JATA LATES

ALATAN AUTOMASI DALAM SEKTOR PERLADANGAN SEBAGAI
PENYELESAIAN JANGKA PANJANG KURANGKAN
KEBERGANTUNGAN TERHADAP PEKERJA ASING


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan khususnya sawit. Kementerian sedar kekurangan pekerja ini akan menyebabkan industri sawit mengalami penurunan pendapatan sebanyak 5% hingga 10%, seperti diramalkan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).


2. Semua pihak perlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini berlaku adalah berpunca daripada langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa, bagi membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara, sekaligus melindungi imuniti kelompok rakyat daripada penyakit berjangkit.


3. Ketika ini, Kementerian terus berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera.


4. Kerajaan Persekutuan menerusi keputusan pada September 2021 bersetuju untuk meluluskan rancangan membawa masuk sejumlah 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara. KPPK yakin bahawa sasaran ini akan dicapai dan isu berkaitan permit telah dibawa ke perhatian Kementerian.


5. Di masa hadapan, pemilik-pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara perlu melihat prospek pekerja dengan lebih meluas seperti di India dan Pakistan, serta tidak hanya tertumpu kepada pekerja-pekerja dari negara Indonesia dan Bangladesh. KPPK juga berharap pemilik ladang akan mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.


6. Menerusi kajian dan penyelidikan teknologi dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pemilik-pemilik ladang disaran meningkatkan penggunaan automasi seperti menggunakan dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak. KPPK yakin, penggunaan automasi di peringkat ladang akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang.


7. Penggunaan teknologi automasi juga diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.


8. KPPK menggalakkan pemilik kebun untuk mula membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi. KPPK juga percaya bahawa pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan Kempen "Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan" yang sedang dijalankan.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
18 JUN 2022