KUALA LUMPUR: Kos menanam semula sawit yang semakin meningkat menjadi antara punca kadar penanaman semula komoditi itu dalam kalangan pekebun ketika yang masih rendah.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan, berkata sepatutnya kadar tanaman semula sawit adalah empat peratus setahun berdasarkan piawaian industri, namun disebabkan pelbagai kekangan kadar mampu dicapai hanyalah sekitar 1.8 peratus sehingga dua peratus sahaja.

"Kekangan utama penanam semula sudah pasti kerana kos yang meningkat ditambah langkah penyasaran subsidi diesel ketika ini.

"Lebih memeritkan, penanam semula tidak termasuk dalam penyasaran subsidi diesel sedangkan untuk menanam semula sawit perlu menggunakan traktor dan jentolak yang menggunakan diesel.

"Jika sebelum ini sewa traktor untuk memotong pokok hanya RM800, namun kini kos meningkat sehingga RM1,600," katanya kepada BH.

Semalam, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kadar penanaman semula lebih baik bagi kawasan sawit peringkat tua boleh meningkatkan pengeluaran minyak sawit tahunan Malaysia sebanyak 2.5 juta tan.

Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai kadar penanaman semula yang rendah oleh pekebun kecil bebas, yang berjumlah kira-kira 450,000 dan mempunyai kawasan penanaman seluas 1.5 juta hektar.

Mengulas lanjut Adzmi berkata, pekebun kecil sawit turut terkesan dengan harga sawit tidak menentu, apatah lagi perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mendapatkan pulangan selepas mengeluarkan kos tinggi untuk penanaman semula.

"Dengan kadar tidak menentu, ramai pekebun kecil semakin tidak berani mengambil risiko selain faktor ramai sudah berusia," katanya.

Beliau berkata, masalah status tanah turut menjadi kekangan kerana ada yang sebelum ini statusnya untuk getah, tetapi digunakan untuk sawit yang kini sudah berusia puluhan tahun.

"Apabila pekebun kecil ingin menukar status tanah kepada sawit untuk penanaman semula, ada kerajaan negeri tidak benarkan selain akan dikenakan denda tinggi," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan ada menyediakan bantuan RM100 juta secara hibrid membabitkan masing-masing 50 peratus dalam bentuk geran dan pinjaman melalui Program Tanam Semula Sawit (TSPKS).

Bagaimanapun katanya, ia tidak mencukupi untuk menampung jumlah keluasan tanah yang perlu ditanam semula.

"Kita syorkan ia ditambah kepada sekurang-kurangnya RM200 juta untuk peruntukan tahun hadapan dengan menggunakan subsidi yang dikurangkan dari program penyasaran subsidi diesel sejumlah RM4 bilion seperti diumumkan.

"Cara itu dapat memastikan semua pekebun kecil berpeluang membuat permohonan geran itu untuk tahun ini dan 2025," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1274041/kos-meningkat-punca-kadar-tanaman-semula-sawit-rendah-pekebun-kecil

 

Sumber : Berita Harian