KENYATAAN MEDIA
INISATIF KEMAMPANAN MINYAK SAWIT NEGARA SEBAGAI
PEMBINA HUBUNGAN PERDAGANGAN LEBIH BAIK DENGAN
KESATUAN EROPAH (EU)
1. WALAUPUN Kesatuan Eropah (EU) menentang perdagangan minyak sawit sejak 2003, Malaysia berazam untuk memupuk hubungan baik dengan blok perdagangan itu demi penyelesaian
menang-menang untuk industri sawit negara.
2. Ini sedang dilakukan melalui pelbagai platform, antaranya, Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-EU, program seminar atau webinar dan dialog serta perbincangan melalui misi promosi ekonomi dan minyak sawit di EU. Malaysia bertekad untuk terus menyalurkan pelbagai maklumat terkini mengenai industri minyak sawit – khususnya dari aspek kesihatan dan pemakanan dan kemampanan, bagi menghapus tanggapan yang salah mengenai minyak sawit dan produk berkaitannya dalam kempen anti-minyak sawit di EU.
3. Sejajar dengan usaha ini, dua inisiatif - program perkongsian Malaysia-EU yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian perdagangan minyak sawit dan kerjasama di bawah Majlis NegaraNegara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah dilakukan oleh Kementerian.
4. Di bawah inisiatif perkongsian Malaysia-EU, terdapat dua program yang penting - projek Kelestarian Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia, yang juga dikenali sebagai Keberlanjutan Sawit Malaysia dan Indonesia (KAMI); dan Inisiatif Kebangsaan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar Iklim (NI-SCOPS) dengan Belanda. Dalam inisiatif CPOPC, Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk menentang kempen anti-minyak sawit di peringkat global dengan pelbagai program untuk menggagalkan kempen anti-minyak sawit.
5. Antara program penting di bawah CPOPC adalah:
i) Misi bersama ke Eropah di bawah CPOPC dengan penyertaan Malaysia dan Indonesia untuk mengadakan perbincangan dan perundingan dengan EU dalam pengurusan isu berkaitan minyak sawit di Eropah;
ii) Menyerahkan surat bantahan secara bersama kepada negara/blok perdagangan yang mendiskriminasi minyak sawit, iaitu EU; dan
iii) Pelaksanaan Program Advokasi EU; strategi komunikasi dan promosi di China, Pakistan, India dan Bangladesh serta kempen media sosial di kalangan negara anggota CPOPC.
6. Malaysia dan Indonesia, dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia, telah pun menghantar surat bantahan kepada EU pada April 2019 mengkritik keputusan untuk tidak lagi menganggap minyak sawit sebagai biofuel, yang juga mengancam hubungan blok itu dengan kedua-dua negara. Ini berlaku selepas Suruhanjaya Eropah (EC) memutuskan bahawa minyak sawit telah mengakibatkan penebangan hutan yang berlebihan dan ia tidak lagi boleh dianggap sebagai bahan api pengangkutan boleh diperbaharui, kecuali untuk beberapa pengecualian.
7. Perkara ini telah menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya – Perancis dan Lithuania – pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
8. Tindakan ini diambil berikutan keputusan EU untuk mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan status guna tanah tidak langsung.
9. EU juga menganggap industri minyak sawit menyumbang kepada penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti dan negara-negara EU juga menggunakan European Union Renewable Energy Directive II dalam proses perundangan mereka. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, yang selaras dengan gerakan global untuk memperjuangkan kebaikan minyak sawit.
10. Mengambil kira situasi terkini Ukraine-Rusia dan perubahan cuaca yang menyebabkan kekurangan bekalan minyak soya dan bunga matahari, ini merupakan peluang keemasan untuk Malaysia mempromosikan kebaikan minyak sawit kepada EU agar dapat dapat mengisi kelompangan bekalan minyak masak dunia.
11. Dunia seharusnya meyakini potensi minyak sawit Malaysia kerana inisiatif kemampanan minyak sawit negara. Ini dilakukan menerusi pelbagai kempen berterusan Kementerian yang giat dilaksanakan bagi mempertahankan imej minyak sawit yang memiliki reputasi harga komoditi yang tinggi selain situasi pengeluaran minyak masak dunia yang tidak stabil buat masa ini.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
27 Jun 2022