JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
JELAJAH AGRIKOMODITI ANTARABANGSA PERKUKUH PROMOSI HASIL
KOMODITI NEGARA
___________________________________________________________________

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah mengadakan sidang media bagi merumuskan lawatan-lawatan Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia dari bulan Januari 2022 sehingga April 2022. Program Jelajah Agrikomoditi ini meliputi pembangunan agrikomoditi negara bagi memastikan sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara.


2. Pada awal tahun ini sektor agrikomoditi terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun negara berdepan dengan Covid-19. Nilai eksport komoditi Jan dan Feb 2022 meningkat sebanyak 5% iaitu RM 31.61 bilion berbanding tempoh yang sama 2021 dengan nilai RM 30.01 billion.


3. Peningkatan eksport ini banyak didorong oleh nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit. Antara faktor penyumbang ialah kenaikan permintaan global terhadap minyak sawit. Seterusnya, kenaikan harga minyak mentah Brent akibat konflik Rusia-Ukraine dan had pengeluaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Selain itu, trend kenaikan harga minyak kacang soya di pasaran global. Permintaan yang lebih tinggi untuk minyak sawit akan menyumbang kepada penurunan stok minyak sawit dan membawa kepada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).


4. Malaysia tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran terutamanya sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu khususnya media barat terhadap agrikomoditi negara seperti sawit dan getah yang dikaitkan dengan buruh paksa. Walaubagaimanapun, Kementerian sentiasa bersedia untuk berhubung dengan pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat
bagi menjawab dakwaan buruh paksa terhadap sektor industri sawit Malaysia.


5. YB Menteri juga turut mempromosikan Program Malaysian International Agricommodity Expo and Summit 2022 (MIACES) yang akan berlangsung 26 Julai sehingga 28 Julai 2022. Program ekspo ini kelak akan menjadi sebuah program jaringan kerjasama antara pemain industri dalam dan luar negara, yang akan mempertingkatkan usaha sama antarabangsa dalam sektor industri perusahaan komoditi. Ekspo ini dijangka akan membuka peluang yang lebih meluas bagi potensi pasaran eksport agrikomoditi negara.


6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus berusaha untuk memperluas pasaran agrikomoditi negara ke pasaran luar negara. Usaha KPPK akan dipergiat walaupun ketika ini terdapat tuduhan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia. Kementerian menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dengan KPPK dalam usaha menangani propaganda anti minyak sawit yang jelas tujuannya untuk menjatuhkan industri agrikomoditi negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 APRIL 2022