SIARAN MEDIA 2024

SIARAN MEDIA

PAMERAN KOMODITI KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN

KOMODITI (KPK)  MEMPERKASAKAN SEKTOR PERLADANGAN NEGARA MELALUI PENGETAHUAN DAN INOVASI

KUALA LUMPUR, 23 OGOS 2024 – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengadakan pameran komoditi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  selama empat hari, bermula dari 21 hingga 24 Ogos 2024. Pameran ini bertujuan untuk memperkasa pengetahuan dan kemahiran pekebun kecil serta pemain industri berkaitan komoditi utama negara, iaitu getah dan kelapa sawit dengan memberikan pendedahan kepada para pengunjung mengenai teknik terkini, inovasi, serta amalan terbaik dalam sektor perladangan, khususnya berkaitan komoditi getah dan kelapa sawit. 

Pelbagai jenis produk hasil keluaran daripada komoditi berasaskan getah dan kelapa sawit telah diperkenalkan kepada orang ramai sepanjang pameran ini. Ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kelebihan dan manfaat penggunaannya dalam kehidupan seharian dan sektor industri. Di samping itu, pameran ini juga berfungsi sebagai platform untuk para pemain industri dan pengusaha berkongsi pengetahuan serta menjalin kerjasama strategik yang mampu meningkatkan daya saing serta inovasi dalam sektor perladangan. KPK turut menyediakan ruang untuk penyampaian maklumat mengenai inisiatif BUDI Agri-Komoditi, selain membuka kaunter pendaftaran untuk pekebun kecil yang ingin mendaftar permohonan. Sehingga 19 Ogos 2024, sebanyak 18,690 permohonan BUDI Agri-Komoditi telah diluluskan, sementara 7,704 rayuan telah diterima. KPK akan terus komited dalam mengadakan program 'outreach' di seluruh Semenanjung, dengan lokasi seterusnya di Chenor, Pahang, dan Baling, Kedah.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan untuk menarik minat pengunjung. Antaranya termasuk sesi penerangan mengenai inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada pekebun kecil dan pengunjung yang hadir. Selain itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah menyediakan khidmat nasihat berkenaan Amalan Pertanian Baik (GAP) serta memaklumkan mengenai pelbagai bantuan dan skim pembiayaan tanam semula sawit yang ditawarkan kepada pekebun kecil. MPOB juga telah mengadakan pameran korporat yang menonjolkan peranan mereka dalam industri sawit serta menganjurkan aktiviti seperti teka berat tandan buah sawit dan cabaran minum minyak sawit merah.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) pula telah membuka kaunter penerangan dan permohonan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang merupakan permit percuma untuk pekebun kecil getah yang menguruskan ladang tidak melebihi 40 hektar. Selain itu, LGM juga telah memperkenalkan program rintis model baharu Insentif Pengeluaran Lateks (IPL+) yang menggabungkan mekanisme pembelian terus oleh pekebun kecil kepada kilang pemproses, serta pelbagai insentif tunai, insentif galakan, dan teknologi baharu seperti RRIMeter dan RRIMniaga. LGM juga telah memberikan penerangan mengenai Insentif Pengeluaran Getah (IPG), satu langkah domestik kerajaan untuk memastikan kebajikan pekebun kecil getah terjamin ketika kejatuhan harga, sekaligus memastikan pengeluaran getah domestik berterusan. LGM juga telah mempamerkan produk unik seperti RRIM Color™, cat berasaskan getah asli yang sesuai digunakan dalam seni visual, dan teknologi rangsangan pokok getah RRIMHydrobest, yang direka untuk meningkatkan produktiviti tanaman getah.

Pameran Komoditi ini dijangka memberikan impak positif kepada para pengunjung, termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pengurusan tanaman serta pengeluaran produk. Selain itu, pameran ini telah memperkenalkan pelbagai produk inovatif berasaskan getah dan kelapa sawit yang dapat memberikan peluang pasaran baru kepada pengusaha dan pemain industri. Program ini juga telah meningkatkan kesedaran orang ramai dan pemain industri mengenai kelebihan dan manfaat produk berasaskan komoditi tempatan, sekaligus memperbaiki imej industri dan menarik minat pelabur.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

23 OGOS 2024

SIARAN MEDIA

INDUSTRI LADA FOKUS TEROKA PASARAN KHUSUS UNTUK NILAI PASARAN LEBIH TINGGI

Industri lada Malaysia fokus untuk meneroka dan memperluaskan perniagaan ke pasaran yang disifatkan sebagai pasaran khusus (niche market) untuk mendapatkan nilai pasaran yang lebih tinggi serta liputan lebih meluas.

Antara isu dan cabaran untuk meningkatkan sumbangan sektor lada kepada pendapatan negara adalah pelaburan dan pertumbuhan peringkat hiliran lada yang perlahan bagi pembangunan produk hiliran tempatan sektor lada.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin berkata oleh itu, para pengusaha komoditi lada tempatan adalah digalakkan untuk mencipta nilai tambah terhadap komoditi Lada Malaysia kepada produk hiliran siap bagi tujuan eksport.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga Julai 2024, sebanyak 3,011.85 tan lada telah dieksport dengan nilai sebanyak RM84.46 juta. Meskipun kuantiti eksport lada bagi tempoh tersebut sedikit menurun berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023, namun nilai eksport telah meningkat sebanyak 5.25% kepada RM84.46 juta berbanding RM80.25 juta pada tahun 2023. Peningkatan nilai eksport ini mencerminkan permintaan yang stabil dan harga yang lebih tinggi di pasaran antarabangsa.

Sementara itu, daripada RM21.5 billion sumbangan sektor agrikomoditi pada suku kedua tahun 2024, sebanyak 2.6 peratus atau RM600 juta disumbangkan oleh sektor lada.

Mengulas mengenai pemilihan Johor sebagai lokasi pertama bagi penganjuran Kempen Penggunaan Lada Malaysia, beliau berkata ianya adalah bertepatan dengan usaha mengembangkan jalinan dan meneroka kolaborasi bersama rakan strategik yang berpotensi terutamanya negara Singapura yang terletak bersebelahan negeri Johor.

Singapura juga merupakan rakan dagang penting bagi sektor lada Malaysia. Sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2024, nilai perdagangan lada Malaysia ke Singapura telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan iaitu peningkatan sebanyak 39.9% daripada RM5.86 juta atau 288.44 tan yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya kepada RM8.20 juta atau 368.15 tan.

Justeru, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPB mempelawa sebarang bentuk kerjasama dan perkongsian daripada pelbagai pihak khususnya mengenai teknologi dan kepakaran yang dapat diadaptasi oleh usahawan tempatan dalam penghasilan produk hiliran lada berkualiti bagi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa. 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

20 SEPTEMBER 2024

SIARAN MEDIA  

TRANSFORMASI SISA INDUSTRI SAWIT MENJANA EKONOMI HIJAU

 

KUANTAN, 29 OGOS 2024 – Sisa industri sawit kini menjadi sumber bahan mentah penting bagi sektor ekonomi hijau melalui penghasilan produk nilai tambah tinggi yang mampu menjana pulangan ekonomi menarik dan lestari, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata, sisa biojisim terhasil daripada pokok sawit seperti tandan buah sawit kosong (EFB) bukan sahaja boleh dijadikan sumber biotenaga boleh diperbaharui, ia juga digunakan dalam penghasilan pulpa dan kertas yang lebih bernilai tinggi, serta baja bio-organik yang mesra alam.

“Malaysia selaku pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia di mana sektor ini juga merupakan penyumbang terbesar dalam industri biojisim dalam negara. Maka, inisiatif beberapa syarikat tempatan yang mentransformasikan sisa buangan industri sawit khususnya penggunaan EFB dalam penghasilan bahan pulpa dan kertas serta baja bio-organik adalah bertepatan dengan agenda Kerajaan dalam membudayakan amalan hijau dan pengaplikasi teknologi hijau secara lestari,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Chan telah mengadakan satu lawatan kerja rasmi di Pahang pada 27hb Ogos 2024 yang memberi fokus utama kepada penggunaan sisa biojisim sawit dalam merancakkan inisiatif ekonomi kitaran bagi sektor agrikomoditi negara. Beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Syarikat Nextgreen Global Berhad (NGGB) yang terletak di Taman Teknologi Hijau (GTP), Pekan dan Kebun Durian dimiliki Able Land Sdn. Bhd. di Raub. 

Chan berkata, GTP dibangunkan oleh NGGB sebagai model industri hijau perintis yang merevolusikan industri percetakan dan penerbitan dengan menyediakan sumber baharu pulpa dan kertas mampan daripada biojisim sawit, serta menyepadukan tenaga boleh diperbaharui yang inovatif dan teknologi sifar sisa dalam operasi kilang tersebut.

“Konsep ini adalah selaras dengan sasaran Kerajaan untuk mewujudkan hub biojisim dalam rantaian nilai dan bekalan industri agrikomoditi, yang selari dengan Pelan Tindakan Biojisim 2023 – 2030,” katanya.

Di samping itu, Chan juga telah menyaksikan penggunaan baja bioorganik yang dihasilkan daripada EFB di Kebun Durian Able Land, Raub. Kebun durian ini mempunyai keluasan 437 ekar dan telah ditanam sebanyak 18,000 pokok durian daripada spesis Musang King dan

Blacktorn. 

Beliau berkata, potensi dan manfaat daripada sumber biojisim ini cukup besar, maka kerjasama antara pelbagai pihak, termasuk sektor awam, swasta, dan masyarakat umum, amat diperlukan untuk merealisasikan potensi ini secara efektif. 

“Melalui perkongsian pengetahuan, teknologi, dan sumber daya, kita dapat mengembangkan dan memanfaatkan biojisim dengan lebih efisien, sambil meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar,” tambahnya.

Lawatan kerja ini turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Biojisim dan Biobahan Api (BBA), Ts. Dr. Sang Yew Ngin dan pegawai-pegawai daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

29 OGOS 2024

 

SIARAN MEDIA

 

600 PEKEBUN KECIL ZON SELATAN DISANTUNI MELALUI

PROGRAM TURUN PADANG BUDI AGRI-KOMODITI

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani hari ini telah menghadiri Program Turun Padang BUDI MADANI dan BUDI Agri-Komoditi (Sektor Perladangan) yang berlangsung di Dewan Muafakat Johor, Kampung Abdul Rahman Yassin, Kluang, Johor.

Seramai 600 orang pekebun kecil yang terdiri daripada pekebun sawit, getah dan koko terlibat dalam program ini. BUDI Agri-Komoditi merupakan inisiatif Kerajaan untuk memberi bantuan tunai secara bulanan khususnya kepada pekebun kecil, bagi  memastikan peruntukan subsidi bahan api disalurkan dengan lebih tepat kepada kumpulan yang berkelayakan. 

Sebelum ini, KPK bersama agensinya telah melaksanakan pelbagai program turun padang, BUDI Agri-Komoditi, antaranya di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 3 Julai 2024, di Akademi HEVEA, Sungai Buloh, Selangor pada 23 - 24 Julai 2024, di Nenggiri, Kelantan pada 15 Ogos 2024, World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) pada 21 – 24 Ogos 2024 dan di Chenor, Pahang pada 12 September 2024. Programprogram ini turut dilaksanakan di peringkat agensi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Selain daripada penerangan menyeluruh kepada pekebun-pekebun kecil mengenai inisiatif BUDI Agri-Komoditi, kaunter-kaunter pendaftaran juga turut disediakan bagi membantu mereka membuat semakan dan pendaftaran secara atas talian. Pegawai KPK turut membantu mereka dengan proses semakan dan pendaftaran bagi memastikan mereka layak untuk menerima faedah yang ditawarkan, sekaligus memudahkan pemantauan dan pengagihan bantuan secara berstruktur.

KPK menzahirkan komitmen yang berterusan untuk memastikan setiap pekebun kecil yang berdaftar bukan sahaja mendapat manfaat secara adil dan menyeluruh daripada inisiatif BUDI Agri-Komoditi, tetapi juga memastikan mereka terus dibimbing serta diberi sokongan dalam setiap peringkat pelaksanaan program. KPK akan terus berusaha untuk memperluas capaian dan memberi peluang yang sama rata kepada semua pekebun kecil di seluruh negara, agar mereka dapat meningkatkan taraf hidup melalui sokongan dan inisiatif kerajaan ini.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

24 SEPTEMBER 2024

 

SIARAN MEDIA

 

500 PENDUDUK KAMPUNG DATUK KERAMAT MENERIMA SUMBANGAN BAKUL MAKANAN MELALUI PROGRAM SANTUNI MADANI

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, hari ini telah menyantuni penduduk sekitar Kampung Datuk Keramat dalam Program Santuni Madani yang dianjurkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Masjid Al-Aqram, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Program Santuni Madani ini merupakan sebuah projek di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk kampung tersebut. Menerusi program ini, YB Menteri KPK telah memilih Kampung Datuk Keramat, Titiwangsa bagi pelaksanaan program Santuni Madani yang akan memberi fokus terhadap infrastruktur di kawasan tersebut.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program hari ini bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dan penduduk kampung. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah program gotong-royong dengan penglibatan penduduk kampung membersihkan kawasan sekitar masjid, gotong royong memasak selain pertandingan mewarna kanak – kanak yang bukan sahaja memupuk kreativiti tetapi juga menjadi platform interaksi sihat dalam kalangan generasi muda.

YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani juga telah menyerahkan sumbangan 500 bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan. Bantuan ini diserahkan sebagai usaha untuk membantu meringankan beban dan menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan rakyat.

Selain itu, beberapa agensi di bawah KPK iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) turut mengambil bahagian dengan membuka kaunter perkhidmatan dan pameran selain pembukaan kaunter Budi Agri-Komoditi.

Pelaksanaan Program Santuni Madani ini mencerminkan komitmen Kementerian dalam menyokong kesejahteraan masyarakat bandar dan luar bandar. Dengan pendekatan yang mengutamakan libat urus dan kerjasama rapat dengan komuniti, program ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memberikan impak yang positif.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

16 NOVEMBER 2024