K E M E N T E R I A N P E R L A D A N G AN D A N K O M O D I T I
M A L A Y S I A
KENYATAAN MEDIA
SEKTOR AGRIKOMODITI TERUS DIPERKASA DALAM BELANJAWAN 2023,
DIYAKINI DAPAT MEMANFAATKAN PEKEBUN KECIL SELURUH NEGARA


1. Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan.


2. Menerusi Belanjawan 2023, ia dilihat menyasarkan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat lebih besar, melalui bantuan disalurkan kepada golongan sasar, penambahbaikan untuk menangani kos sara hidup dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk golongan miskin tegar serta kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.


3. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 yang selaras dengan prinsip MADANI. Berteraskan nilai-nilai MADANI, Belanjawan 2023 dijangka dapat memacu pertumbuhan industri dan memberi manfaat kepada pemegang taruh Kementerian ini melalui inisiatif yang baru diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.


4. Kementerian percaya, antara fokus utama yang dititikberatkan dalam Belanjawan 2023 adalah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekebunpekebun kecil di seluruh negara serta usaha untuk terus memperkasakan sektor perladangan. Selain itu, Kementerian turut bertekad untuk memastikan daya saing negara dapat dipertingkatkan serta tatakelola kerajaan dapat ditambah baik.

5. Pada tahun 2022, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 5.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi nilai eksport sebanyak RM207.3 bilion, manakala lebihan dagangan sebanyak RM146.5 bilion, sekaligus menjadi komponen terpenting dalam ekonomi Malaysia.


6. Kementerian juga fokus untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan serta mengharapkan syarikat-syarikat perladangan bersama-sama dengan Kerajaan dalam memastikan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan eksport negara. Belanjawan 2023 memberi fokus kepada pembangunan sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkara-perkara berikut:


a) Peruntukan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan Artificial Intelligence (AI) serta menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran;
b) Peruntukan RM80 juta untuk menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Anti Minyak Sawit;
c) Peruntukan RM350 juta untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram; dan
d) Peruntukan RM50 juta untuk menggunakan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) bagi tujuan penyelenggaraan jalan.


7. Tahun 2023 dijangka akan lebih dinamik memandangkan cabaran yang bakal didepani bagi menjamin kemampanan industri Agrikomoditi negara. KPK bertekad untuk mendepani cabaran tersebut demi kelangsungan industri berkenaan sejajar dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada industri Agrikomoditi. Selain itu, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) akan terus dijadikan asas bagi merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia Madani.


YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Perladangan dan Komoditi
24 FEBRUARI 2023

U n i t K o m u n i k a s i K o r p o r a t | K e m e n t e ri a n