SIARAN MEDIA
INDUSTRI LADA FOKUS TEROKA PASARAN KHUSUS UNTUK NILAI PASARAN LEBIH TINGGI
Industri lada Malaysia fokus untuk meneroka dan memperluaskan perniagaan ke pasaran yang disifatkan sebagai pasaran khusus (niche market) untuk mendapatkan nilai pasaran yang lebih tinggi serta liputan lebih meluas.
Antara isu dan cabaran untuk meningkatkan sumbangan sektor lada kepada pendapatan negara adalah pelaburan dan pertumbuhan peringkat hiliran lada yang perlahan bagi pembangunan produk hiliran tempatan sektor lada.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin berkata oleh itu, para pengusaha komoditi lada tempatan adalah digalakkan untuk mencipta nilai tambah terhadap komoditi Lada Malaysia kepada produk hiliran siap bagi tujuan eksport.
Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga Julai 2024, sebanyak 3,011.85 tan lada telah dieksport dengan nilai sebanyak RM84.46 juta. Meskipun kuantiti eksport lada bagi tempoh tersebut sedikit menurun berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023, namun nilai eksport telah meningkat sebanyak 5.25% kepada RM84.46 juta berbanding RM80.25 juta pada tahun 2023. Peningkatan nilai eksport ini mencerminkan permintaan yang stabil dan harga yang lebih tinggi di pasaran antarabangsa.
Sementara itu, daripada RM21.5 billion sumbangan sektor agrikomoditi pada suku kedua tahun 2024, sebanyak 2.6 peratus atau RM600 juta disumbangkan oleh sektor lada.
Mengulas mengenai pemilihan Johor sebagai lokasi pertama bagi penganjuran Kempen Penggunaan Lada Malaysia, beliau berkata ianya adalah bertepatan dengan usaha mengembangkan jalinan dan meneroka kolaborasi bersama rakan strategik yang berpotensi terutamanya negara Singapura yang terletak bersebelahan negeri Johor.
Singapura juga merupakan rakan dagang penting bagi sektor lada Malaysia. Sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2024, nilai perdagangan lada Malaysia ke Singapura telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan iaitu peningkatan sebanyak 39.9% daripada RM5.86 juta atau 288.44 tan yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya kepada RM8.20 juta atau 368.15 tan.
Justeru, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPB mempelawa sebarang bentuk kerjasama dan perkongsian daripada pelbagai pihak khususnya mengenai teknologi dan kepakaran yang dapat diadaptasi oleh usahawan tempatan dalam penghasilan produk hiliran lada berkualiti bagi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 SEPTEMBER 2024