JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PROJEK TARGET DILANCARKAN DI PROGRAM JELAJAH
AGRIKOMODITI KELUARGA MALAYSIA DI KEDAH BAKAL
MENINGKATKAN DAYA SAING PEKEBUN KECIL


1. Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip dan sekali gus melancarkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) pada 13 Mac 2022 di Padang Terap, Kedah.


2. Dengan pembukaan pusat pemprosesan getah krip, Kementerian yakin ini akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Komitmen pihak NGO tempatan turut membantu merapatkan jurang ekonomi antara sektor huluan dan hiliran industri getah negara. Getah krip yang boleh dijual pada nilai harga yang lebih tinggi merupakan satu alternatif baharu buat pekebun-pekebun kecil getah dalam mempelbagaikan sumber pendapatan. Ia juga bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil pengeluaran lateks atau getah beku mangkuk (cuplump) semata-mata. Getah krip mengandungi kandungan getah yang lebih tinggi dan disebabkan itu mempunyai harga yang lebih tinggi berbanding cuplump.


3. Manakala projek TARGET merupakan usaha Kementerian untuk meningkatkan pendapatan dan daya saing pekebun kecil getah. Koperasi dan peniaga getah bakal mendapat manfaat dengan menyertai program ini. Pendekatan projek TARGET adalah untuk memendekkan rantaian perniagaan getah, pengurangan ketirisan dan meningkatkan ketelusan dalam urusniaga getah serta mengukuhkan kesatuan pekebun kecil melalui koperasi. Di samping itu, dapat meningkatkan amalan pertanian baik dan memberi peluang sektor pekebun kecil meningkatkan nilai tambah produk mereka melalui penyertaan dalam bidang pemprosesan getah.


4. Koperasi dan peniaga getah yang layak akan dibantu dengan sokongan teknikal dan pembiayaan tertentu. Kementerian sememangnya prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan dengan para pekebun kecil getah terutama sekali dalam mendepani jurang ekonomi yang dihadapi dan sentiasa memikirkan cara untuk membantu meningkatkan pendapatan dan membaik pulih taraf kehidupan mereka.


5. Dalam majlis berasingan, YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia dan seterusnya Penyerahan Penyertaan Projek TARGET di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Naka, Kuala Nerang, Kedah. YB Menteri turut menyaksikan penyerahan borang permohonan Koperasi Pekebun Kecil Padang Terap, Koperasi FELCRA Bukit Tampoi dan Koperasi FELCRA Belimbing Tualak bagi menyertai program TARGET.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
13 MAC 2022