KENYATAAN MEDIA
KPK MENYAMBUT BAIK USAHA UNITED MALACCA BERHAD MENEROKA
PENANAMAN KOKO BERSKALA BESAR DI SABAH
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik usaha United Malacca Berhad (UMB) untuk meneroka projek penanaman koko berskala besar yang bakal dilaksanakan di Sabah pada akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata, UMB telah menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi untuk memulakan penanaman koko di peringkat ladang dalam beberapa sesi libat urus bersama KPK pada tahun ini.
“Penyertaan syarikat perladangan swasta dalam sektor huluan koko adalah amat dialu-alukan supaya kita dapat meningkatkan hasil dan pengeluaran biji koko tempatan tanpa terlalu bergantung kepada sumber import, di samping mengisi jurang dalam pengeluaran koko untuk memenuhi permintaan global.
“Usaha ini juga akan membawa impak positif dan memberi keyakinan besar kepada para pemain industri koko terutamanya pekebun kecil untuk mengaktifkan semula aktiviti penanaman koko,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chan berkata, harga koko kini telah mencapai harga tertinggi dalam sejarah dengan anggaran RM30,000/MT berbanding harga pada tahun lepas yang hanya sekitar RM7,000 hingga RM8,000/MT disebabkan bekalan biji koko berkurangan secara mendadak akibat wabak perosak tanaman di Afrika.
“Penanaman koko sememangnya mempunyai potensi besar untuk diterokai semula dan pihak LKM kini juga sedang giat menjalankan penyelidikan dan membangunkan teknologi menggunakan Internet of Things (IoT), automasi dan mekanisasi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan pengeluaran biji koko, di samping mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh,” tambahnya.
Datuk Chan Foong Hin telah mengadakan satu sesi libat urus bersama Ketua Pegawai Eksekutif UMB Encik Young Lee Chern, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri
Koko dan Lada KPK Encik Cheah Chee Fong dan wakil Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada Rabu lalu untuk membincangkan kerjasama strategik antara KPK dan UMB dalam projek penanaman koko berskala besar.
Menurut Young, keluasan projek penanaman koko berskala besar UMB adalah sebanyak 300 hektar untuk peringkat pertama, dan bertempat di Estet Millian Labau, Tongod, Sabah.
Beliau berkata, usaha ini merupakan sebagai salah satu inisiatif untuk mempelbagaikan hasil tanaman selain sawit di samping mengoptimumkan penggunaan tanah ladang milikan UMB secara efisien.
“Hasrat kami adalah supaya sektor huluan koko dapat dibangunkan semula dan seterusnya menjenamakan hasil tanaman koko tempatan sebagai salah satu produk agrikomoditi Malaysia yang terkenal dengan kualiti dan popular di pasaran antarabangsa.
“Bagi menjayakan projek ini, saya sendiri telah melawat ke Pusat Penyelidikan Pembangunan Koko LKM di Bagan Datuk, Perak dan Jengka, Pahang untuk mendapat khidmat nasihat daripada LKM dari segi sokongan bantuan teknikal,” katanya.
UMB adalah sebuah syarikat perladangan swasta yang beroperasi sejak tahun 1910 dan telah disenaraikan di Bursa Malaysia. Perniagaan utamanya adalah dalam bidang perladangan kelapa sawit dan operasi kilang-kilang minyak kelapa sawit.
Berdasarkan statistik LKM, jumlah keluasan tanaman koko di Malaysia adalah sebanyak 6,123.07 hektar dan mempunyai seramai 5,317 petani koko pada tahun 2023.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
5 SEPTEMBER 2024