khususnya di Asia Barat seperti di Turki dan Arab Saudi memandangkan terdapat peningkatan eksport minyak sawit Malaysia ke Turki dengan jumlah 703,588 tan pada 2021 dan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500,000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion tahun ini.

4. Baru-baru ini juga, menerusi lawatan saya dan delegasi KPPK ke Arab Saudi, beberapa memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan beberapa syarikat antaranya Savola Group, yang merupakan pengimport dan pengedar minyak makan terbesar di Arab Saudi.

5. Bahkan, KPPK turut menjalinkan tiga bidang kerjasama termasuk pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia dan kempen bersama bagi mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan dan dunia. Saya yakin industri sawit negara akan terus berkembang maju dengan usaha berterusan Kementerian ini.

6. Walaupun pada ketika ini terdapat sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia, KPPK akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain.

7. Sekali lagi, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara. Kita perlu memastikan industri sawit negara akan terus menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
5 FEBRUARI 2022

 

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
TINDAKAN PERLINDUNGAN SEMPADAN OLEH AMERIKA
SYARIKAT KE ATAS SIME DARBY PLANTATION ADALAH
TERBURU-BURU DAN TIDAK BERASAS


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang memantau rapi tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat terhadap Sime Darby Plantation (SDP) atas alasan isu buruh paksa, baru-baru ini.


2. KPPK dimaklumkan bahawa CBP telah menurunkan taraf tindakan terhadap Sime Darby Plantation daripada Perintah Pelepasan Penahanan ‘Withhold Release Order’ (WRO) kepada Penemuan (Finding). Di bawah WRO, produk masih boleh mendarat di Amerika Syarikat namun tidak boleh didagangkan atau diproses. Walau bagaimanapun, berikutan notis penemuan yang diterima oleh Sime Darby Plantation, sebarang produk yang ditemui akan dirampas.


3. Saya berpandangan yang tindakan CBP ini adalah terburu-buru dan tidak berasas memandangkan SDP sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada Amerika Syarikat dalam masa yang terdekat. Kementerian juga akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu ini daripada agensi berkaitan di Amerika Syarikat, agar penyelesaian segera dapat dicapai.


4. Bagi tujuan ini KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Selain itu, Kementerian juga akan memperluaskan kerjasama sepenuhnya dengan agensi di Amerika Syarikat dan negara lain supaya minyak sawit keluaran negara boleh didagangkan secara bebas di peringkat global. Untuk rekod, Kementerian menghargai kelonggaran yang diberikan oleh CBP kepada SDP untuk menghasilkan laporan audit bebas bagi menyangkal dakwaan tersebut.


5. Saya dengan tegas ingin mengulangi bahawa industri minyak sawit Malaysia beroperasi di bawah piawaian ketat yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kementerian juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi memastikan industri minyak sawit negara mematuhi undang-undang dan amalan domestik dan antarabangsa yang telah ditetapkan.


6. Saya yakin dengan usaha berterusan pihak Kementerian dan semua agensi berkaitan, isu ini akan dapat diselesaikan segera. Kementerian akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu jutaan pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan yang lain.


7. Selain itu, saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara kita.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
31 JAN 2022

JATA LATES

MENTERI LANCAR SYARIKAT PEMASARAN INTEGRASI KOMODITI DI JEDDAH, ARAB SAUDI BAGI MEMANTAPKAN KEDUDUKAN PASARAN

JEDDAH: Arab Saudi komited untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan, bernilai RM900 juta pada tahun 2021 kepada 500,000 tan dengan anggaran nilai RM1.5 bilion tahun 2022

.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin berkata, pada 2020 eksport komoditi pertanian Malaysia ke Timur Tengah dan Afrika Utara mencatatkan jumlah USD2.37 bilion manakala getah dan produk berkaitan mencatatkan nilai eksport sebanyak USD535 juta.


Begitu juga, kayu dan produk kayu mencatatkan nilai eksport sebanyak USD324.5 juta manakala minyak sawit dan produk minyak sawit mencatatkan USD1.51 bilion.
Bercakap selepas melancarkan secara rasmi Pejabat Wilayah Agrikomoditi di Jeddah, beliau berkata pejabat itu penting untuk memudahkan pembangunan dan kerjasama dalam kalangan komoditi Malaysia dan industri tempatan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), khususnya Arab Saudi

.
"Ini juga akan membawa kepada peluang yang lebih besar dalam meningkatkan perdagangan bagi kedua-dua negara," katanya.
Pejabat Wilayah Agrikomoditi atau lebih dikenali Syarikat Pemasaran Integrasi Komoditi (CIMC) itu adalah yang pertama seumpamanya di Timur Tengah, menempatkan tiga organisasi berkaitan kerajaan di bawah satu bumbung, iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Malaysia (MTC).

 

Pada masa sama, Zuraida turut menghadiri perbincangan dengan wakil daripada industri minyak sawit, getah dan kayu dari Arab Saudi untuk mengukuhkan kedudukan pasaran Malaysia di rantau ini.


“Produk pertanian Malaysia sudah mantap di pasaran dunia dan kebanyakannya adalah keperluan kehidupan harian seperti minyak masak, kosmetik, sabun, sarung tangan dan perabot rumah serta produk yang biasa digunakan dalam sektor perindustrian seperti biofuel, galas struktur, alat ganti automotif dan panel bangunan.”


"Malaysia bukan sahaja diiktiraf sebagai pengeksport terbesar sarung tangan getah dan pengeksport kedua terbesar minyak sawit mentah, produk pertaniannya juga terkenal dengan kualiti tinggi dan boleh didapati di kebanyakan bahagian dunia," katanya.


CIMC akan bertindak sebagai hab komoditi Malaysia untuk memupuk hubungan antarabangsa melalui pelbagai inisiatif yang penting untuk penambahbaikan dan penerimaan produk pertanian Malaysia di pasaran global.


"Kementerian percaya, pejabat di Jeddah adalah testimoni kedua-dua negara untuk menyampaikan produk pertanian Malaysia berkualiti tinggi ke Timur Tengah dan Afrika dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan," tambahnya.

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 JANUARI 2022

 

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA

TARRC Mampu Tingkatkan Daya Saing Industri Getah Negara

 

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Penyelididkan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, United Kingdom pada 23 Januari yang lalu. TARRC merupakan pusat penyelidikan dan penggalakan bagi Lembaga Getah Malaysia (LGM).

2. Ia diwujudkan dengan tujuan meningkatkan daya saing dan daya maju industry getah Malaysia dalam persekitaran global melalui penyelidikan dan pembangunan bertumpu, pindahan teknologi berkesan serta perkhidmatan sokongan berkualiti.


3. Antara fokus utama TARRC adalah konsultasi, penyelidikan dan pembangunan industri getah seperti tayar, aeroangkasa, perubatan dan penjagaan kesihatan. TARRC juga menyediakan perkhidmatan sokongan industri kepada pengeluar produk getah Malaysia dalam meningkatkan kualiti, produktiviti, prestasi serta memberi  khidmat nasihat tentang teknologi pemprosesan terkini.


4. Pada masa sama, Menteri KPPK turut mengadakan pertemuan dengan pelajarpelajar di London ketika lawatan tiga hari beliau di sana. Dalam perjumpaan itu, Zuraida telah mengadakan sesi dialog bersama pelajar membincangkan bagaimana para pelajar boleh membantu meningkatkan penjenamaan produk agrikomoditi negara di United Kingdom.

5. “Mereka bagaikan duta kecil negara”. Beliau berkata, “Kami turut berbincang dengan Pejabat Suruhanjaya Perdagangan mengenai pembangunan polisi terbaru di UK. Ini sangat penting bagi Kementerian untuk memahami perkembangan terkini supaya kita dapat merangka strategi untuk produk agrokomoditi bersesuaian dengan pasaran di UK” 

6. Turut serta dalam lawatan berkenaan adalah Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia Encik Lee Chin Cheh bersama-sama dengan Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA) Encik S Letchumanan Shanmugam.


25 Januari 2022
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi