KUALA LUMPUR, 25 Julai- Beberapa strategi dilaksanakan dalam usaha mempromosikan minyak sawit mampan termasuk mengadakan kempen antiminyak sawit di peringkat global.
Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ia bagi menyanggah propaganda antiminyak sawit yang cuba dimainkan pengeluar minyak. "Kita akan terus berterusan mengadakan kempen antiminyak sawit ini di peringkat global melalui sesi libat urus iaitu kita terus mengadakan penglibatan dua hala bersama-sama penggubal-penggubal dasar di negara-negara pengimport.
"Juga kita buat penglibatan dengan ahli-ahli politik negara tersebut, persatuan-persatuan pengguna, pembeli-pembeli, para peniaga dan pengimport dan juga pemain-pemain industri serta pihak-pihak badan bukan kerajaan (NGO) terlibat yang sentiasa menggunakan isu tentang propaganda minyak kelapa sawit ini," kata Johari menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen yang meminta beliau menyatakan strategi menyeluruh untuk mempromosikan minyak sawit lestari di pasaran antarabangsa.
KPK juga akan terus mendidik dan menjalankan program kesedaran awam bagi pemegang taruh berkenaan usaha kerajaan bersama-sama pihak pengawal selia Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam menerapkan amalan perladangan yang baik.
Beliau berkata, ini termasuk amalan buruh yang bertanggungjawab daripada pemain-pemain industri di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Kos menanam semula sawit yang semakin meningkat menjadi antara punca kadar penanaman semula komoditi itu dalam kalangan pekebun ketika yang masih rendah.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan, berkata sepatutnya kadar tanaman semula sawit adalah empat peratus setahun berdasarkan piawaian industri, namun disebabkan pelbagai kekangan kadar mampu dicapai hanyalah sekitar 1.8 peratus sehingga dua peratus sahaja.
"Kekangan utama penanam semula sudah pasti kerana kos yang meningkat ditambah langkah penyasaran subsidi diesel ketika ini.
"Lebih memeritkan, penanam semula tidak termasuk dalam penyasaran subsidi diesel sedangkan untuk menanam semula sawit perlu menggunakan traktor dan jentolak yang menggunakan diesel.
"Jika sebelum ini sewa traktor untuk memotong pokok hanya RM800, namun kini kos meningkat sehingga RM1,600," katanya kepada BH.
Semalam, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kadar penanaman semula lebih baik bagi kawasan sawit peringkat tua boleh meningkatkan pengeluaran minyak sawit tahunan Malaysia sebanyak 2.5 juta tan.
Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai kadar penanaman semula yang rendah oleh pekebun kecil bebas, yang berjumlah kira-kira 450,000 dan mempunyai kawasan penanaman seluas 1.5 juta hektar.
Mengulas lanjut Adzmi berkata, pekebun kecil sawit turut terkesan dengan harga sawit tidak menentu, apatah lagi perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mendapatkan pulangan selepas mengeluarkan kos tinggi untuk penanaman semula.
"Dengan kadar tidak menentu, ramai pekebun kecil semakin tidak berani mengambil risiko selain faktor ramai sudah berusia," katanya.
Beliau berkata, masalah status tanah turut menjadi kekangan kerana ada yang sebelum ini statusnya untuk getah, tetapi digunakan untuk sawit yang kini sudah berusia puluhan tahun.
"Apabila pekebun kecil ingin menukar status tanah kepada sawit untuk penanaman semula, ada kerajaan negeri tidak benarkan selain akan dikenakan denda tinggi," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan ada menyediakan bantuan RM100 juta secara hibrid membabitkan masing-masing 50 peratus dalam bentuk geran dan pinjaman melalui Program Tanam Semula Sawit (TSPKS).
Bagaimanapun katanya, ia tidak mencukupi untuk menampung jumlah keluasan tanah yang perlu ditanam semula.
"Kita syorkan ia ditambah kepada sekurang-kurangnya RM200 juta untuk peruntukan tahun hadapan dengan menggunakan subsidi yang dikurangkan dari program penyasaran subsidi diesel sejumlah RM4 bilion seperti diumumkan.
"Cara itu dapat memastikan semua pekebun kecil berpeluang membuat permohonan geran itu untuk tahun ini dan 2025," katanya.
Selangor, 19 Julai 2024 – Minyak Sawit Mampan Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil, MSPO) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) hari ini menganjurkan satu program penanaman anak pokok di dalam kawasan Central Forest Spine (CFS).
Ia disempurnakan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi dalam mempromosi kesedaran terhadap usaha kemampanan industri sawit negara dan kepentingan penjagaan kawasan yang bernilai pemuliharaan tinggi (HCV).
“MSPO menyokong penuh Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) 2022 dan mengiktiraf CFS sebagai salah satu kawasan perlindungan yang perlu dipelihara. Program ini adalah antara usaha memastikan tiada penukaran status hutan yang berada dalam kawasan CFS untuk tujuan penanaman sawit seperti yang ditetapkan dalam Piawaian MSPO 2022.
Komitmen ini sekaligus memperkukuhkan usaha Kerajaan dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50% kawasan litupan hutan di Malaysia serta menjadikan Malaysia pengeluar sawit mampan utama di dunia.”, ujar YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Pengerusi MSPO berkata, “Kerjasama antara MSPO dan JPSM ini merupakan satu kolaborasi yang amat penting bagi mencerminkan komitmen MSPO yang tidak berbelah bahagi terhadap elemen kemampanan termasuk memupuk amalan pertanian baik, menuntut ketelusan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, demi memupuk masa depan yang lebih mampan”.
“Majlis seumpama ini adalah julung kalinya diadakan melibatkan pihak pengurusan ladang sawit khususnya FELDA. Hal ini jelas menunjukkan komitmen yang amat tinggi dalam menyokong pelaksanaan inisiatif Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine atau dikenali sebagai PIRECFS 2022.
Komitmen tinggi ini sewajarnya disambut baik dan menjadi titik permulaan kepada pengusaha-pengusaha ladang sawit yang lain untuk bekerjasama secara holistik demi memastikan visi PIRECFS 2022 iaitu ‘Menyambung Kembali Hutan’ dan mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar dapat dicapai dengan jayanya”, ujar YBhg. Dato’ Zahari Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
Beliau juga menekankan bahawa visi PIRECFS 2022 adalah bersifat inklusif dan memperjelas elemen-elemen penting seperti penyambungan hutan, penghutanan semula, pengayaan biodiversiti, penubuhan Zon Penampan (riparian) di kawasan kampung, penyediaan Koridor Ekologi Mini (Conservation Agriculture Zone - CAZ) dan Pemeliharaan Tompok Hutan serta kesalingwujudan atau co-existence antara manusia dan hidupan liar.
Dalam konteks ini, pensijilan MSPO adalah satu langkah strategik yang amat bertepatan dengan konsep PIRECFS 2022 melalui Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices)”.
NEW DELHI: Eksport minyak sawit Malaysia ke India akan terus meningkat seiring dengan pertumbuhan pengguna kelas pertengahan di India, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Tahun lalu, eksport minyak sawit dan produk minyak sawit dari Malaysia ke India berjumlah 3.3 juta tan metrik bernilai hampir AS$3 bilion atau 13 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia, kata Johari.
"Melangkah ke depan, saya ingin mengesahkan komitmen Malaysia untuk menjadi sumber dipercayai minyak sawit berkualiti tinggi kepada India," kata Johari ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan anjuran Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA) di sini hari ini.
"Kami berdedikasi untuk menyokong keperluan keselamatan makanan India dan memupuk perkongsian yang stabil dan berkekalan dalam memenuhi permintaan pasaran penting ini," katanya.
Johari berkata, penggunaan minyak dan lemak India adalah kira-kira 27.2 juta tan metrik pada 2023 dengan minyak sawit merangkumi sebanyak 36 peratus.
India menyaksikan permintaan yang lebih tinggi untuk minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanannya.
Beliau berkata, sejak sedekad lalu, penggunaan minyak dan lemak per kapita di India meningkat daripada 15.8 kilogram (kg) kepada 19 kg.
Trend pertumbuhan ini dijangka berterusan, didorong oleh golongan pertengahan yang berkembang, katanya.
"Kelas pertengahan kini mewakili 31 peratus penduduk dan dijangka 38 peratus menjelang 2031 dan 60 peratus pada 2047," kata Johari.
Sementara itu, penggiat industri minyak sawit yang menghadiri acara itu menekankan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama antara syarikat minyak sayuran Malaysia dan India.
Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, mengeksport lebih 80 peratus daripada 18.6 juta tan komoditi yang dikeluarkannya pada 2023.