KUALA LANGAT: Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) mengurangkan pekerja asing di ladang kelapa sawitnya secara berperingkat dan menyasarkan seratus peratus warga tempatan dalam sektor tersebut pada 2027.
Dasar tersebut dilaksanakan menerusi Projek Lokal yang akan mengadaptasi teknologi dalam pertanian seperti penggunaan dron untuk membaja dan kawalan serangga serta pemanduan jentera secara kawalan jauh.
Ketua Pegawai Sumber Manusianya, Zulkifli Zainal Abidin berkata, pengurangan tersebut disasarkan dalam tempoh berkenaan melibatkan nisbah pekerja daripada seorang pekerja dalam kawasan seluas 8 hektar kepada 17.5 hektar.
“Objektif projek lokal sebenarnya adalah membawa masuk sebanyak mungkin tenaga tempatan bagi memenuhi kekosongan yang ada di ladang-ladang di seluruh negara.
“Ini berlaku selepas pandemik Covid-19 apabila ramai pekerja asing terpaksa pulang dan ada yang tak dapat masuk (kembali). Pada mulanya kita mengambil tenaga tempatan untuk memenuhi (kekosongan),” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelasnya, selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, mekanisasi yang hendak dilakukan juga bakal mengubah persepsi terhadap pekerjaan di ladang iaitu sukar, kotor dan bahaya (3D).
Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut pekerja asing dikekalkan pada pekerjaan kait tandan buah sawit sehingga teknologi dan mekanisasi bagi aktiviti berkenaan diperkenalkan.
Terdahulu, SD Plantation pada program SD Plantation Future Fest ‘24 menandatangani perjanjian kerjasama (MOA) bersama Universiti Malaya bagi penyelidikan dan pembangunan alat pemotong laser untuk digunapakai bagi kerja-kerja kait tandan buah sawit.
Selain itu, syarikat perladangan tersebut turut menandatangani MOA bersama Institut Perladangan Komoditi Malaysia (IMPAC) bagi program pembangunan pakar-pakar jentera.
Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dalam ucapannya pada majlis tersebut memaklumkan SD Plantation Future Fest ‘24 adalah julung kali diadakan untuk mempamerkan perkembangan terkini teknologi dalam mentransformasikan kerja-kerja perladangan sawit.
“Pada hari ini, penggunaan jentera dan teknologi canggih sudah pun dilaksanakan di ladang-ladang kami. Terdapat juga mesin atau teknologi yang masih diuji sebelum diguna dan dikomersialkan.
“Impian kami adalah untuk membangun ‘Perladangan Masa Hadapan’. Kami percaya, perubahan yang kami impikan itu, bukan sahaja mampu membawa sektor perladangan sawit ke tahap cemerlang, malah akan menarik minat lebih ramai warga tempatan untuk menyertai industri sawit di negara kita,” ujarnya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2024/02/sd-plantation-sasar-100-peratus-pekerja-ladang-warga-tempatan/#google_vignette
Sumber : Utusan