KENYATAAN MEDIA
KPPK MENERUSKAN USAHA MEMPERKASAKAN USAHAWAN
COKLAT DAN PENGUSAHA KOKO DI SARAWAK
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menjayakan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 Padawan di Dewan Teng Bukap, Sarawak. Sempena program ini, beliau telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan anjuran Lembaga Koko Malaysia(LKM).
2. Program kali ini memberi fokus kepada komuniti wanita bagi menggalakkan lebih ramai golongan berkenaan di Padawan dan di Teng Bukap khususnya untuk terlibat dalam bidang keusahawanan serta pengeluaran produk koko dan coklat.
3. Seramai 150 orang peserta menghadiri kursus ini dan telah diberi pendedahan awal mengenai potensi industri hiliran koko. Menerusi kursus tersebut juga, para peserta didedahkan mengenai teknik-teknik pembuatan coklat Single Origin. Peluang turut dibuka kepada para penanam koko di Sarawak yang berminat untuk menjadi pembekal biji koko Single Origin.
4. Pada masa ini, permintaan kepada produk coklat Single Origin semakin meningkat dan menunjukkan trend yang positif. Mengambil kira perkembangan ini, LKM melalui Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad telah mula mengeluarkan dan memasarkan produk tersebut. Sebanyak lima (5) produk coklat Single Origin Sarawak telah diperkenalkan antaranya produk coklat Single Origin Puncak Borneo, yang dihasilkan pekebun koko dari Padawan. Manakala (4) lagi produk adalah dari kawasan tanaman koko Julau, Asajaya, Serian dan Sarikei.
5. Kementerian melalui LKM giat melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Coklat untuk membangunkan usahawan coklat tempatan melalui latihan kemahiran pembuatan coklat, pemberian insentif peralatan dan mesin, khidmat nasihat pembangunan perniagaan serta pemasaran yang lebih efektif. Program ini dirangka bagi menghasilkan produk koko dan coklat yang berdaya saing di pasaran tempatan dan luar negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
19 MAC 2022