KENYATAAN MEDIA MOU BERSAMA PEMAIN INDUSTRI KAYU KAYAN PAKISTAN LANGKAH STRATEGIK KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI TINGKATKAN EKSPORT MALAYSIA _________________________________________________________
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) terus berusaha meluaskan pasaran dan pembekalan produk kayu-kayan Malaysia ke pasaran luar negara.
2. Menerusi lawatan kerja rasmi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin bersama-sama delegasi KPPK ke Pakistan, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani pada 30 Mac 2022 antara MTC dan pemain utama industri kayu, All Pakistan Timber Traders Association (APTTA).
3. Perjanjian persefahaman ini diyakini merupakan antara langkah strategik KPPK dalam usaha meningkatkan eksport produk kayu-kayan Malaysia, bertepatan dengan sasaran Kementerian pada tahun 2022 bermula Januari hingga Jun ini yang menyasarkan eksport bagi sektor kayu-kayan adalah sebanyak RM12 bilion.
4. Bahkan, pemain-pemain industri berkenaan turut didedahkan mengenai peluang yang boleh terus diperkukuhkan dalam sektor agrikomoditi seperti sawit, getah, lada, koko dan kenaf memandangkan Malaysia dan Pakistan telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sekaligus membantu dalam membina kemampanan ekonomi kedua-dua negara.
5. KPPK komited untuk memastikan industri perkayuan dan komoditi negara akan terus berkembang maju dan pulih selepas dilanda pandemik Covid-19.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 1 APRIL 2022
KENYATAAN MEDIA PEMBANGUNAN INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA DIPERKASA MELALUI KERJASAMA ERAT ANTARA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI BERSAMA NEGERI SARAWAK ______________________________________________________________
1. YB Datuk Willie Anak Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada hari ini telah mengadakan lawatan ke Ladang Hutan Samarakan di Bintulu, Sarawak anjuran Jabatan Hutan Sarawak. Lawatan ini turut disertai oleh Kaunselor (Pertanian) Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, wakil Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Program ini bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini pembangunan ladang hutan serta Pengurusan Hutan Mampan (SFM) di Malaysia terutamanya di Sarawak. Di samping itu, ia juga bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta pemegang taruh industri perkayuan di Sarawak.
2. Sarawak mempunyai unit pengurusan ladang hutan (FPMU) terbanyak dan terbesar di Malaysia. Keseluruhannya, 1.178 juta hektar kawasan hutan di Sarawak telah dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang merangkumi 6 FPMU dan 11 unit pengurusan hutan asli (FMU). Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Sarawak yang menetapkan agar pemegang lesen kayu pada jangka masa panjang mendapatkan Pensijilan Pengurusan Hutan menjelang tahun ini. KPPK melalui Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan terus mempromosi dan memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi MTCS yang diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).
3. Aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 adalah untuk memodenkan industri perkayuan negara ke arah peningkatan daya tahan sektor berkenaan. Sasaran nilai pasaran eksport bagi kayu dan produk kayu pada tahun 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion iaitu 70% eksport adalah terdiri daripada produk hiliran. Pada tahun 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi Negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM22.74 bilion. Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15% dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian.
4. Kerajaan telah dan sedang mengambil inisiatif serta tindakan bagi menggalakkan kemampanan yang menyeluruh di sepanjang rantaian nilai perkayuan (value chain). Antaranya termasuk penyediaan pinjaman sebanyak RM500 juta lagi menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menjamin bekalan bahan mentah industri perkayuan agar berterusan pada masa hadapan.
5. Kementerian positif bahawa kerjasama berterusan bersama pemegang taruh di Sarawak dapat meningkatkan lagi daya saing industri perkayuan Negara dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa. Seterusnya, kerjasama ini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan Negara serta kemakmuran bersama.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 1 APRIL 2022
KENYATAAN MEDIA KOLABORASI STRATEGIK LADANG KOKO PINTAR PERTAMA DI MALAYSIA BAKAL KELUARKAN BIJI KOKO PREMIUM DAN BERPERISA UNIK
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar di Setul, Negeri Sembilan, pada 24 Mac 2022. Ladang seluas 100 hektar dimiliki sepenuhnya oleh Syarikat Permaju Industries Berhad (PIB) akan diusahakan dengan kolaborasi strategik bersama Lembaga Koko Malaysia (LKM).
2. Ladang yang bakal diurus dengan menggunakan teknologi pintar iaitu Cocoa Information Management System (CIMS) yang dibangunkan dari negara Austria. Teknologi ini bakal meningkatkan kecekapan dalam pengurusan ladang dan meningkatkan pengeluaran hasil buah koko selain menjadi ladang contoh penggunaan teknologi pintar yang akan menarik lebih ramai pelabur dan generasi muda untuk mengusahakan tanaman koko.
3. LKM akan memberikan khidmat nasihat dalam pemilihan dan penyediaan bahan tanaman koko yang berkualiti tinggi, teknologi penanam koko termasuk kawalan penyakit dan perosak, teknologi penanam intergrasi koko dengan tanaman ekonomi lain serta pengurusan kebun ke arah mendapatkan pensijilan MyGAP (Good Agriculture Practices) dan skim sijil MyOrganic.
4. Projek ini akan meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan terutamanya bagi memenuhi sasaran Malaysia sebagai negara pengeluar biji koko berperisa unik. Pengeluaran koko dari ladang ini dijangka akan melebihi 30 tan metrik setahun yang mampu untuk memenuhi permintaan pengeluar coklat premium.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 24 Mac 2022
KENYATAAN MEDIA PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN MALAYSIA (MSPO) 2022 BAGI MEMASTIKAN MALAYSIA TERUS KEKAL SEBAGAI PENGELUAR MINYAK SAWIT MAMPAN DUNIA ___________________________________________________________________
1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) telah melancarkan Standard MSPO 2022 sempena Forum Certified Sustainable Palm Oil (CSPO). MSPO merupakan skim kebangsaan untuk ladang kelapa sawit, pekebun kecil bebas dan terancang, dan fasiliti pemprosesan minyak sawit yang ingin diperakui mengikut keperluan Standard MSPO.
2. Siri Standard MS 2530:2013 MSPO pertama telah diterbitkan pada 2013 oleh Jabatan Standards Malaysia (JSM) dan diterajui oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kemudian disemak semula pada 2022 (MS 2503:2022). Pensijilan MSPO telah diwajibkan pada awal tahun 2020.
3. MSPO 2022 mengambil kira perubahan dalam keperluan kemampanan global dan mempertimbangkan kebolehgunaan terhadap industri minyak sawit Malaysia. Keperluan seperti United Nation Sustainable Development Goals (UNSDG), No Deforestation, Peat, and Exploitation (NDPE), dan Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus (ESG) dimasukkan, dan pelbagai elemen telah dimasukkan ke dalam Standard MSPO.
4. Di samping itu, MS 2530:2022 kini terdiri daripada lapan (8) bahagian berbanding empat (4). Rangka kerja baharu untuk Standard MSPO hanya mempunyai lima (5) prinsip berbanding tujuh (7) prinsip versi sebelumnya. Ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal MSPO (TC MSPO) untuk memperkemaskan keperluan selaras dengan keperluan industri semasa.
5. Tiada perbezaan yang ketara antara Prinsip 1 hingga 5 Standard MS2530:2013 dan MS2530:2022. Prinsip 6 MSPO 2013 telah digabungkan ke dalam Prinsip 1, 2, 4, dan 5. Manakala keperluan untuk penanaman baharu telah ditambah baik dan digabungkan terutamanya ke dalam Prinsip 1, dengan keperluan sokongan terdapat dalam Prinsip 4 dan Prinsip 5.
6. Malaysia akan meneruskan usaha ke arah pelaksanaan pensijilan MSPO secara menyeluruh. Proses ini bermula dengan mempromosikan faedah minyak sawit yang diperakui MSPO untuk tujuan pasaran eksport antarabangsa. Di samping mengukuhkan prinsip dan kriteria di dalam Standard MSPO bagi mencerminkan pengembangan amalan pertanian baik di peringkat antarabangsa.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 22 MAC 2022
KENYATAAN MEDIA ANUGERAH PENANAM KENAF JAYA KEBANGSAAN IKTIRAF PEKEBUN KECIL BERKOMITMEN TINGGI DALAM MEMPERTINGKATKAN HASIL DAN KUALITI PENGELUARAN _______________________________________________________
1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menyempurnakan penyampaian Anugerah Penanam Kenaf Jaya Kebangsaan pada hari ini. Majlis ini telah dihadiri oleh 200 orang yang terdiri daripada pekebun kecil dan pengusaha tanaman kenaf dari seluruh negara. Program Anugerah Penanam Kenaf Jaya ini telah dimulakan pada tahun 2014 dan diteruskan sehingga kini.
2. Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada penanam kenaf yang memberikan komitmen tinggi serta sebagai galakan kepada penanam untuk mempertingkatkan lagi hasil dan kualiti secara berterusan pada masa hadapan.
3. Anugerah Penanam Kenaf Jaya Kebangsaan mempunyai tiga kategori iaitu:
a. Penanam Kenaf Jaya Bagi Pengeluaran Batang Kenaf, b. Pengeluaran Fiber Premium; dan c. Pengeluaran Biji Benih. Seramai sembilan orang telah menerima anugerah dalam pelbagai kategori.
4. Kenaf mempunyai pasaran meluas dan mempunyai permintaan tinggi. Penghasilan tuaian batang kenaf merekodkan jumlah yang memberansangkan dengan hasil sebanyak 6,450.10 tan melibatkan 934 orang penanam di seluruh Malaysia pada tahun 2020.
5. Selain itu, penghasilan biji benih berkualiti telah dihasilkan sebanyak 54.72 tan melibatkan 127 orang penanam kenaf bagi tahun 2020.
6. Tahun 2021 Malaysia masih berada dalam fasa pandemik dan industri kenaf turut terkesan. Namum hasil jualan domestik masih mampu mencapai nilai jualan sebanyak RM4.229 juta dan nilai eksport natural fiber ialah RM2.464 juta.
7. Kementerian melalui LKTN akan terus melaksanakan langkahlangkah yang perlu bagi terus meneraju dan mempelopori sektor kenaf ini agar terus dapat menyumbang dalam membangunkan industri komoditi negara
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 21 MAC 2022