JATA LATES
KENYATAAN MEDIA
PENINGKATAN HARGA MINYAK SAWIT MENTAH (MSM) DI PARAS TERTINGGI MEMBERI KEUNTUNGAN BUAT PEKEBUN KECIL SELURUH NEGARA


1. Peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) selama dua hari berturut-turut di paras RM5,750 setiap tan pada 3 dan 4 Februari 2022 pastinya memberi khabar gembira dan keuntungan kepada hampir 400,000 pekebun kecil di seluruh negara memandangkan ia merupakan harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara.

2. Peningkatan ini adalah bukti komitmen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan dasar Kerajaan.

3. KPPK akan terus berusaha memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia ke pasaran luar negara khususnya di Asia Barat seperti di Turki dan Arab Saudi memandangkan terdapat peningkatan eksport minyak sawit Malaysia ke Turki dengan jumlah 703,588 tan pada 2021 dan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500,000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion tahun ini.

4. Baru-baru ini juga, menerusi lawatan saya dan delegasi KPPK ke Arab Saudi, beberapa memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan beberapa syarikat antaranya Savola Group, yang merupakan pengimport dan pengedar minyak makan terbesar di Arab Saudi.

5. Bahkan, KPPK turut menjalinkan tiga bidang kerjasama termasuk pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia dan kempen bersama bagi mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan dan dunia. Saya yakin industri sawit negara akan terus berkembang maju dengan usaha berterusan Kementerian ini.

6. Walaupun pada ketika ini terdapat sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia, KPPK akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain.

7. Sekali lagi, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara. Kita perlu memastikan industri sawit negara akan terus menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
5 FEBRUARI 2022