JATA LATES

SIARAN MEDIA
SESI LIBAT URUS BERSAMA SARAWAK TIMBER ASSOCIATION
(STA) BERKAITAN KERUGIAN TERKUMPUL PERNIAGAAN MELEBIHI
10 TAHUN


1. YB Datuk Willie Anak Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini telah mengadakan sesi libat urus dengan Sarawak Timber Association (STA) bagi membincangkan isu berkaitan kerugian terkumpul perniagaan yang tidak dibenarkan untuk dibawa ke hadapan bagi tempoh melebihi 10 tahun.


2. STA melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan berhubung kegusaran industri akan keputusan Kerajaan hanya membenarkan kerugian perniagaan terkumpul yang dibenarkan untuk digunakan sebagai elemen pengurangan cukai pendapatan korporat sehingga tempoh 10 tahun sahaja. Sehubungan dengan itu, sesi libat urus ini diadakan bagi mendapatkan pandangan daripada pihak industri perkayuan Sarawak yang diwakili oleh STA yang dibincangkan bersama wakil Kementerian Kewangan (MoF), Lembaga Perindustrian Kayu Negara (MTIB) dan Malaysian Timber Council (MTC).

3. MoF telah meneliti semula dasar dan memanjangkan tempoh sekatan tersebut daripada 7 tahun kepada 10 tahun dalam pengumuman Bajet 2022 bagi semua industri. Pada masa yang sama, MoF juga telah mengumumkan bahawa kajian terperinci akan dijalankan bagi sektor/industri yang bersifat menunggu hasil jangka panjang (longgestation period) seperti perladangan hutan, pembalakan, pertanian, komoditi serta projek infrastruktur berskala besar seperti stesen jana kuasa dan lebuh raya.


4. Aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) adalah untuk memodenkan industri perkayuan negara ke arah peningkatan daya tahan sektor berkenaan. Sasaran nilai pasaran eksport bagi kayu dan produk kayu pada tahun 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion iaitu 70% eksport adalah terdiri daripada produk hiliran. Pada tahun 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM22.74 bilion. Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15% dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian.


5. Kementerian melalui MTIB, MTC dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) sentiasa komited untuk memberikan khidmat nasihat dalam industri perkayuan negara. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah bekerjasama dengan MTCC untuk mempromosikan dan memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf oleh Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC).

6. Kementerian positif bahawa kerjasama berterusan bersama pemegang taruh di Sarawak dapat meningkatkan lagi daya saing industri perkayuan negara dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa. Seterusnya, kerjasama ini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan negara serta kemakmuran bersama.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
4 OGOS 2022