SIARAN MEDIA 2022

JATA LATES

SIARAN MEDIA
KPPK SEDIA PELBAGAI INSENTIF BANTUAN DAN PERGIAT AKTIVITI
MSPO SEBAGAI USAHA BANTU PEKEBUN KECIL KELAPA SAWIT


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Pekan Nanas, Johor anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).


2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MPOB sedang giat berusaha meneruskan aktiviti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di seluruh negara melalui program latihan, taklimat dan promosi bagi sektor pekebun kecil. Bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan Pensijilan MSPO, kerajaan juga telah menyediakan menyediakan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.


3. Sehingga 31 Mac 2022, jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian di negeri Johor adalah 159,487 hektar. Daripada jumlah tersebut, 44,824 orang pekebun kecil dengan keluasan 118,092 hektar telah memperoleh MSPO iaitu bersamaan dengan 74% daripada keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan.


4. Kerajaan telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya. Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan untuk meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.


5. KPSM menjalankan aktiviti utama jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan Pusat Timbang. Sehingga Mac 2022, sebanyak 65 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 82,612.37 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah 400 tan sebulan.


6. Sehingga Mac 2022 sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung Malaysia, 27 di Sabah dan 18 di Sarawak. Di negeri Johor  sebanyak lima (5) KPSM telah ditubuhkan iaitu KPSM Kluang Utara Berhad, KPSM Daerah Kulaijaya Berhad, KPSM Daerah Pontian Berhad, KPSM Yong Peng Utara Berhad, dan KPSM Daerah Segamat Berhad. Keahlian bagi lima KPSM ini keseluruhannya berjumlah 318 orang pekebun kecil.


7. Kementerian melalui MPOB menyediakan bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS). Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan dana bantuan baharu iaitu Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).


8. Dengan adanya pelbagai insentif yang disediakan oleh Kementerian yang memberi tumpuan kepada pembangunan pekebun kecil tanaman sawit, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 Mei 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
LARANGAN EKSPORT MINYAK SAWIT INDONESIA BUKA
PELUANG UNTUK INDUSTRI SAWIT NEGARA


1. Pengusaha ladang kelapa sawit dan pengeluar minyak sawit di Malaysia harus berganding bahu bagi merebut peluang yang wujud selepas keputusan Indonesia untuk menghentikan eksport minyak sawit. Sebagai pengeluar minyak sawit yang terbesar di dunia, Indonesia menetapkan larangan ini untuk menurunkan harga komoditi dan seterusnya mengatasi kekurangan bekalan domestiknya.


2. Walaupun Malaysia bersimpati dengan situasi yang telah menjejaskan industri minyak sawit Indonesia, namun ini adalah satu kesempatan yang perlu digunakan oleh industry minyak sawit Malaysia. Memandangkan terdapat kekaburan tentang jangka masa larangan ini akan berkuatkuasa, industri minyak sawit negara perlu segera meningkatkan keupayaan inovasi sambil meneroka strategi yang terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.


3. Negara India mengimport antara 13.0 dan 13.5 juta tan metrik minyak masak dengan import minyak sawitnya merangkumi antara 8.0 juta dan 8.5 juta tan metrik (63%). India yang juga merupakan konsumer terbesar minyak sawit Indonesia, dengan hampir 45% daripada kuantiti ini datang dari negara jiran kita manakala selebihnya diperoleh dari Malaysia.


4. Larangan eksport ini juga secara tidak langsung mengetatkan lagi pasaran global minyak masak akibat konflik antara Rusia dan Ukraine dan isu pemanasan global. Harga sawit, kacang soya, minyak rapeseed Eropah dan minyak kanola kini juga berada pada paras tertinggi dalam sejarah. Meskipun secara logiknya, Malaysia patut menjadi benefisiari sebagai pengeksport kedua terbesar minyak sawit selepas Indonesia, terdapat keraguan sama ada Malaysia mampu menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan untuk meningkatkan pengeluaran.


5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kekal optimistik dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat ketika kemungkinan cabaran isu kekurangan pekerja masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Berdasarkan analisis dan unjuran trend pasaran, KPPK yakin Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk mengisi jurang dalam bekalan global minyak sawit.


6. Memandangkan harga minyak sawit akan kekal tinggi kerana stok yang rendah di negara asal dan destinasi, serta harga yang turun naik, Kementerian yakin industri sawit Malaysia akan mendapat kesan positif meskipun situasi ini dijangka akan berubah sekiranya Indonesia mengkaji semula dasar larangannya sebaik sahaja bekalan domestik dan struktur harganya menjadi
stabil. Penganalisis pasaran menjangkakan larangan eksport oleh Indonesia akan ditarik balik pada penghujung suku kedua 2022 (sekitar Julai) dan terdapat kemungkinan Indonesia akan membanjiri pasaran global dengan inventori sawitnya yang terkumpul ketika larangan eksport.


7. Selain itu, Kementerian juga ingin mengingatkan pemain industri sawit negara bahawa terdapat kemungkinan perubahan harga mendadak yang akan berlaku memandangkan industri sawit memasuki tempoh puncak dalam pengeluaran bermusim sekarang. Tambahan pula dengan prospek Korea Selatan yang merupakan salah satu pasaran minyak sawit yang paling pesat berkembang, melepaskan stok simpanannya. Perlu diingati bahawa jika konflik antara Rusia dan Ukraine selesai, terdapat prospek kedua-dua negara ini melepaskan stok minyak rapeseed dan bunga matahari. Mengambil kira risiko-risiko tersebut, industri sawit negara perlu segera mengambil kesempatan daripada keadaan semasa dan bukannya membiarkan peluang tersebut berlalu.


8. Kementerian juga ingin memberi jaminan kepada pemain industri bahawa usaha untuk memenuhi permintaan tenaga kerja asing terutamanya untuk sektor perladangan sedang dilakukan. Pada September tahun lalu, kerajaan telah meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit dan mereka telah mula tiba sejak awal tahun ini. Malaysia kini
menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba pada bulan Mei dan Jun, sekali gus mengatasi masalah tenaga kerja untuk musim menuai buah sawit.


9. Untuk jangkamasa panjang, KPPK mengunjurkan pengeluaran dan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 30% menjelang akhir 2022. Kementerian berkeyakinan bahawa tahap pengeluaran akan meningkat walaupun pengeluaran minyak sawit berada pada paras yang rendah disebabkan kekurangan pekerja asing pada kemuncak pandemik sejak dua tahun yang lalu berikutan pembukaan semula sempadan negara dan Pelan Pemulihan Negara pasca COVID-19. Justeru, Kementerian yakin tahap pengeluaran akan meningkat dan Malaysia berada di landasan yang betul serta mampu memenuhi permintaan minyak sawit dunia.

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
10 Mei 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS IFTAR KASIH RAMADAN BERSAMA ASNAF DAN WARGA
EMAS

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin menghadiri Majlis Iftar Kasih Ramadan bersama asnaf dan warga emas anjuran oleh Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) bertempat di Hadramawt Kitchen, Ampang hari ini.


2. Majlis ini merupakan inisiatif IMPAC untuk menyantuni golongan sasar iaitu asnaf dan warga emas dalam menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan serta memberikan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.


3. YB Menteri bersama Pengerusi IMPAC, YBhg Datuk Zunaidah Idris menyampaikan sumbangan baju raya kepada 51 anak-anak asnaf dan bantuan duit raya kepada 54 warga emas dan asnaf sebelum berbuka puasa pada majlis ini.


4. Kementerian dan IMPAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Koko Malaysia, Mamee Malaysia, Percetakan Zainol Kassim, Al Najwa Production Sdn Bhd serta individu-individu yang memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada asnaf, warga emas dan tetamu jemputan.


5. Program seumpama ini bukanlah kali pertama diadakan oleh Kementerian menerusi agensi dan majlis, malah akan diteruskan untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan dari semasa ke semasa.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
29 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
YAYASAN MARGMA PERKUKUHKAN PROGRAM PENDIDIKAN PASCA
PANDEMIK DEMI MASA DEPAN PELAJAR


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Yayasan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) kepada Pertubuhan Harapan Indah Ampang Selangor di Hotel Grand Barakah, Ampang.


2. Penyerahan sumbangan ini adalah antara tanggungjawab sosial (CSR) Yayasan MARGMA bagi menyokong pelaksanaan Program Seminar Pendidikan Pasca Pandemik, yang dijalankan khusus untuk Ahli Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) bagi 19 buah sekolah terpilih.


3. Program ini bertujuan untuk mengetengahkan peranan ibu bapa dan guru dalam mendepani kesan pandemik khususnya kepada sistem pendidikan serta kesihatan mental pelajar. Selain itu, seminar ini juga akan menyentuh topik pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan akan dikendalikan pakar-pakar bertauliah dalam bidang pendidikan dan psikologi.

4. Tema dipilih dalam program ini adalah “Ke Arah Kecemerlangan Sistem Pendidikan dan Kesejahteraan Mental Pelajar”, yang bermatlamat membantu ibu bapa dan guru mendalami pendidikan STEM, seiring dengan keperluan revolusi industri 4.0. Bahkan, program ini juga diyakini dapat membantu ibu bapa dan guru mendalami anjakan corak pengajaran dan pembelajaran terkini.


5. Program ini dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 16 Mei 2022 hingga 31 Oktober 2022, dengan menyasarkan keseluruhan penyertaan adalah seramai 760 orang peserta, yang terdiri daripada ibu bapa dan guru-guru.


6. Kementerian melalui agensi di bawahnya akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan negara bangkit daripada impak Covid-19 yang telah melanda negara sejak dua tahun lalu.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KPPK TERUS PERKASA USAHA KERAJAAN DALAM FASA PEMULIHAN
EKONOMI NEGARA PASCA COVID-19

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya, Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) hari ini meraikan 350 buah keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan warga emas. Selain itu, 17 buah surau serta dua (2) buah masjid di sekitar Ampang turut menerima bantuan dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Bandar Baru Ampang.


2. Hadir sama dalam majlis berbuka berkenaan adalah Pengerusi MTC, Puan Hajah Norrida Yusoff bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MTC Encik Muhtar Suhaili dan Pengerusi Masjid Bandar Baru Ampang Tuan Haji Zainal Abidin Pilus.


3. Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berserta wang tunai kepada 350 buah keluarga tersebut. Sumbangan wang tunai turut diserahkan kepada 17 buah surau dan dua (2) buah masjid yang terlibat dalam usaha menyokong aktiviti yang dilakukan selepas lebih dua tahun penularan wabak Covid-19.


4. Program seumpama ini bukanlah program julung kali diadakan oleh Kementerian menerusi agensi dan majlis, malah akan diteruskan dari semasa ke semasa. Bahkan, MTC sendiri telah diberi pengiktirafan atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang cemerlang, menerusi Anugerah Majlis Kerajaan Terbaik Untuk Sokongan Komuniti Cemerlang pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021.


5. Kementerian menerusi agensi dan majlis dibawahnya akan terus mendekati masyarakat terutamanya yang melibatkan pekebun kecil. Peluang dan kesempatan ini juga dapat digunakan untuk menjelaskan mengenai sumbangan sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf dalam fasa pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 APRIL 2022