JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PEMBANGUNAN INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA DIPERKASA
MELALUI KERJASAMA ERAT ANTARA KEMENTERIAN
PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI BERSAMA
NEGERI SARAWAK
______________________________________________________________

1. YB Datuk Willie Anak Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada hari ini telah mengadakan lawatan ke Ladang Hutan Samarakan di Bintulu, Sarawak anjuran Jabatan Hutan Sarawak. Lawatan ini turut disertai oleh Kaunselor (Pertanian) Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, wakil Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Program ini bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini pembangunan ladang hutan serta Pengurusan Hutan Mampan (SFM) di Malaysia terutamanya di Sarawak. Di samping itu, ia juga bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta pemegang taruh industri perkayuan di Sarawak.


2. Sarawak mempunyai unit pengurusan ladang hutan (FPMU) terbanyak dan terbesar di Malaysia. Keseluruhannya, 1.178 juta hektar kawasan hutan di Sarawak telah dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang merangkumi 6 FPMU dan 11 unit pengurusan hutan asli (FMU). Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Sarawak yang menetapkan agar pemegang lesen kayu pada jangka masa panjang mendapatkan Pensijilan Pengurusan Hutan menjelang tahun ini. KPPK melalui Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan terus mempromosi dan memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi MTCS yang diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).


3. Aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 adalah untuk memodenkan industri perkayuan negara ke arah peningkatan daya tahan sektor berkenaan. Sasaran nilai pasaran eksport bagi kayu dan produk kayu pada tahun 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion iaitu 70% eksport adalah terdiri daripada produk hiliran. Pada tahun 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi Negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM22.74 bilion. Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15% dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian.


4. Kerajaan telah dan sedang mengambil inisiatif serta tindakan bagi menggalakkan kemampanan yang menyeluruh di sepanjang rantaian nilai perkayuan (value chain). Antaranya termasuk penyediaan pinjaman sebanyak RM500 juta lagi menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menjamin bekalan bahan mentah industri perkayuan agar berterusan pada masa hadapan.


5. Kementerian positif bahawa kerjasama berterusan bersama pemegang taruh di Sarawak dapat meningkatkan lagi daya saing industri perkayuan Negara dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa. Seterusnya, kerjasama ini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan Negara serta kemakmuran bersama.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
1 APRIL 2022