BERITA AGRIKOMODITI 2024

KUALA LUMPUR: Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) melanjutkan keuntungan untuk sesi kedua hari ini, menjejaki kekuatan dalam minyak soya di Chicago Board of Trade dan bursa komoditi Dalian.

Ia juga dirangsang oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah di Malaysia, yang juga pengeluar sawit kedua terbesar di dunia.

Kontrak penanda aras minyak sawit untuk penghantaran April di BMD naik RM23 atau 0.60 peratus kepada RM3,825 menjelang tengah hari tadi.

Harga sawit pulih semula didorong pemulihan semalaman harga biji minyak pesaing, ditambah dengan ringgit yang lebih lemah turut mengekalkan harga sawit pada tahap positif, kata seorang peniaga yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Harga minyak soya di Chicago Board of Trade naik 0.62 peratus. Kontrak minyak soya paling aktif Dalian jatuh 0.14 peratus, manakala kontrak minyak sawit menokok 0.68 peratus," katanya.

Minyak sawit dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak berkaitan kerana mereka bersaing untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran minyak sayuran global.

Ringgit, mata wang perdagangan sawit, jatuh 0.25 peratus berbanding dolar AS, menjadikan komoditi itu lebih murah untuk pembeli yang memegang mata wang asing.

Tinjauan Reuters menunjukkan stok minyak sawit Malaysia mungkin jatuh selama tiga bulan berturut-turut hingga akhir Januari, sejajar dengan pengeluaran rendah bermusim.

Stok minyak sawit dilihat jatuh kepada 2.14 juta tan metrik pada Januari, turun 6.62 peratus daripada bulan sebelumnya, menurut 10 peniaga, penanam dan penganalisis yang ditinjau oleh Reuters.

Pengeluaran minyak sawit mentah berada pada 1.37 juta tan, penurunan sebanyak 11.83 peratus daripada bulan sebelumnya.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dijadual mengeluarkan data bulanannya pada 13 Februari ini.

Import minyak sawit India jatuh kepada tiga bulan rendah pada Januari, apabila pengilang meningkatkan pembelian minyak soya disebabkan margin negatif untuk minyak sawit mentah, lima peniaga memberitahu Reuters semalam.

Minyak sawit mungkin menguji semula rintangan pada RM3,814 satu tan, kerana ia berjaya mendapat sokongan kukuh pada RM3,771, kata penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao. -Reuters

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1209326/pengeluaran-dijangka-rendah-harga-sawit-melonjak

 

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersedia untuk mempamerkan produk minyak sawit tempatan di Worldchefs Village, Olimpik Kulinari 2024, yang akan diadakan menjelang 2 hingga 7 Februari 2024.

Dihoskan oleh Worldchefs Association yang amat disanjung tinggi, penyertaan MPOC turut disertai oleh dua syarikat tempatan iaitu Nonosugar Health Tech Sdn Bhd dan Saha Asia Industries Sdn Bhd.

"MPOC juga akan mengadakan demonstrasi memasak dengan menampilkan produk berasaskan minyak sawit oleh cef selebriti Malaysia selain menyediakan sokongan media yang mantap kepada pasukan kebangsaan yang bersaing dalam pertandingan yang dinanti-nantikan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan 1,500 peserta pameran, INTERGASTRA merupakan perhimpunan terbesar di Jerman bagi industri itu, ia menarik hampir 100,000 pengunjung perdagangan setiap dwitahunan.

Olimpik Kulinari sebelum ini membabitkan kira-kira 1,800 peserta, termasuk 110 pasukan dan lebih kurang 800 peserta pameran individu dari 67 negara, yang mewujudkan suasana Olimpik yang menakjubkan dalam dewan pameran Stuttgart.

Dijadualkan bersama INTERGASTRA, pameran perdagangan utama untuk perniagaan hospitaliti serta gastronomi, Sukan Olimpik Kulinari 2024 akan diadakan di Messe Stuttgart, Jerman yang berprestij.

Pasukan Malaysia merangkumi 16 cef yang berkemahiran, diselia oleh Persatuan Kulinari Profesional Malaysia.

Dengan memanfaatkan capaian global Worldchefs, inisiatif ini bertujuan untuk memupuk persepsi positif terhadap minyak sawit yang mampan.

"Perkongsian dengan Worldchefs memberikan platform yang ideal bagi menonjolkan amalan lestari serta faedah minyak sawit Malaysia, menyumbang kepada pilihan pengguna termaklum di seluruh dunia," kata MPOC.

Sementara itu, Ketua Pejabat Eksekutif MPOC, Belvinder Sron, berkata majlis tersebut mahu menyokong pasukan kebangsaan, mempromosikan jenama minyak sawit Malaysia melalui liputan media dan menampilkan produk jenama itu melalui demo masakan.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Worldchef Association untuk menonjolkan kebaikan minyak sawit Malaysia.

"Penyertaan dalam Sukan Olimpik Kulinari 2024 menandakan komitmen kami terhadap kemampanan dan dedikasi dalam memupuk pilihan pengguna termaklum di peringkat global," tambahnya.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/01/1204103/produk-sawit-malaysia-dibawa-ke-sukan-olimpik-kulinari

 

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Bagi menambah baik pensijilan ‘Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO)’ yang diiktiraf di negara ini dan peringkat global, Malaysia amat mengalu-alukan kolaborasi bersama Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau telah menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Joseph D’Cruz yang berkongsi pandangan mengenai industri kelapa sawit negara, semalam.

“Semalam saya telah dikunjungi oleh Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, En. Joseph D’Cruz yang datang ke pejabat saya untuk berkongsi pandangan bagaimana RSPO boleh membantu syarikat-syarikat kita di dalam industri kelapa sawit ini untuk mencapai tahap ‘Sustainable Palm Oil’.

“Sebagai sebuah negara pengeluar sawit di dunia, Malaysia juga telah membangunkan skim pensijilan nasional bertaraf global iaitu pensijilan ‘Malaysian Sustainable Palm Oil – MSPO’ bagi memenuhi keperluan masa kini dalam usaha negara ke arah ‘Sustainable Palm Oil’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, sebanyak 92.3 peratus syarikat pengeluar sawit Malaysia telah mematuhi standard MSPO yang ditetapkan.

“Bagi pensijilan MSPO, sebanyak 92.3 peratus syarikat-syarikat pengeluar sawit Malaysia telah mematuhi standard yang ditetapkan.

“Jadi, Malaysia sangat mengalu-alukan kolaborasi di antara RSPO dan MSPO untuk menerima pakai dan menambah baik pensijilan MSPO yang diiktiraf di negara ini serta di peringkat global,” katanya lagi. – UMNO Online

 

https://umno-online.my/2024/01/16/industri-sawit-tambah-baik-mspo-malaysia-alu-alu-kolaborasi-daripada-rspo-johari/

 

Sumber : Umno Online