JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KPPK TERUS PANTAU TREND PENURUNAN HARGA GETAH DEMI MEMASTIKAN
NASIB PEKEBUN KECIL TERBELA
________________________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melihat situasi kejatuhan harga getah pada masa ini sebagai satu keadaan yang secara langsung memberi kesan kepada pekebun kecil getah di seluruh negara serta rantaian yang terlibat. Harga getah pada ketika ini telah mengalami kejatuhan sebanyak 11.7% bagi tempoh Julai hingga Ogos, yang mana harga peringkat ladang telah merosot kepada RM2.50 – RM2.80 sekilogram berbanding RM3.00 sekilogram semasa tempoh enam bulan pertama tahun ini.


2. Kementerian telah meneliti perkara ini dan mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga getah yang rendah ini. Antaranya disebabkan oleh prospek ekonomi global yang lembab berikutan aktiviti kilang global yang lebih perlahan, peningkatan kos bahan mentah dan tenaga global, peningkatan lebihan stok getah asli dunia serta kemerosotan prospek harga minyak mentah akibat kebimbangan pengurangan permintaan minyak disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia.


3. Pada masa sama, kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China serta ketidaktentuan daripada konflik Rusia-Ukraine juga dilihat antara faktor geopolitik yang turut menyebabkan penurunan harga getah. Bahkan, faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global diyakini memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah dalam negara, memandangkan Malaysia hanya mengeluarkan 4% daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.


4. Menyedari perkara berkenaan, Kementerian bersama-sama agensi di bawahnya iaitu Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Majlis Getah Malaysia (MRC) komited untuk memastikan nasib pekebun kecil terus dilindungi, menerusi inisiatif yang berterusan dilaksanakan termasuk:
i. Insentif Pengeluaran Getah (IPG)
Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah rendah di samping menggalakkan aktiviti penorehan. Melalui pelaksanaan IPG,pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50% kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram. Usaha ini dilakukan demi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan industri getah secara keseluruhannya terjamin.
ii. Insentif Pengeluaran Lateks (IPL)
Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100% kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off). Manakala bagi koperasi atau pelesen runcit getah yang menyertai program IPL ini pula, mereka akan memperoleh manfaat bantuan pembinaan baru atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG) berjumlah RM50,000 atau kemudahan alat mengumpul lateks serta perkakasan yang berkaitan dengannya.
iii. Tender secara atas talian (MyRol)
MyROL merupakan salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian. Melalui MyRol, kecekapan rantaian nilai getah peringkat ladang dapat ditingkatkan yang mana pekebun akan menikmati harga yang lebih kompetitif kerana getah yang dijual berkualiti tinggi di samping kuantiti yang banyak hasil dari jualan secara berkelompok.
iv. Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET)
Pelaksanaan Projek TARGET melalui Konsep Koperasi Pekebun Dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan bertujuan untuk menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang besar agar mampu memproses getah sekerap (cuplump) kepada bentuk getah krip. Getah krip yang mempunyai Kandungan Getah Kering (KGK) yang lebih tinggi dapat memberikan harga jualan yang lebih baik berbanding getah sekerap.
v. Taklimat dan hebahan berkenaan kualiti getah
LGM turut mengadakan taklimat beserta hebahan berkenaan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), IPG, RRIMniaga dan isu-isu berkaitan getah kepada pekebun kecil. Taklimat berkenaan kualiti getah diadakan untuk mendidik dan membanteras kegiatan mencemar getah secara sengaja di kalangan pekebun kecil supaya mereka mendapat harga getah yang lebih baik. Ini kerana kualiti getah turut mempengaruhi harga yang diterima oleh pekebun kecil.
vi. Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G
Permit ini diberi secara percuma kepada pekebun kecil dan wajib digunakan semasa melakukan transaksi penjualan getah milik pekebun kecil kepada pembeli getah yang berlesen dengan LGM. Dengan adanya pengenalan ini, ianya bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, namun bertindak sebagai pemudah cara kepada setiap pelaksanaan program dan inisiatif yang dijalankan Kerajaan melibatkan pekebun kecil getah seperti perlaksanaan IPG dan IPL. Di samping itu, ia membantu mewujudkan rantaian yang boleh dikesan (traceability)
dalam memastikan kelestarian industri getah.
vii. RRIMniaga
RRIMniaga adalah inovasi LGM yang merupakan satu aplikasi telefon pintar bagi tujuan merekodkan urus niaga getah oleh pelesen (peniaga getah). Aplikasi ini diinovasikan bagi memudahkan urusniaga getah. Melalui penggunaan RRIMniaga, proses jual beli getah adalah lebih mudah dan proses penyaluran bantuan seperti tuntutan IPG dan IPL bagi pemohon yang layak akan dilakukan secara automatik dalam talian. Justeru, penggunaan sistem RRIMniaga secara tidak langsung membantu menjaga kebajikan pekebun kecil getah.
viii. Bantuan tanaman semula getah
Kerajaan melalui RISDA telah menaikkan kadar bantuan tanam semula getah. Kadar bantuan tanam semula ini telah dinaikkan bermula tahun 2021 kepada RM13,710 per hektar di Semenanjung Malaysia, RM14,805 per hektar di Sarawak dan RM14,955 per hektar di Sabah. Bagi tahun sebelumnya iaitu dari 2010-2020, kadar bantuan tanam semula getah adalah RM9,230 sehektar di Semenanjung, RM13,500 (Sarawak) dan RM14,000 (Sabah). Kementerian komited untuk membela nasib pekebun kecil dan melindungi sektor getah yang
merupakan komoditi kedua terbesar negara. Trend kejatuhan harga getah akan terus dipantau dan saya sendiri akan memastikan segala inisiatif terlaksana bagi memastikan sektor getah negara terus mampan.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
07 SEPTEMBER 2022