KENYATAAN MEDIA
PELAKSANAAN PENGUATKUASAAN PERATURAN-PERATURAN
LEMBAGA KENAF DAN TEMBAKAU NEGARA
(PELESENAN TEMBAKAU DAN KELUARAN TEMBAKAU) 2011
1. Pelaksanaan Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2011 oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah mula dilaksanakan sepertimana diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2022 lalu.
2. Penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini akan melibatkan lima (5) jenis lesen sebagaimana berikut;
BIL. JENIS LESEN
a. Lesen Mengawet Tembakau
b. Lesen Membeli Tembakau Diawet
c. Lesen Mengilang Tembakau atau Keluaran Tembakau
d. Lesen Mengadun Tembakau
e. Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau
3. Pada tahun 2022 penguatkuasaan pelesenan melibatkan lesen mengawet tembakau, lesen membeli tembakau diawet, lesen mengilang tembakau atau keluaran tembakau dan lesen mengadun tembakau telah dilaksanakan.
4. Sementara Penguatkuasaan pelesenan bagi Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau akan dilaksanakan melalui 3 fasa iaitu:
i. Fasa 1 - Pelaksanaan kempen kesedaran dan hebahan mulai 1 Julai 2022;
ii. Fasa 2 - Pelesenan pengedaran tembakau atau keluaran tembakau tanpa bayaran fi mulai 1 Januari 2023;
iii. Fasa 3 - Penguatkuasaan sepenuhnya dengan bayaran fi mulai 1 Januari 2024. Dalam fasa 3, aktiviti pelesenan serta penguatkuasaan sepenuhnya akan melibatkan pengedaran tembakau dan keluaran tembakau.
5. Peraturan ini dikuatkuasakan bagi mengatasi implikasi negatif terhadap industri tembakau dan pengedaran tembakau serta produk tembakau tidak sah selari dengan komitmen Kerajaan yang telah menandatangani protokol World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO-FCTC) bagi mengawal selia industri tembakau termasuk rokok tidak sah.
6. Ekoran daripada aktiviti-aktiviti yang menyalahi serta bertentangan dengan kawalan industri tembakau yang telah ditetapkan oleh Kerajaan, ketirisan pungutan cukai berikutan aktiviti pengedaran tembakau dan produk tembakau tidak sah dianggarkan sebanyak RM5 billion setahun. Pelaksanaan kempen hebahan ini meliputi taklimat dan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan meliputi wakil industri, wakil pengawet, wakil pengedar dan Kementerian serta Agensi penguatkuasaan yang berkaitan secara berterusan.
7. Pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini juga akan memperkasakan lagi kawal selia industri tembakau negara melalui kerjasama diantara LKTN dengan Agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lain-lain.
8. Bagi memastikan penguatkuasaan peraturan ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar, LKTN telah menyediakan kemudahan kaunter pelesenan di semua pejabat utama dan wilayah. Selain itu, kios dan kaunter bergerak juga disediakan di lokasi strategik dan tumpuan orang ramai. Pelbagai kemudahan logistik, stor dan penyimpanan turut dipertingkatkan untuk memudahkan aktiviti pelaksanaan penguatkuasaan.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
18 Julai 2022
KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA TIDAK AKAN BERDIAM DIRI DENGAN SERANGAN KEMPEN ANTIMINYAK SAWIT NEGARA BARAT
1. Sebagai pengeluar minyak sawit utama dunia, Malaysia dan Indonesia telah berdepan selama lebih dua dekad dengan pelbagai kempen anti-minyak sawit yang dimainkan oleh negara-negara barat hingga telah menjejaskan pasaran minyak sawit dan produk-produk berkaitan.
2. Jika kita tidak menghentikan kempen fitnah ini secara sistematik dan strategik, ia boleh menjejaskan daya saing eksport minyak sawit Malaysia dalam jangka masa panjang akibat persepsi negatif dari negara-negara barat terhadap minyak sawit.
3. Industri minyak sawit dan produk berkaitan pada masa ini menjadi penyumbang utama kepada hasil ekonomi negara serta memainkan peranan penting dalam mengurangkan kemiskinan luar bandar dengan menyediakan pekerjaan dan penambahbaikkan infrastruktur.
4. Untuk melindungi peranan penting ini, Malaysia telah menentang tuduhan berniat tidak berasas ini melalui pendekatan 'rundingan secara berdiplomasi' (soft consultancy). Imej negatif minyak sawit mula terbentuk di Eropah sejak 2003 dan ia berkisar isu berkaitan kemampanan industri tetapi ia kini telah beralih kepada aspek nutrisi minyak sawit.
5. Amalan semasa yang digunakan di Perancis dan Belgium dengan pelabelan 'tiada minyak sawit' atau 'bebas minyak sawit', telah mula dikesan sejak tahun 2008 lagi, ia apabila rangkaian runcit Perancis iaitu Carrefour mula menggantikan minyak sawit dalam kerepek kentang dengan minyak bunga matahari.
6. Tindakan menyasarkan minyak sawit dengan kempen pemasaran dan pelabelan 'tanpa minyak sawit' itu secara tidak langsung telah membentuk pemikiran pengguna bahawa minyak sawit adalah tidak baik dari segi nutrisi atau alam sekitar, atau kedua-duanya.
7. Pada 2019, Kesatuan Eropah (EU) telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan guna tanah secara tidak langsung. Ini menyumbang kepada anggapan berlakunya penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti.
8. Negara-negara anggota EU kini menggunakan “European Union Renewable Energy Directive II” dalam perundangan mereka masing-masing. Klasifikasi ini akan memberi kesan kepada minyak sawit sebagai sumber biofuel yang berpotensi, memandangkan penggunaannya akan dikurangkan secara beransur-ansur mulai 2023 sebelum 'dihapuskan sepenuhnya' sebagai sumber biofuel EU pada 2030.
9. Isu ini telah menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya –Perancis dan Lithuania– pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
10.Ini berlaku selepas EU meneruskan pelaksanaan arahan itu tanpa mengambil kira komitmen dan pandangan Malaysia, walaupun kita telah memberi maklum balas dan menghantar misi ekonomi dan teknikal ke Eropah.
11.Malaysia juga akan bertindak sebagai pihak ketiga dalam kes WTO berasingan yang difailkan oleh Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, sebagai tanda solidariti dan sokongan.
12.Kita tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas terhadap tuduhan tidak berasas yang berterusan ini walaupun kita tahu bahawa proses undangundang ini adalah mahal dan bakal mengambil masa yang lama sebelum penyelesaian dapat dicapai. Namun kita perlu mempertahankan hasil komoditi negara.
13.Tindakan undang-undang ini memerlukan persediaan yang rapi dan teliti. Hal Ini kerana, dokumen-dokumen yang diperlukan untuk penghujahan memerlukan penyelidikan yang teliti serta perbincangan berjam-jam dalam kalangan panel yang ditugaskan.
14.Setakat ini, tiada sekatan lain dikenakan oleh EU terhadap minyak sawit, bagaimanapun kempen anti-minyak sawit yang dilakukan negara-negara barat telah menjejaskan imej minyak sawit di mata pengguna di Eropah untuk tempoh jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang.
15.Sehubungan itu, Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memantau dengan teliti sebarang perkembangan terkini dari sudut perundangan EU yang berpotensi mencemarkan reputasi minyak sawit, sekali gus menjejaskan daya saing minyak sawit dan industri berkaitan minyak sawit di Malaysia. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit bersama KPPK mempertahankan minyak sawit negara di mata dunia.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 JUN 2022
KENYATAAN MEDIA
INISATIF KEMAMPANAN MINYAK SAWIT NEGARA SEBAGAI
PEMBINA HUBUNGAN PERDAGANGAN LEBIH BAIK DENGAN
KESATUAN EROPAH (EU)
1. WALAUPUN Kesatuan Eropah (EU) menentang perdagangan minyak sawit sejak 2003, Malaysia berazam untuk memupuk hubungan baik dengan blok perdagangan itu demi penyelesaian
menang-menang untuk industri sawit negara.
2. Ini sedang dilakukan melalui pelbagai platform, antaranya, Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-EU, program seminar atau webinar dan dialog serta perbincangan melalui misi promosi ekonomi dan minyak sawit di EU. Malaysia bertekad untuk terus menyalurkan pelbagai maklumat terkini mengenai industri minyak sawit – khususnya dari aspek kesihatan dan pemakanan dan kemampanan, bagi menghapus tanggapan yang salah mengenai minyak sawit dan produk berkaitannya dalam kempen anti-minyak sawit di EU.
3. Sejajar dengan usaha ini, dua inisiatif - program perkongsian Malaysia-EU yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian perdagangan minyak sawit dan kerjasama di bawah Majlis NegaraNegara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah dilakukan oleh Kementerian.
4. Di bawah inisiatif perkongsian Malaysia-EU, terdapat dua program yang penting - projek Kelestarian Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia, yang juga dikenali sebagai Keberlanjutan Sawit Malaysia dan Indonesia (KAMI); dan Inisiatif Kebangsaan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar Iklim (NI-SCOPS) dengan Belanda. Dalam inisiatif CPOPC, Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk menentang kempen anti-minyak sawit di peringkat global dengan pelbagai program untuk menggagalkan kempen anti-minyak sawit.
5. Antara program penting di bawah CPOPC adalah:
i) Misi bersama ke Eropah di bawah CPOPC dengan penyertaan Malaysia dan Indonesia untuk mengadakan perbincangan dan perundingan dengan EU dalam pengurusan isu berkaitan minyak sawit di Eropah;
ii) Menyerahkan surat bantahan secara bersama kepada negara/blok perdagangan yang mendiskriminasi minyak sawit, iaitu EU; dan
iii) Pelaksanaan Program Advokasi EU; strategi komunikasi dan promosi di China, Pakistan, India dan Bangladesh serta kempen media sosial di kalangan negara anggota CPOPC.
6. Malaysia dan Indonesia, dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia, telah pun menghantar surat bantahan kepada EU pada April 2019 mengkritik keputusan untuk tidak lagi menganggap minyak sawit sebagai biofuel, yang juga mengancam hubungan blok itu dengan kedua-dua negara. Ini berlaku selepas Suruhanjaya Eropah (EC) memutuskan bahawa minyak sawit telah mengakibatkan penebangan hutan yang berlebihan dan ia tidak lagi boleh dianggap sebagai bahan api pengangkutan boleh diperbaharui, kecuali untuk beberapa pengecualian.
7. Perkara ini telah menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya – Perancis dan Lithuania – pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
8. Tindakan ini diambil berikutan keputusan EU untuk mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan status guna tanah tidak langsung.
9. EU juga menganggap industri minyak sawit menyumbang kepada penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti dan negara-negara EU juga menggunakan European Union Renewable Energy Directive II dalam proses perundangan mereka. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, yang selaras dengan gerakan global untuk memperjuangkan kebaikan minyak sawit.
10. Mengambil kira situasi terkini Ukraine-Rusia dan perubahan cuaca yang menyebabkan kekurangan bekalan minyak soya dan bunga matahari, ini merupakan peluang keemasan untuk Malaysia mempromosikan kebaikan minyak sawit kepada EU agar dapat dapat mengisi kelompangan bekalan minyak masak dunia.
11. Dunia seharusnya meyakini potensi minyak sawit Malaysia kerana inisiatif kemampanan minyak sawit negara. Ini dilakukan menerusi pelbagai kempen berterusan Kementerian yang giat dilaksanakan bagi mempertahankan imej minyak sawit yang memiliki reputasi harga komoditi yang tinggi selain situasi pengeluaran minyak masak dunia yang tidak stabil buat masa ini.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
27 Jun 2022
ALATAN AUTOMASI DALAM SEKTOR PERLADANGAN SEBAGAI
PENYELESAIAN JANGKA PANJANG KURANGKAN
KEBERGANTUNGAN TERHADAP PEKERJA ASING
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan khususnya sawit. Kementerian sedar kekurangan pekerja ini akan menyebabkan industri sawit mengalami penurunan pendapatan sebanyak 5% hingga 10%, seperti diramalkan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).
2. Semua pihak perlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini berlaku adalah berpunca daripada langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa, bagi membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara, sekaligus melindungi imuniti kelompok rakyat daripada penyakit berjangkit.
3. Ketika ini, Kementerian terus berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera.
4. Kerajaan Persekutuan menerusi keputusan pada September 2021 bersetuju untuk meluluskan rancangan membawa masuk sejumlah 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara. KPPK yakin bahawa sasaran ini akan dicapai dan isu berkaitan permit telah dibawa ke perhatian Kementerian.
5. Di masa hadapan, pemilik-pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara perlu melihat prospek pekerja dengan lebih meluas seperti di India dan Pakistan, serta tidak hanya tertumpu kepada pekerja-pekerja dari negara Indonesia dan Bangladesh. KPPK juga berharap pemilik ladang akan mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
6. Menerusi kajian dan penyelidikan teknologi dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pemilik-pemilik ladang disaran meningkatkan penggunaan automasi seperti menggunakan dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak. KPPK yakin, penggunaan automasi di peringkat ladang akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang.
7. Penggunaan teknologi automasi juga diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.
8. KPPK menggalakkan pemilik kebun untuk mula membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi. KPPK juga percaya bahawa pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan Kempen "Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan" yang sedang dijalankan.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
18 JUN 2022
KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN TAWAR DUA INSENTIF KEPADA SEKTOR SAWIT BAGI
MENJAMIN KEMAMPANAN SUMBER PENDAPATAN PEKEBUN KECIL
________________________________________________________________________
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyeru pekebun kecil kelapa sawit yang layak untuk memohon insentif bagi membantu menambah pendapatan dan mengembangkan perniagaan.
2. Kementerian telah membuka permohonan untuk dua insentif, iaitu Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah (Agro Bank - MPOB). Di bawah ITa, pekebun kelapa sawit yang menanam nanas layak mendapat insentif RM7,000 sehektar, manakala pekebun yang menanam pisang, tembikai, jagung dan betik pula layak untuk memohon insentif sehingga RM3,000 sehektar.
3. Insentif ini bertujuan untuk menggalakkan pemilik ladang mempelbagai sumber pendapatan melalui tanaman kontan dan mengoptimumkan penggunaan tanah. Ini selaras dengan polisi kerajaan mengenai pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit, dengan had penanaman tidak melebihi 6.5 juta hektar. Penanaman berselang ini juga boleh memperbaiki mutu kesihatan ekosistem dan kesuburan tanah, seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran sawit. KPPK yakin bahawa insentif ini juga boleh membantu meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan seterusnya menstabilkan sekuriti makanan dalam negara.
4. Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan dari mana-mana pejabat TUNAS MPOB seluruh negara. Permohonan ini dibuka kepada mereka yang memiliki 6.5 hektar ladang kelapa sawit atau kurang.
5. Di bawah Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank - MPOB pula, pekebun kecil boleh memohon pinjaman untuk membeli benih kelapa sawit, baja, racun perosak dan racun serangga untuk ladang mereka. Mereka boleh memohon pinjaman bernilai RM2,500 sehektar sehingga RM16,250, dengan tempoh bayaran balik selama 24 bulan pada kadar faedah dua peratus. Pinjaman bertujuan membantu pekebun kecil dalam memula dan mengembang perniagaan mereka.
6. Insentif dan kemudahan ini adalah antara usaha berterusan Kementerian untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil selain mengimbangkan dinamik flora dan fauna bagi menjamin kelestarian alam sekitar. Kementerian komited untuk terus membela nasib pekebun kecil dengan tawaran permodenan operasi bagi menjamin kemampanan sumber pendapatan dalam jangka masa panjang.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
10 JUN 2022
Pelawat Hari Ini : 389 | Pelawat Bulan : 21582