JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MELALUI AGENSI
PERKASA BANTUAN PASCA PANDEMIK COVID-19 KEPADA GOLONGAN ASNAF


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya Majlis Getah Malaysia (MRC) meraikan seramai 300 orang daripada golongan asnaf yang kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal , warga emas dan ahli kariah masjid dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak (TAR), Ampang, hari ini.


2. Hadir sama adalah Pengerusi Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sallehuddin Othman; Tuan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Yang Berusaha Tuan Mohd Fauzi; Pengerusi MRC, YB Dr. Daroyah Alwi dan Ketua Pegawai Eksekutif MRC, En. Nor Hizwan Ahmad.


3. Majlis ini disempurnakan Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui penyerahan sumbangan berjumlah RM20,000.00 daripada MRC kepada Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang, dan dua buah lagi surau di bawah pentadbiran masjid tersebut iaitu Surau Ihsaniah, Ampang Jaya dan Surau Ubudiah, Jalan 4M, Ampang Jaya.


4. Menerusi sumbangan ini, Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang akan menerima pembahagian sumbangan sebanyak RM10,000.00 manakala Surau Insaniah dan Surau Ubudiah masing masing akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000.00. Program yang julung kali diadakan oleh Kementerian akan diteruskan di beberapa lokasi lain selepas ini, sebagai antara langkah membantu golongan terkesan.


5. Menurut YB Datuk Hajah Zuraida, Ramadan kali ini lebih meriah apabila negara kini memasuk fasa peralihan endemik selepas lebih dua tahun menjalani fasa pandemik. Bahkan, tentunya pelbagai persiapan menyambut Syawal sedang dilakukan, namun disebalik kemeriahan itu masih terdapat segelintir pihak yang kurang bernasib baik, terjejas akibat Covid-19 dan wajar diberi perhatian.


6. Agensi dan majlis di bawah KPPK serta pemain industri dialu-alukan untuk turut mengambil peluang bersempena di bulan mulia ini bagi bersama menjalankan tanggungjawab sosial korporat memastikan kemakmuran bersama.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
13 APRIL 2022