PASARAN getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa berikutan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras lemah, selain petunjuk dalam pasaran niaga hadapan getah serantau yang kurang menggalakkan apabila ekonomi China yang lembap menjejaskan sentimen pasaran, kata peniaga.

Bagaimanapun, katanya penurunan seterusnya dikekang oleh ringgit yang lemah berbanding dolar AS dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli berikutan unjuran cuaca buruk di negara pengeluar utama Thailand.

"Niaga hadapan getah Jepun merosot untuk sesi ketiga berturut-turut pada Selasa, didorong oleh data ekonomi yang lemah daripada pengguna utama China dan harga minyak yang rendah,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent merosot 0.72 peratus kepada AS$84.25 setong.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) berkurangan setengah sen kepada 766 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 4.5 sen kepada 637 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 771.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 633 sen sekilogram.

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/675404

 

Sumber : Sinar Harian