SIARAN MEDIA 2024

KENYATAAN MEDIA

PEMERIKSAAN TERHADAP PENJUALAN PRODUK YANG MEMPUNYAI PELABELAN BERSIFAT DISKRIMINASI TERHADAP MINYAK SAWIT

Pasukan Multi-Agency Enforcement Force (MAEF), telah menjalankan suatu pemeriksaan berhubung Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 terhadap beberapa buah premis di sekitar negeri Selangor pada 26 Januari 2024 (Jumaat).

Pemeriksaan mendapati bahawa masih terdapat beberapa produk makanan di premis-premis tersebut yang mempamerkan secara jelas label bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit (Discriminatory Labelling Against Palm Oil (DLAPO)) yang berbentuk pernyataan, ungkapan atau petunjuk seperti “tiada minyak sawit” atau “tanpa minyak sawit”.  

Premis pertama didapati menjual produk tempatan iaitu, produk makanan bayi yang mempamerkan DLAPO secara jelas. (Rujuk Gambar 1). Manakala premis kedua juga didapati menjual beberapa produk makanan yang diimport yang mempamerkan DLAPO. (Rujuk Gambar 2)  

Terdapat juga inisiatif yang diambil oleh syarikat pengimport dengan menampal pelekat “Diimport dan diedarkan oleh” pada label/ tulisan berupa DLAPO pada produk-produk yang diperiksa.(Rujuk Gambar 3)

Semasa pemeriksaan, pengurus premis telah diberi penerangan berhubung larangan penggunaan label tersebut dan telah diminta supaya mengosongkan rak sehingga tindakan susulan diambil. Amaran juga telah dikeluarkan kepada premis-premis yang terlibat untuk menghentikan penjualan produk yang mempunyai pelabelan bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit dan mengeluarkan produk sedia ada di pasaran dengan kadar segera.

Dalam hal ini, satu pemeriksaan susulan akan dilakukan semula bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. Peringatan ini diberikan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil atau dikenakan oleh MAEFyang membolehkan pihak terlibat didenda dan produk dirampas.

Teknik pelabelan seumpama ini jelas boleh memberikan suatu tanggapan yang negatif kepada pengguna bahawa penggunaan minyak sawit adalah memudaratkan dan akan membahayakan kesihatan sekiranya menggunakan produk tersebut. Selain daripada itu, tindakan ini juga sekali gus menjejaskan reputasi baik minyak sawit keluaran komoditi negara ini, di samping melanggar prinsip perdagangan yang adil dan telus.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan

Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan BarangBarang Minyak Sawit) 2022 yang berkuat kuasa pada 15 Mac 2022, manamana orang yang melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun apabila disabitkan.

Kementerian ini memandang serius akan isu pelabelan yang bersifat diskriminasi atau negatif terhadap minyak sawit dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perundangan dan peraturan semasa yang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak, sama ada pengimport, pengedar, penjual dan pihak-pihak berkaitan yang melakukan kesalahan tersebut.

Pihak Kementerian telah menubuhkan Pasukan MAEF dengan kerjasama Kementerian dan Agensi untuk mengintegrasi aktiviti advokasi dan penguatkuasaan dalam meningkatkan kesedaran seluruh pengguna termasuklah penjual, pengedar dan pengimport mengenai isu pelabelan ini serta sentimen antiminyak sawit di negara ini.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI  7 FEBRUARI 2024

 

Lampiran gambar:

 

Gambar 1: Produk makanan bayi jenama tempatan yang mempamerkan tulisan “No Palm Oil

Gambar 2: Produk makanan import yang mempamerkan label  “No Palm Oil

 

Gambar 3: Inisiatif menampal pelekat “Diimport dan diedarkan oleh” pada label DLAPO di produk makanan import