SIARAN MEDIA

WORLD BAMBOO DAY (WBD) 2024

MEMPERKASA PEMBANGUNAN INDUSTRI BULUH DALAM MEMACU KELESTARIAN SEKTOR PERKAYUAN DI MALAYSIA

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani, hari ini telah menyempurnakan perasmian sambutan World Bamboo Day (WBD) 2024 serta Seminar Buluh Kebangsaan yang dianjurkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bertempat di Tadom Hill Resorts, Banting, Selangor.

Objektif sambutan WBD 2024 ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan buluh di peringkat global, melindungi sumber semula jadi dan alam sekitar, memastikan penggunaan buluh secara mampan, serta menggalakkan perladangan buluh sebagai industri baharu yang berpotensi untuk berkembang di Malaysia.

Pada tahun 2023, industri perkayuan Malaysia telah mencatatkan sumbangan sebanyak RM21.8 bilion kepada pendapatan eksport negara. Daripada jumlah ini, nilai eksport produk buluh menyumbang RM20.09 juta, mencatatkan peningkatan 39% berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM14.46 juta. Pada masa yang sama, nilai import produk buluh telah menurun kepada RM108.7 juta berbanding RM129.18 juta pada tahun 2022.

Kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia. Pengusaha ini merangkumi pelbagai sektor seperti industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan.

Malaysia memiliki lebih kurang 70 spesies buluh, 45 daripadanya merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan. Dari segi penanaman buluh secara ladang pula, sebanyak 15.47% tanaman buluh ditanam di Semenanjung Malaysia, manakala 84.53% di Sarawak, jumlah keseluruhan ladang buluh di negara ini seluas 4,000.87 hektar. Spesies buluh komersial yang terdapat di Malaysia termasuk

Betong, Beti, Semantan, dan Semeliang, yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam menghasilkan pelbagai produk sebagai sumber bahan alternatif kayu dalam pelbagai aplikasi.

Transformasi industri buluh di Malaysia perlu dilaksanakan dengan mewujudkan suasana yang kondusif untuk peralihan struktur industri daripada industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang menghasilkan produk buluh bernilai tambah tinggi. Semua pihak yang terlibat, termasuk pemain industri ini, perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan (upstream) hingga ke industri hiliran (downstream), melibatkan penghasilan bahan mentah hingga kepada produk akhir.

Dalam konteks ini, penghasilan produk buluh yang mempunyai nilai pasaran tinggi harus diutamakan menerusi inovasi, pembangunan modal insan, serta penggunaan teknologi terkini. Aspek ini perlu dipupuk dalam kalangan usahawan, profesional, penyelidik, perekabentuk, penggubal polisi, dan pihak-pihak berkaitan. Melalui program penyelidikan, pembangunan, dan galakan yang berterusan, industri buluh di Malaysia berpotensi untuk mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan.

Kementerian menerusi MTIB juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan potensi industri buluh Negara selaras dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030. Antaranya:

  1. Penubuhan 15 hektar Model Ladang Buluh yang dibangunkan secara bersama antara MTIB dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu yang melibatkan penanaman spesies Buluh Betung, Beting, Beti, Brang, Madu, dan Semantan. Sehingga Jun 2024, seluas 7.8 hektar kawasan telah dibangunkan dan proses pembangunan sehingga 2025.
  1. Program Community Farming Buluh yang menyediakan insentif anak pokok buluh dan baja bagi penanaman dalam julat keluasan 0.4 hektar sehingga 4 hektar. Program ini terbuka bagi sesiapa yang berminat di seluruh Malaysia. Sehingga 31 Mei 2024, sebanyak 247.4 hektar permohonan telah diterima dan 78.7 hektar telah diluluskan untuk program ini. Ia melibatkan agihan sebanyak 31,492 anak pokok buluh dan 31,500 kg baja.
  • Penubuhan Bamboo One Stop Centre di Tadom Hill Resorts, Banting, Selangor yang merupakan salah satu kolaborasi di antara MTIB, Malaysian Timber Council (MTC) dan Tadom Hill Resorts Sdn. Bhd.
  1. Kerjasama MTIB dengan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) yang telah menubuhkan model Ladang Buluh contoh dengan keluasan 120 ekar yang melibatkan 60 peserta daripada usahawan PKS.
  1. Projek Pembangunan Produk Non-Woven daripada gentian Buluh bagi aplikasi bahan perabot dan binaan. Ianya bertujuan untuk membangun dan menubuhkan satu sistem lestari pengeluaran komersial papan komposit gentian buluh melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi.

Kementerian akan sentiasa menyokong sebarang usaha yang dilaksanakan bagi memastikan program pembangunan industri buluh Negara ini dapat berkembang maju serta memberi manfaat khususnya kepada rakyat dan Negara amnya. Kementerian melalui MTIB juga akan memastikan setiap program atau aktiviti yang dirangka dapat dilaksanakan mengikut sasaran yang ditetapkan. 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

26 SEPTEMBER 2024