JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PELAKSANAAN PENGUATKUASAAN PERATURAN-PERATURAN
LEMBAGA KENAF DAN TEMBAKAU NEGARA
(PELESENAN TEMBAKAU DAN KELUARAN TEMBAKAU) 2011


1. Pelaksanaan Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2011 oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah mula dilaksanakan sepertimana diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2022 lalu.


2. Penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini akan melibatkan lima (5) jenis lesen sebagaimana berikut;

BIL. JENIS LESEN
a. Lesen Mengawet Tembakau
b. Lesen Membeli Tembakau Diawet
c. Lesen Mengilang Tembakau atau Keluaran Tembakau
d. Lesen Mengadun Tembakau
e. Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau


3. Pada tahun 2022 penguatkuasaan pelesenan melibatkan lesen mengawet tembakau, lesen membeli tembakau diawet, lesen mengilang tembakau atau keluaran tembakau dan lesen mengadun tembakau telah dilaksanakan.


4. Sementara Penguatkuasaan pelesenan bagi Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau akan dilaksanakan melalui 3 fasa iaitu:


i. Fasa 1 - Pelaksanaan kempen kesedaran dan hebahan mulai 1 Julai 2022;
ii. Fasa 2 - Pelesenan pengedaran tembakau atau keluaran tembakau tanpa bayaran fi mulai 1 Januari 2023;
iii. Fasa 3 - Penguatkuasaan sepenuhnya dengan bayaran fi mulai 1 Januari 2024. Dalam fasa 3, aktiviti pelesenan serta penguatkuasaan sepenuhnya akan melibatkan pengedaran tembakau dan keluaran tembakau.


5. Peraturan ini dikuatkuasakan bagi mengatasi implikasi negatif terhadap industri tembakau dan pengedaran tembakau serta produk tembakau tidak sah selari dengan komitmen Kerajaan yang telah menandatangani protokol World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO-FCTC) bagi mengawal selia industri tembakau termasuk rokok tidak sah.


6. Ekoran daripada aktiviti-aktiviti yang menyalahi serta bertentangan dengan kawalan industri tembakau yang telah ditetapkan oleh Kerajaan, ketirisan pungutan cukai berikutan aktiviti pengedaran tembakau dan produk tembakau tidak sah dianggarkan sebanyak RM5 billion setahun. Pelaksanaan kempen hebahan ini meliputi taklimat dan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan meliputi wakil industri, wakil pengawet, wakil pengedar dan Kementerian serta Agensi penguatkuasaan yang berkaitan secara berterusan.


7. Pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini juga akan memperkasakan lagi kawal selia industri tembakau negara melalui kerjasama diantara LKTN dengan Agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lain-lain.


8. Bagi memastikan penguatkuasaan peraturan ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar, LKTN telah menyediakan kemudahan kaunter pelesenan di semua pejabat utama dan wilayah. Selain itu, kios dan kaunter bergerak juga disediakan di lokasi strategik dan tumpuan orang ramai. Pelbagai kemudahan logistik, stor dan penyimpanan turut dipertingkatkan untuk memudahkan aktiviti pelaksanaan penguatkuasaan.


Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
18 Julai 2022