KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN TAWAR DUA INSENTIF KEPADA SEKTOR SAWIT BAGI
MENJAMIN KEMAMPANAN SUMBER PENDAPATAN PEKEBUN KECIL
________________________________________________________________________
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyeru pekebun kecil kelapa sawit yang layak untuk memohon insentif bagi membantu menambah pendapatan dan mengembangkan perniagaan.
2. Kementerian telah membuka permohonan untuk dua insentif, iaitu Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah (Agro Bank - MPOB). Di bawah ITa, pekebun kelapa sawit yang menanam nanas layak mendapat insentif RM7,000 sehektar, manakala pekebun yang menanam pisang, tembikai, jagung dan betik pula layak untuk memohon insentif sehingga RM3,000 sehektar.
3. Insentif ini bertujuan untuk menggalakkan pemilik ladang mempelbagai sumber pendapatan melalui tanaman kontan dan mengoptimumkan penggunaan tanah. Ini selaras dengan polisi kerajaan mengenai pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit, dengan had penanaman tidak melebihi 6.5 juta hektar. Penanaman berselang ini juga boleh memperbaiki mutu kesihatan ekosistem dan kesuburan tanah, seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran sawit. KPPK yakin bahawa insentif ini juga boleh membantu meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan seterusnya menstabilkan sekuriti makanan dalam negara.
4. Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan dari mana-mana pejabat TUNAS MPOB seluruh negara. Permohonan ini dibuka kepada mereka yang memiliki 6.5 hektar ladang kelapa sawit atau kurang.
5. Di bawah Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank - MPOB pula, pekebun kecil boleh memohon pinjaman untuk membeli benih kelapa sawit, baja, racun perosak dan racun serangga untuk ladang mereka. Mereka boleh memohon pinjaman bernilai RM2,500 sehektar sehingga RM16,250, dengan tempoh bayaran balik selama 24 bulan pada kadar faedah dua peratus. Pinjaman bertujuan membantu pekebun kecil dalam memula dan mengembang perniagaan mereka.
6. Insentif dan kemudahan ini adalah antara usaha berterusan Kementerian untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil selain mengimbangkan dinamik flora dan fauna bagi menjamin kelestarian alam sekitar. Kementerian komited untuk terus membela nasib pekebun kecil dengan tawaran permodenan operasi bagi menjamin kemampanan sumber pendapatan dalam jangka masa panjang.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
10 JUN 2022