JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PEKEBUN KECIL GETAH SERTAI PROGRAM INSENTIF
PENGELUARAN LATEKS (IPL) TERIMA BANTUAN ‘ONE-OFF’
DALAM BENTUK INPUT PERTANIAN DAN INSENTIF TUNAI
RM1/KG BAGI KANDUNGAN GETAH KERING (KGK)


1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia: Majlis Pelancaran Insentif Pengeluaran Lateks di premis MHJ Enterprise, Lot 3500, Kg Renab, Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan hari ini.


2. Pada program ini YB Datuk Hajah Zuraida telah menyerahkan alat mengukur kandungan getah kering bagi lateks kepada pelesen-pelesen getah dan input pertanian kepada pekebun kecil getah yang merupakan peserta dalam program insentif ini. Sebelum itu, sesi taklimat berkenaan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan aktiviti-aktiviti khidmat LGM telah disampaikan kepada semua peserta.


3. Setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL ini akan menerima bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off). Para peserta juga akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00/kg bagi 100% kandungan getah kering (KGK).


4. Koperasi / Pelesen runcit getah yang menyertai program ini akan memperoleh manfaat bantuan pembinaan baru atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG) dan alat mengukur Kandungan Getah Kering (KGK) RRIMETER tertakluk kepada syarat yang dipersetujui.


5. Penggunaan RRIMETER dapat membantu pekebun kecil dan industri bagi mendapatkan ketepatan dalam menentukan KGK yang akan menentukan harga bagi aktiviti urus jual beli getah di peringkat lapangan. Secara tidak langsung, RRIMETER dapat mengawal dan membendung sebarang aktiviti manipulasi dan ketirisan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


6. Pendekatan Program IPL merupakan usaha LGM untuk meningkatkan pendapatan dan daya saing pekebun kecil getah dengan memberi galakan untuk beralih kepada penghasilan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap(cuplump).


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
19 Mac 2022