JATA LATES

SIARAN MEDIA
EKSPO DAN SIDANG KEMUNCAK AGRIKOMODITI ANTARABANGSA MALAYSIA
2022 (MIACES) HAB GLOBAL PEMAIN INDUSTRI AGRIKOMODITI


1. YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri hari ini merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) yang akan bermula 26 hingga 28 Julai 2022 di MITEC, Kuala Lumpur dan melibatkan penyertaan daripada 39 buah negara dan lebih 350 syarikat antarabangsa.


2. MIACES dianjurkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan sokongan agensi dan majlis di bawah Kementerian. MIACES 2022 menjadi medium memperkukuhkan rangkaian kerjasama antara pemain agrikomoditi bagi membina rangkaian urus niaga serta meneroka potensi pelaburan dalam sektor agrikomoditi. Ia juga membuka ruang dan potensi bagi pemain industri menembusi pasaran antarabangsa dalam persekitaran perniagaan yang kondusif.


3. Ekspo dan sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga (3) hari ini, menampilkan produk-produk komoditi, perkhidmatan dan teknologi perladangan terkini di bawah satu bumbung. Pelbagai acara lain turut dianjurkan antaranya persidangan, perbincangan meja bulat, mesyuarat business to business (B2B) dan malam anugerah berprestij bagi menghargai sumbangan pemain industri agrikomoditi.


4. MIACES 2022 membantu merapatkan jurang antara pemain industri, mempercepatkan pendigitalan bagi membina ekosistem yang mampan untuk meningkatkan kualiti. Ekspo dan sidang kemuncak ini juga menyaksikan pemainpemain industri di setiap rangkaian agrikomoditi dapat berurus niaga dan bekerjsama dalam satu hab yang sama.


5. Bukan itu sahaja, MIACES 2022 menampilkan Program ‘Hosted Buyer’ yang membantu para usahawan memperluas model perniagaan dan membuka peluang untuk berhubung dengan peneraju dalam sektor agrikomoditi. Platform B2B Virtual MIACES menawarkan sesi 1 on 1 bersama pengeksport, pengedar, pengimport, pelabur, pengilang, peruncit, peniaga, pemborong dan badan serta agensi kerajaan.


6. Seramai 20 penceramah akan terlibat dalam sesi mentor dan bimbingan untuk syarikat pemula dalam industri perladangan dan komoditi, di samping sesi pengambilan/ perekrutan, latihan dan peningkatan kemahiran kepada semua. Penganjuran Special Farmers Day semasa ekspo dan sidang kemuncak ini juga membuka peluang kepada para pekebun mendapatkan maklumat tentang insentif, sokongan dan teknologi terkini dalam industri.


7. Semua pihak dijemput untuk hadir ke MIACES untuk menyokong industri agrikomoditi negara. Bagi maklumat lanjut dan pra-pendaftaran untuk aktiviti, layari myagricommodity.com. Kemasukan adalah percuma untuk semua pengunjung.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 JULAI 2022