KENYATAAN MEDIA
MINYAK SAWIT MALAYSIA TEMBUSI PASARAN BAHARU DENGAN
PENERIMAAN GLOBAL YANG LEBIH BESAR
1. Minyak sawit Malaysia telah dapat menembusi pasaran global baharu dan ini membuktikan komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi, seiring dengan matlamat kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”.
2. Sekurang-kurangnya tiga buah negara yang sebelum ini tidak pernah mengimport minyak sawit Malaysia - Estonia, Republik Czech dan Hungary - telah mula membeli sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
3. Melihat kepada perkembangan semasa, saya menyambut baik situasi ini. Bagi saya, ia bukanlah perkara mustahil, setelah melihat usaha agresif dilakukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memasarkan minyak sawit negara di peringkat global, serta menangkis mitos yang dimainkan pihak tertentu dan propaganda Barat.
4. Sejak Januari hingga Julai tahun ini, Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, Republik Czech bernilai 95 tan bernilai RM0.88 juta, dan Hungary bernilai 853 tan bernilai RM6.73 juta.
5. Walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara ini tidak setinggi seperti di India dan Turkiye, ia masih merupakan perkembangan yang menggalakkan kerana ia merupakan pasaran baru. Dengan selangkah kaki masuk ke pintu negara-negara ini, ia membolehkan kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia di sana untuk tempoh jangka masa panjang.
6. Kementerian sedar pasaran baharu ini wujud sebahagiannya disebabkan oleh konflik yang berlaku di Ukraine, yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed. Bagaimanapun, saya percaya ini adalah permulaan yang baik dan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat.
7. KPPK juga pada masa sama telah menetapkan sasaran untuk mengeksport minyak sawit Malaysia ke lebih banyak negara bukan tradisional khususnya di Kesatuan Eropah (EU) serta akan berusaha mengembangkan pasaran dalam kalangan negara-negara pengimport.
8. Ini akan dilakukan melalui:
i. Memperkukuh pasaran eksport utama sedia ada, khususnya di India, China, Pakistan dan EU, serta mempromosikan produk minyak sawit secara lebih agresif untuk menembusi pasaran baharu seperti di Afrika dan rantau Asia Tengah;
ii. Meningkatkan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam pengeluaran produk baharu serta menambah nilai produk komoditi dalam industri hiliran dan;
iii. Meningkatkan akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala serta perundingan serantau atau pelbagai hala.
9. Maklum balas yang diterima daripada pasaran-pasaran baharu juga menunjukkan bahawa negara-negara berkenaan yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi dan ketersediaannya sepanjang tahun, serta kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan.
10. KPPK akan terus memanfaatkan kekuatan ini, sekaligus menunjukkan kejayaan kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”. Sebelum ini, ramai khususnya di EU, tidak tahu tentang kelebihan dan manfaat minyak sawit Malaysia berikutan kempen fitnah yang berterusan selama beberapa dekad.
11. Penerimaan minyak sawit di pasaran Malaysia kini semakin meningkat berikutan kesedaran yang tinggi, hasil usaha promosi warga Kementerian termasuk melalui misi perdagangan antarabangsa yang telah kami adakan. Usaha ini tidak akan terhenti di sini, KPPK komited untuk terus memacu sektor sawit kukuh dan kekal berdaya saing.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 SEPTEMBER 2022
KENYATAAN MEDIA
IPOSC 2022 SEBAGAI PLATFORM MENENTANG KEMPEN FITNAH
ANTI-SAWIT BLOK BARAT
1. Persidangan Kelestarian Minyak Sawit Antarabangsa Ke-7 2022 (IPOSC 2022), yang bakal diadakan pada 13 September 2022 akan menjadi platform yang penting untuk Malaysia menyangkal kempen fitnah blok Barat terhadap komoditi emas negara.
2. Persidangan yang diadakan setiap dua tahun sekali bertemakan "Mengalih Pematuhan Kemampanan kepada Pengawasan Kemampanan” pada tahun ini akan menyaksikan para pakar terkemuka berkongsi pandangan tentang perkembangan terkini dan cadangan penyelesaian untuk cabaran kemampanan semasa.
3. IPOSC telah bermula sejak tahun 2008 dan persidangan ke-7 ini akan diadakan di Kuala Lumpur, selepas persidangan terakhir yang diadakan secara dalam talian pada 2020 akibat pandemik COVID19. Persidangan yang merupakan sebahagian daripada usaha agresif Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit" ini akan menentang maklumat salah dan palsu mengenai minyak emas Malaysia.
4. IPOSC 2022 bertujuan untuk menjadi platform mengemas kini perkembangan yang relevan dan baru dalam isu kemampanan dalam industri sawit kepada pihak berkepentingan mengenai. Ia merupakan inisiatif dalam mengemas kini maklumat semasa industri minyak sawit Malaysia kepada pihak berkepentingan global sebagai maklum balas terhadap kebimbangan mereka dalam isu kemampanan. Ia termasuk isu-isu karbon sifar bersih dan usaha penyahkarbonan, pembiayaan hijau dan peluang ‘Environmental, Social, and Governance’ (ESG), serta perundangan antarabangsa berkaitan penebangan hutan yang akan memberi kesan kepada komoditi seperti minyak sawit.
5. Industri minyak sawit Malaysia kini berada di barisan hadapan inisiatif kemampanan, yang merangkumi pensijilan kemampanan, pelaporan kemampanan dan tadbir urus ESG. Malaysia ingin terus meletakkan industri minyak sawitnya sebagai peneraju dalam kemampanan dan penglibatan ESG.
6. Antara topik yang bakal dibincangkan dalam IPOSC 2022 adalah peluang dan kekangan dalam isu sifar bersih dan penyahkarbonan dalam industri minyak sawit, selaras dengan komitmen global untuk mencapai neutraliti karbon seawal 2050.
7. Inisiatif-inisiatif untuk menangani halangan dalam perdagangan global dan pemecut kemampanan dalam sektor kewangan, pengguna dan biofuel juga akan dibincangkan merangkumi
peranan pembiayaan hijau, pelaburan ESG dan pensijilan biofuel berisiko rendah ‘Indirect Land Use Change’ (ILUC).
8. Satu lagi topik perbincangan adalah impak perundangan berkaitan penebangan hutan terhadap potensi industri minyak sawit yang meneliti implikasi peraturan baharu di negara maju, bertujuan untuk membendung penggunaan dan import komoditi yang dikaitkan dengan penebangan hutan, serta peranan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang baru dalam menangani isu ini.
9. Secara konsisten, kajian telah menunjukkan bahawa minyak sawit lebih mesra alam berbanding dengan tanaman minyak lain. Sebagai contoh, minyak sawit adalah sinki karbon yang lebih cekap dan penggunaan baja juga kurang selian menghasilkan lebih banyak minyak untuk sehektar berbanding dengan ‘rapeseed’, kacang soya dan bunga matahari.
10. KPPK yakin persidangan ini akan melonjakkan status Malaysia sebagai pemimpin global dalam pengurusan mampan industri minyak sawit dan seterusnya membantu menyangkal dakwaan tidak berasas dari Barat. Industri minyak sawit Malaysia bukan penyebab kerosakan ekologi, dan ini adalah fakta.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
8 SEPTEMBER 2022
KENYATAAN MEDIA
KPPK TERUS PANTAU TREND PENURUNAN HARGA GETAH DEMI MEMASTIKAN
NASIB PEKEBUN KECIL TERBELA
________________________________________________________________________
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melihat situasi kejatuhan harga getah pada masa ini sebagai satu keadaan yang secara langsung memberi kesan kepada pekebun kecil getah di seluruh negara serta rantaian yang terlibat. Harga getah pada ketika ini telah mengalami kejatuhan sebanyak 11.7% bagi tempoh Julai hingga Ogos, yang mana harga peringkat ladang telah merosot kepada RM2.50 – RM2.80 sekilogram berbanding RM3.00 sekilogram semasa tempoh enam bulan pertama tahun ini.
2. Kementerian telah meneliti perkara ini dan mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga getah yang rendah ini. Antaranya disebabkan oleh prospek ekonomi global yang lembab berikutan aktiviti kilang global yang lebih perlahan, peningkatan kos bahan mentah dan tenaga global, peningkatan lebihan stok getah asli dunia serta kemerosotan prospek harga minyak mentah akibat kebimbangan pengurangan permintaan minyak disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia.
3. Pada masa sama, kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China serta ketidaktentuan daripada konflik Rusia-Ukraine juga dilihat antara faktor geopolitik yang turut menyebabkan penurunan harga getah. Bahkan, faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global diyakini memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah dalam negara, memandangkan Malaysia hanya mengeluarkan 4% daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.
4. Menyedari perkara berkenaan, Kementerian bersama-sama agensi di bawahnya iaitu Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Majlis Getah Malaysia (MRC) komited untuk memastikan nasib pekebun kecil terus dilindungi, menerusi inisiatif yang berterusan dilaksanakan termasuk:
i. Insentif Pengeluaran Getah (IPG)
Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah rendah di samping menggalakkan aktiviti penorehan. Melalui pelaksanaan IPG,pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50% kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram. Usaha ini dilakukan demi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan industri getah secara keseluruhannya terjamin.
ii. Insentif Pengeluaran Lateks (IPL)
Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100% kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off). Manakala bagi koperasi atau pelesen runcit getah yang menyertai program IPL ini pula, mereka akan memperoleh manfaat bantuan pembinaan baru atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG) berjumlah RM50,000 atau kemudahan alat mengumpul lateks serta perkakasan yang berkaitan dengannya.
iii. Tender secara atas talian (MyRol)
MyROL merupakan salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian. Melalui MyRol, kecekapan rantaian nilai getah peringkat ladang dapat ditingkatkan yang mana pekebun akan menikmati harga yang lebih kompetitif kerana getah yang dijual berkualiti tinggi di samping kuantiti yang banyak hasil dari jualan secara berkelompok.
iv. Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET)
Pelaksanaan Projek TARGET melalui Konsep Koperasi Pekebun Dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan bertujuan untuk menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang besar agar mampu memproses getah sekerap (cuplump) kepada bentuk getah krip. Getah krip yang mempunyai Kandungan Getah Kering (KGK) yang lebih tinggi dapat memberikan harga jualan yang lebih baik berbanding getah sekerap.
v. Taklimat dan hebahan berkenaan kualiti getah
LGM turut mengadakan taklimat beserta hebahan berkenaan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), IPG, RRIMniaga dan isu-isu berkaitan getah kepada pekebun kecil. Taklimat berkenaan kualiti getah diadakan untuk mendidik dan membanteras kegiatan mencemar getah secara sengaja di kalangan pekebun kecil supaya mereka mendapat harga getah yang lebih baik. Ini kerana kualiti getah turut mempengaruhi harga yang diterima oleh pekebun kecil.
vi. Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G
Permit ini diberi secara percuma kepada pekebun kecil dan wajib digunakan semasa melakukan transaksi penjualan getah milik pekebun kecil kepada pembeli getah yang berlesen dengan LGM. Dengan adanya pengenalan ini, ianya bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, namun bertindak sebagai pemudah cara kepada setiap pelaksanaan program dan inisiatif yang dijalankan Kerajaan melibatkan pekebun kecil getah seperti perlaksanaan IPG dan IPL. Di samping itu, ia membantu mewujudkan rantaian yang boleh dikesan (traceability)
dalam memastikan kelestarian industri getah.
vii. RRIMniaga
RRIMniaga adalah inovasi LGM yang merupakan satu aplikasi telefon pintar bagi tujuan merekodkan urus niaga getah oleh pelesen (peniaga getah). Aplikasi ini diinovasikan bagi memudahkan urusniaga getah. Melalui penggunaan RRIMniaga, proses jual beli getah adalah lebih mudah dan proses penyaluran bantuan seperti tuntutan IPG dan IPL bagi pemohon yang layak akan dilakukan secara automatik dalam talian. Justeru, penggunaan sistem RRIMniaga secara tidak langsung membantu menjaga kebajikan pekebun kecil getah.
viii. Bantuan tanaman semula getah
Kerajaan melalui RISDA telah menaikkan kadar bantuan tanam semula getah. Kadar bantuan tanam semula ini telah dinaikkan bermula tahun 2021 kepada RM13,710 per hektar di Semenanjung Malaysia, RM14,805 per hektar di Sarawak dan RM14,955 per hektar di Sabah. Bagi tahun sebelumnya iaitu dari 2010-2020, kadar bantuan tanam semula getah adalah RM9,230 sehektar di Semenanjung, RM13,500 (Sarawak) dan RM14,000 (Sabah). Kementerian komited untuk membela nasib pekebun kecil dan melindungi sektor getah yang
merupakan komoditi kedua terbesar negara. Trend kejatuhan harga getah akan terus dipantau dan saya sendiri akan memastikan segala inisiatif terlaksana bagi memastikan sektor getah negara terus mampan.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
07 SEPTEMBER 2022
KENYATAAN MEDIA
USAHA PERCEPAT PENGAMBILAN PEKERJA WARGANEGARA INDONESIA PERLU
DISELARASKAN GUNA PLATFORM DIGITAL SEPENUHNYA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) maklum akan kebimbangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengenai risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada tahun 2021 dan dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera.
2. Isu kekurangan pekerja asing bermula susulan penutupan sempadan negara disebabkan pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 memuncak dan meruncing sehingga menjejaskan proses menuai hasil di ladang-ladang seluruh negara.
3. Kementerian pada masa sama turut menyambut baik persetujuan dilakukan oleh Republik Indonesia atas keputusan membenarkan semula kemasukan pekerjanya ke Malaysia yang telah berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2022 lalu, selepas menarik balik sekatan sebelum itu, yang dibuat berikutan kebimbangan mengenai isu berkaitan hak-hak pekerja warganegaranya.
4. Bagi mempermudahkan proses pengambilan pekerja asing, KPPK sedar bahawa proses itu perlu dilaksanakan dengan berkesan dan lengkap. Sehubungan itu, pihak kementerian berharap proses berkenaan diselaraskan secara berperingkat kepada platform digital sepenuhnya dan seboleh-bolehnya tanpa melibatkan penggunaan tenaga manusia.
5. Untuk penyelesaian jangka panjang, KPPK menggalakkan pemilik ladang untuk memberikan latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja warga tempatan, selain mengamalkan pengurusan tenaga buruh dengan baik yang penting untuk mengekalkan pekerja-pekerja asing digajikan mereka.
6. Dasar pengurusan tenaga buruh yang baik bukan sahaja dapat menggelakkan pekerja asing yang digajikan mereka daripada melarikan diri, malah ia juga membolehkan majikan mengelakkan risiko terlibat dalam isu-isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia, yang dilihat boleh menjejaskan urusan eksport bagi tempoh jangka masa panjang.
7. Kementerian tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan buruh paksa di dalam negara serta Malaysia akan terus mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Bahkan, terus menyokong Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) yang dibangunkan dalam usaha menangani serta membasmi isu buruh paksa dalam negara.
8. Kementerian yakin usaha-usaha murni yang digerakkan ketika ini dapat membantu menggerakkan kempen ‘Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit ’atau ‘The Global Movement to Champion the Goodness of Palm Oil’ yang antara lain bertujuan meneroka dan menembusi pasaran-pasaran baharu serta meningkatkan eksport minyak sawit negara kita.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 OGOS 2022
KENYATAAN MEDIA
POTENSI MINYAK SAWIT MALAYSIA KEKAL UTUH WALAUPUN HARGA CPO
MELEMAH
________________________________________________________________________________
1. Eksport minyak sawit Malaysia dan produk-produk berasaskan minyak sawit menokok sebanyak 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini daripada RM43.47 bilion sepanjang tempoh sama pada 2021. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1 peratus hasil eksport adalah daripada minyak sawit, iaitu RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
2. Dari segi volum, eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini juga meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 11.47 juta tan metrik (MT) berbanding 11.15 juta MT tahun lalu. Malaysia merekodkan eksport yang kukuh walaupun berlaku kemerosotan harga minyak sawit mentah (CPO) dan penyusutan pengeluaran CPO sebanyak 1.1 peratus kepada 8.27 juta MT sepanjang tempoh berkenaan berbanding 8.36 juta MT dalam tempoh separuh pertama 2021.
3. Kemerosotan yang berlaku adalah disebabkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang menyusut sebanyak 3.6 peratus per hektar sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2022, berbanding 7.16 tan per hektar sepanjang tempoh sama tahun lalu. Sementara itu, lonjakan mendadak dalam hasil eksport sebahagiannya adalah disebabkan peningkatan harga CPO, baik di dalam atau luar negara. Antara Januari hingga Jun 2022, harga CPO melonjak sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 per MT daripada RM4,061.50 per MT bagi tempoh sama 2021.
4. Mengikut Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), hasil daripada eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada RM56.47 bilion atau peningkatan sebanyak 58.8 peratus berbanding lima bulan pertama 2021.
5. Saya amat gembira dengan hasil menggalakkan yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama 2022 yang membolehkan pemain-pemain industri - sama ada pekebun kecil atau syarikat perladangan senaraian awam - mendapat manfaat daripada peningkatan harga CPO untuk menjana perolehan yang lebih tinggi. Jelas sekali, lonjakan dalam perolehan hasil akan menyaksikan peningkatan dalam pendapatan yang kemudian boleh menyumbang dalam bentuk pelbagai cukai untuk digunakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia bagi melaksanakan program-program berkaitan sosio-ekonomi yang penting bagi mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negara daripada kesan pandemik COVID-19.
6. Kementerian dan saya secara peribadi amat gembira melihat sawit atau 'tanaman emas' kita sudah dapat diterima dengan meluas di peringkat global seperti ditunjukkan dalam bentuk eksport yang menggalakkan dalam tempoh separuh pertama 2022. Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan seluruh agensi berkaitan atas usaha agresif dan tidak pernah jemu dalam mempromosikan minyak sawit Malaysia, khususnya dalam pelbagai misi perdagangan bersama saya di luar negara.
7. Kementerian yakin potensi dan prospek untuk minyak sawit Malaysia akan kekal cerah untuk tempoh separuh kedua 2022, memandangkan penerimaan global kepada komoditi negara sudah semakin meluas, termasuk oleh pasaran-pasaran yang bukan tradisional. Saya melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan daripada kempen KPPK, iaitu 'Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' atau 'The Global Movement to Champion the Goodness of Palm Oil' yang bertujuan menepis dakyah-dakyah dan maklumat-maklumat salah
mengenai komoditi terbesar Malaysia ini.
DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
09 OGOS 2022
Pelawat Hari Ini : 81 | Pelawat Bulan : 19668