BERITA AGRIKOMODITI 2024

KUALA KRAI - Beberapa penduduk buntu apabila kebun kelapa sawit yang diusahakan di tanah seluas 9.7 hektar di Kampung Sungai Rek, di sini dirosakkan seekor gajah liar sejak Isnin lalu.

Pemilik kebun, Rosdi Mohamad, 64, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM40,000 apabila anak-anak pokok kelapa sawitnya musnah 'dikerjakan' gajah yang masuk ke kawasan kampung turut dikenali sebagai Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Lela Jasa itu.

Menurutnya, sejumlah 850 anak pokok sawit tersebut pertama kali ditanam di tanah berbukit seluas 5.6 hektar berkenaan.

"Kawasan tanaman saya terletak di Bukit Mas iaitu sejauh empat kilometer dari kawasan kampung.

"Semua tanaman musnah apabila gajah masuk kebun memakan umbut sawit hingga saya alami kerugian selepas mengeluarkan modal,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Mas, Kampung Sungai Rek, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian turut mendapati terdapat kesan tapak kaki haiwan itu selain ada longgokan najis-najis gajah di lokasi berkenaan.

Seorang lagi pengusaha ladang, Fauzi Abdullah, 52, berkata, kawasan kebun sawitnya yang berkeluasan 1.6 hektar mempunyai pagar kawat berduri namun turut roboh akibat dicerobohi gajah terutama pada waktu malam.

"Sebelum ini, saya tanam pokok getah di kebun sama dan ini percubaan pertama menamam 250 sawit bermula Julai lalu tetapi apakan daya turut sama rugi dimusnahkan gajah.

"Saya buntu memikirkan bagaimana hendak menanam semula sawit kerana modal membeli anak-anak pokok dan upah membina lereng bukit sebelum ini sudah ‘melayang’ sebanyak RM15,000,” katanya.

Pekebun, Manshor Mahmood, 70, yang mengalami nasib sama berharap pihak berwajib mengambil perhatian terhadap masalah dihadapi oleh pekebun di kawasan terbabit.

"Tanaman sawit menjadi antara punca pendapatan kami dan sepatutnya saya dapat menuai hasilnya pada tahun depan, tetapi gajah terlebih dulu memusnahkan kesemua tanaman ini.

"Saya berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu untuk membantu kami seperti menangkap dan memindahkan gajah ini ke kawasan lain supaya penduduk boleh terus mencari punca rezeki dengan berkebun,” katanya.

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/651245

 

Sumber : Sinar Harian

KUALA LANGAT: Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) mengurangkan pekerja asing di ladang kelapa sawitnya secara berperingkat dan menyasarkan seratus peratus warga tempatan dalam sektor tersebut pada 2027.

Dasar tersebut dilaksanakan menerusi Projek Lokal yang akan mengadaptasi teknologi dalam pertanian seperti penggunaan dron untuk membaja dan kawalan serangga serta pemanduan jentera secara kawalan jauh.

Ketua Pegawai Sumber Manusianya, Zulkifli Zainal Abidin berkata, pengurangan tersebut disasarkan dalam tempoh berkenaan melibatkan nisbah pekerja daripada seorang pekerja dalam kawasan seluas 8 hektar kepada 17.5 hektar.

“Objektif projek lokal sebenarnya adalah membawa masuk sebanyak mungkin tenaga tempatan bagi memenuhi kekosongan yang ada di ladang-ladang di seluruh negara.

“Ini berlaku selepas pandemik Covid-19 apabila ramai pekerja asing terpaksa pulang dan ada yang tak dapat masuk (kembali). Pada mulanya kita mengambil tenaga tempatan untuk memenuhi (kekosongan),” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelasnya, selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, mekanisasi yang hendak dilakukan juga bakal mengubah persepsi terhadap pekerjaan di ladang iaitu sukar, kotor dan bahaya (3D).

Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut pekerja asing dikekalkan pada pekerjaan kait tandan buah sawit sehingga teknologi dan mekanisasi bagi aktiviti berkenaan diperkenalkan.

Terdahulu, SD Plantation pada program SD Plantation Future Fest ‘24 menandatangani perjanjian kerjasama (MOA) bersama Universiti Malaya bagi penyelidikan dan pembangunan alat pemotong laser untuk digunapakai bagi kerja-kerja kait tandan buah sawit.

Selain itu, syarikat perladangan tersebut turut menandatangani MOA bersama Institut Perladangan Komoditi Malaysia (IMPAC) bagi program pembangunan pakar-pakar jentera.

Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dalam ucapannya pada majlis tersebut memaklumkan SD Plantation Future Fest ‘24 adalah julung kali diadakan untuk mempamerkan perkembangan terkini teknologi dalam mentransformasikan kerja-kerja perladangan sawit.

“Pada hari ini, penggunaan jentera dan teknologi canggih sudah pun dilaksanakan di ladang-ladang kami. Terdapat juga mesin atau teknologi yang masih diuji sebelum diguna dan dikomersialkan.

“Impian kami adalah untuk membangun ‘Perladangan Masa Hadapan’. Kami percaya, perubahan yang kami impikan itu, bukan sahaja mampu membawa sektor perladangan sawit ke tahap cemerlang, malah akan menarik minat lebih ramai warga tempatan untuk menyertai industri sawit di negara kita,” ujarnya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/02/sd-plantation-sasar-100-peratus-pekerja-ladang-warga-tempatan/#google_vignette

 

Sumber : Utusan

KOTA KINABALU: Koko kekal menjadi tanaman komoditi penting negara dengan sumbangan pendapatan meningkat lima peratus kepada RM8.2 bilion pada tahun lalu berbanding RM7.8 bilion pada 2022.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata sebahagian besar hasil komoditi itu adalah daripada pendapatan eksport produk koko separa siap seperti lemak koko dan serbuk koko.

Katanya, keluasan tanaman koko di negara ini turut mencatat sedikit peningkatan kepada 6,123 hektar pada tahun lalu berbanding seluas 5,985 hektar pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan 138 hektar ini adalah hasil daripada Program Tanaman Baru Koko yang dilaksanakan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM).

"Sabah masih lagi negeri yang mempunyai keluasan tanaman koko terbesar di negara ini iaitu 3,572 hektar atau 58 peratus daripada keluasan tanaman koko Malaysia.

"Sebanyak 89 peratus keluasan tanaman koko Malaysia adalah diusahakan oleh pekebun kecil koko," katanya ketika merasmikan Seminar Kelestarian Rantaian Bekalan Koko Melalui Teknologi Tinggi: Konsultasi Dengan Industri Dalam Teknologi Tinggi Koko 2024 (CICAT 2024), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah; Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada, Cheah Chee Fong.

Kira-kira 200 peserta terdiri daripada wakil industri, penyelidik dan pakar termasuk dari Indonesia menghadiri seminar dua hari itu.

Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, ketika ini pengeluaran biji koko dunia termasuk di Malaysia masih mengalami penurunan atas pelbagai faktor seperti kenaikan harga input pertanian dan serangan ulat serta penyakit.

"Namun, permintaan biji koko dunia adalah semakin meningkat yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan mendadak harga biji koko dunia.

"Di Malaysia, harga biji koko kini mencecah RM17 sekilogram berbanding RM8 pada 2022," katanya.

Beliau berkata, hasil pengeluaran biji koko Malaysia juga tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengisaran tempatan.

Atas sebab itu, katanya LKM melaksanakan beberapa strategi untuk meningkatkan produktiviti koko, antaranya menerusi peningkatan kecekapan pengurusan kebun menggunakan mekanisasi, data digital dan teknologi 'Internet of Thing' (IoT).

"Oleh itu, penganjuran Seminar CICAT2024 ini adalah bertepatan sebagai platform untuk pakar dan pemain industri koko berkongsi maklumat mengenai teknologi terkini yang seterusnya memberi gambaran potensi positif dalam pembangunan sektor koko.

"Penggunaan teknologi untuk pertanian pintar diharapkan dapat menarik minat pengusaha estet atau ladang dan generasi baharu untuk terbabit dalam penanaman koko," katanya.

Sementara itu, Foong Hin berkata menyedari kepentingan mekanisasi, kementeriannya memohon dana Program Mekanisasi yang akan disalurkan ke agensi kementerian termasuk LKM.

Katanya, LKM diperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi tempoh 2024 hingga 2025, selain mengadakan beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama dengan pelbagai agensi, pihak industri dan universiti bagi merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Sempena majlis itu, Foong Hin turut menyaksikan sesi menandatangani MoU di antara LKM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi kerjasama berkaitan penyelidikan, perkongsian sumber dan pembabitan pelajar.

Selain itu, beliau turut melancarkan IoT Sensor Probe iaitu teknologi untuk mendapatkan maklumat nutrisi atau kandungan tanah secara tepat dan cepat hasil kerjasama LKM dengan Salutica Sdn Bhd.

Foong Hin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penanam koko dari Selangor, Mispari Ramli yang memenangi anugerah Silver 'Best-of-50' Pertandingan Antarabangsa Cacao of Excellence (CoEx) 2023 pada 8 Februari lalu di Amsterdam, Belanda.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1214850/koko-sumbang-rm82-bilion-kepada-pendapatan-negara#google_vignette

 

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: BMI Country Risk & Industry Research (BMI), produk di bawah Fitch Solutions Group Ltd telah membuat semakan menaik kepada unjuran untuk harga purata kontrak niaga hadapan minyak sawit bulan ketiga yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2024 kepada RM3,750 satu tan berbanding RM3,515 satu tan sebelum ini.

BMI melalui satu kenyataan berkata ini sebahagiannya, mencerminkan pengukuhan harga berterusan yang bermula pada suku ketiga 2023, yang menyaksikan kontrak itu meningkat sebanyak 23.2 peratus antara permulaan Jun dan permulaan September.

Pada masa yang sama, harga minyak sawit diniagakan lebih kurang dalam jajaran lima peratus daripada RM3,851 satu tan (+/- RM193 satu tan) sejak pertengahan 2022.

Semakan semula unjuran itu, bagaimanapun, menunjukkan penurunan harga daripada paras semasanya hingga 2024, dengan kontrak sawit telah didagangkan pada paras purata RM3,830 setan sehingga 14 Februari 2024.

"Dalam jangka pendek, kami menganggap harga minyak sawit dihadkan berdasarkan trend harga dalam kompleks minyak makan yang lebih luas, jangkaan bagi penuaian kacang soya yang lebih besar di pengeluar utama termasuk permintaan yang lemah di China.

"Lebih-lebih lagi, kesan El Niño, yang dijangka akan berkurangan antara April serta Jun 2024, terhadap keadaan penanaman di Indonesia dan Malaysia dianggap tidak ketara," kata BMI.

Sementara itu, jangkaan peralihan kepada keadaan La Niña antara Jun dan Ogos 2024 boleh mempengaruhi sentimen pasaran, menguji sokongan harga.

BMI berpendapat, purata harga minyak sawit akan menyusut pada 2025 berbanding 2024, mencerminkan asas yang tinggi serta potensi La Niña dalam menyokong penanaman kelapa sawit, tetapi pada masa yang sama telah membuat semakan menaik pada harga ramalannya, kini mengunjurkan bahawa kontrak itu akan didagangkan pada paras purata RM3,500 satu tan.

Bagaimanapun, ia juga mengukuhkan unjuran harganya untuk memperlihatkan kemerosotan dalam kadar pertumbuhan eksport minyak sawit di Indonesia dan Malaysia, yang mencerminkan komitmennya terhadap mandat campuran biodiesel domestik yang lebih tinggi serta peralihan dalam pemacu pertumbuhan pengeluaran kelapa sawit di kedua-dua pasaran.

"Pada pandangan kami, pasaran minyak sawit dunia akan menyaksikan lebihan pengeluaran sebanyak dua juta tan menjelang musim 2023/24, paras terendah dalam tiga musim.

"Kami menjangkakan lebihan ini akan bertambah sehingga jangka sederhana, dengan kemungkinan lebihan 2.5 juta tan metrik menjelang musim 2024/25 dan peningkatan musim ke musim sebanyak 0.2 hingga 0.3 juta tan metrik selepas itu," katanya.

Dari segi harga, ia mengekalkan harga purata minyak sawit tahunan akan menurun sepanjang tempoh ramalannya, mengunjurkan harga purata RM3,400 setan pada 2026, RM3,300 setan pada 2027 dan RM3,205 satu tan pada 2028.

Faktor risiko kepada prospeknya termasuk pembangunan dasar biodiesel, evolusi harga minyak makan alternatif dan usaha pengeluaran yang mampan.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1214863/bmi-semak-naik-harga-minyak-sawit-kepada-rm3750-satu-tan

 

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mewujudkan jawatankuasa teknikal untuk melindungi syarikat tempatan dalam sektor komoditi bagi mendepani isu-isu berbangkit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jawatankuasa teknikal tersebut akan memastikan bahawa syarikat-syarikat Malaysia dalam sektor tersebut akan dapat menjalankan perniagaan mereka serta mengeksport tanpa ada sebarang halangan dari negara luar.

"Hari ini saya telah mengadakan satu perbincangan yang sangat penting bersama Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memastikan produk-produk berkaitan komoditi Malaysia yang dieksport ke luar negara tidak terjejas akibat daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR). "EUDR ini boleh memberi implikasi dan menjejaskan produk-produk sektor komoditi Malaysia untuk dieksport jika kita tidak mematuhinya," kata beliau dalam satu hantaran di laman X malam tadi.

Johari berkata nilai eksport bagi sektor komoditi Malaysia mencecah lebih RM160 bilion setahun dan ia menyumbang sebanyak 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menghasilkan lebih satu juta peluang pekerjaan.

Tambahnya, Malaysia juga berpotensi mendapat persepsi negatif di peringkat global sekiranya tidak melibatkan diri secara langsung dalam menangani isu-isu hutan dan kelestarian alam. - BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jawatankuasa-teknikal-ditubuh-lindungi-syarikat-malaysia-dalam-sektor-komoditi-johari-458484

 

Sumber : Astro Awani