Selangor, 19 Julai 2024 – Minyak Sawit Mampan Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil, MSPO) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) hari ini menganjurkan satu program penanaman anak pokok di dalam kawasan Central Forest Spine (CFS).
Ia disempurnakan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi dalam mempromosi kesedaran terhadap usaha kemampanan industri sawit negara dan kepentingan penjagaan kawasan yang bernilai pemuliharaan tinggi (HCV).
“MSPO menyokong penuh Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) 2022 dan mengiktiraf CFS sebagai salah satu kawasan perlindungan yang perlu dipelihara. Program ini adalah antara usaha memastikan tiada penukaran status hutan yang berada dalam kawasan CFS untuk tujuan penanaman sawit seperti yang ditetapkan dalam Piawaian MSPO 2022.
Komitmen ini sekaligus memperkukuhkan usaha Kerajaan dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50% kawasan litupan hutan di Malaysia serta menjadikan Malaysia pengeluar sawit mampan utama di dunia.”, ujar YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Pengerusi MSPO berkata, “Kerjasama antara MSPO dan JPSM ini merupakan satu kolaborasi yang amat penting bagi mencerminkan komitmen MSPO yang tidak berbelah bahagi terhadap elemen kemampanan termasuk memupuk amalan pertanian baik, menuntut ketelusan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, demi memupuk masa depan yang lebih mampan”.
“Majlis seumpama ini adalah julung kalinya diadakan melibatkan pihak pengurusan ladang sawit khususnya FELDA. Hal ini jelas menunjukkan komitmen yang amat tinggi dalam menyokong pelaksanaan inisiatif Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine atau dikenali sebagai PIRECFS 2022.
Komitmen tinggi ini sewajarnya disambut baik dan menjadi titik permulaan kepada pengusaha-pengusaha ladang sawit yang lain untuk bekerjasama secara holistik demi memastikan visi PIRECFS 2022 iaitu ‘Menyambung Kembali Hutan’ dan mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar dapat dicapai dengan jayanya”, ujar YBhg. Dato’ Zahari Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
Beliau juga menekankan bahawa visi PIRECFS 2022 adalah bersifat inklusif dan memperjelas elemen-elemen penting seperti penyambungan hutan, penghutanan semula, pengayaan biodiversiti, penubuhan Zon Penampan (riparian) di kawasan kampung, penyediaan Koridor Ekologi Mini (Conservation Agriculture Zone - CAZ) dan Pemeliharaan Tompok Hutan serta kesalingwujudan atau co-existence antara manusia dan hidupan liar.
Dalam konteks ini, pensijilan MSPO adalah satu langkah strategik yang amat bertepatan dengan konsep PIRECFS 2022 melalui Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices)”.
https://siakapkeli.my/2024/07/19/majlis-pelancaran-program-penanaman-anak-pokok-di-dalam-kawasan-central-forest-spine-cfs/
Sumber : Siakap keli