SIARAN MEDIA
PROGRAM TURUN PADANG BUDI AGRI-KOMODITI (SEKTOR
PERLADANGAN) GALAKKAN PENYERTAAN PEKEBUN KECIL DALAM INISIATIF KERAJAAN
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani hari ini telah menghadiri Program Turun Padang BUDI MADANI dan BUDI Agri-Komoditi
(Sektor Perladangan) yang diadakan di Dewan Serbaguna Agropolitan, Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan.
Program turun padang anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ini diteruskan ke Zon Timur Semenanjung, bertujuan menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan golongan tersebut untuk mengurangkan beban kos sara hidup. Program ini melibatkan seramai 500 orang pekebun kecil yang terdiri daripada pekebun sawit, getah, kenaf dan koko.
BUDI MADANI merupakan wadah kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi bahan api disasarkan dengan lebih tepat kepada golongan sasar yang berkelayakan. Melalui BUDI MADANI, subsidi diberikan kepada kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu serta bantuan tunai kepada individu secara lebih bersasar.
KPK bersama agensi di bawahnya sebelum ini telah melaksanakan pelbagai program turun padang, antaranya di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 3 Julai 2024 dan di Akademi HEVEA, Sungai Buloh, Selangor pada 23 dan 24 Julai 2024 serta penganjuran program turun padang di peringkat agensi menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).
Melalui program bersiri turun padang ini, pekebun-pekebun kecil telah diberikan taklimat berkaitan BUDI Agri-Komoditi dan turut dibantu semasa proses pendaftaran dalam sistem.
KPK akan terus komited dalam memastikan setiap pekebun kecil berdaftar memperoleh manfaat yang sewajarnya menerusi pelaksanaan inisiatif BUDI AgriKomoditi.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 OGOS 2024