KOTA KINABALU: Koko kekal menjadi tanaman komoditi penting negara dengan sumbangan pendapatan meningkat lima peratus kepada RM8.2 bilion pada tahun lalu berbanding RM7.8 bilion pada 2022.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata sebahagian besar hasil komoditi itu adalah daripada pendapatan eksport produk koko separa siap seperti lemak koko dan serbuk koko.

Katanya, keluasan tanaman koko di negara ini turut mencatat sedikit peningkatan kepada 6,123 hektar pada tahun lalu berbanding seluas 5,985 hektar pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan 138 hektar ini adalah hasil daripada Program Tanaman Baru Koko yang dilaksanakan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM).

"Sabah masih lagi negeri yang mempunyai keluasan tanaman koko terbesar di negara ini iaitu 3,572 hektar atau 58 peratus daripada keluasan tanaman koko Malaysia.

"Sebanyak 89 peratus keluasan tanaman koko Malaysia adalah diusahakan oleh pekebun kecil koko," katanya ketika merasmikan Seminar Kelestarian Rantaian Bekalan Koko Melalui Teknologi Tinggi: Konsultasi Dengan Industri Dalam Teknologi Tinggi Koko 2024 (CICAT 2024), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah; Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada, Cheah Chee Fong.

Kira-kira 200 peserta terdiri daripada wakil industri, penyelidik dan pakar termasuk dari Indonesia menghadiri seminar dua hari itu.

Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, ketika ini pengeluaran biji koko dunia termasuk di Malaysia masih mengalami penurunan atas pelbagai faktor seperti kenaikan harga input pertanian dan serangan ulat serta penyakit.

"Namun, permintaan biji koko dunia adalah semakin meningkat yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan mendadak harga biji koko dunia.

"Di Malaysia, harga biji koko kini mencecah RM17 sekilogram berbanding RM8 pada 2022," katanya.

Beliau berkata, hasil pengeluaran biji koko Malaysia juga tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengisaran tempatan.

Atas sebab itu, katanya LKM melaksanakan beberapa strategi untuk meningkatkan produktiviti koko, antaranya menerusi peningkatan kecekapan pengurusan kebun menggunakan mekanisasi, data digital dan teknologi 'Internet of Thing' (IoT).

"Oleh itu, penganjuran Seminar CICAT2024 ini adalah bertepatan sebagai platform untuk pakar dan pemain industri koko berkongsi maklumat mengenai teknologi terkini yang seterusnya memberi gambaran potensi positif dalam pembangunan sektor koko.

"Penggunaan teknologi untuk pertanian pintar diharapkan dapat menarik minat pengusaha estet atau ladang dan generasi baharu untuk terbabit dalam penanaman koko," katanya.

Sementara itu, Foong Hin berkata menyedari kepentingan mekanisasi, kementeriannya memohon dana Program Mekanisasi yang akan disalurkan ke agensi kementerian termasuk LKM.

Katanya, LKM diperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi tempoh 2024 hingga 2025, selain mengadakan beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama dengan pelbagai agensi, pihak industri dan universiti bagi merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Sempena majlis itu, Foong Hin turut menyaksikan sesi menandatangani MoU di antara LKM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi kerjasama berkaitan penyelidikan, perkongsian sumber dan pembabitan pelajar.

Selain itu, beliau turut melancarkan IoT Sensor Probe iaitu teknologi untuk mendapatkan maklumat nutrisi atau kandungan tanah secara tepat dan cepat hasil kerjasama LKM dengan Salutica Sdn Bhd.

Foong Hin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penanam koko dari Selangor, Mispari Ramli yang memenangi anugerah Silver 'Best-of-50' Pertandingan Antarabangsa Cacao of Excellence (CoEx) 2023 pada 8 Februari lalu di Amsterdam, Belanda.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1214850/koko-sumbang-rm82-bilion-kepada-pendapatan-negara#google_vignette

 

Sumber : Berita Harian