CHANGLUN: Kira-kira 70 penduduk di Felda Laka Selatan, di sini terpaksa beralih daripada menoreh getah pada sebelah pagi kepada waktu malam berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini sejak dua bulan lalu.

Pengerusi Biro Ladang Felda Laka Selatan, Mohd. Jamil Shahbidin, 63, berkata, rata-rata penoreh terpaksa memendekkan tempoh menoreh iaitu dari pukul 7 pagi hingga 9 pagi kerana cuaca panas menyebabkan hasil yang diperoleh sedikit.

“Disebabkan itu, lebih 90 peratus penoreh di sini keluar menoreh pada waktu malam yang mana tempoh menoreh lebih lama kerana cuaca sejuk. Kami akan mula menoreh pukul 9 malam dan kadang-kadang boleh sampai hingga pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui di ladang getah Felda Laka Selatan, malam tadi.

Katanya, tempoh menoreh yang panjang diperlukan memandangkan hasil yang diperoleh ketika pokok getah menggugurkan daun dan mengeluarkan pucuk baharu akan berkurangan.

“Kalau siang, hasil sedikit sebab susu getah menitik dua jam sahaja dan jika malam boleh menitik antara tiga hingga lebih lima jam,” ujarnya.

Penoreh, Rodhi Md. Rejab, 47, berkata, dia juga membuat keputusan untuk menoreh pada waktu malam kerana suhu lebih sejuk.

“Saya rasa lebih selesa menoreh pada waktu malam kerana cuaca sejuk, hasil pun lebih kerana boleh bekerja dalam tempoh lama.

“Pada musim kemarau dan musim daun luruh ini, beza menoreh siang dan malam adalah antara 30 hingga 40 peratus. Contohnya kalau menoreh siang sekarang ini dalam seminggu dapat 200 kilogram (kg) sekerap, kalau malam dalam jangka masa sama akan dapat antara 250 ke 300 kg,” jelasnya yang menoreh di kawasan seluas kira-kira empat hektar.

Namun begitu, katanya, penoreh perlu lebih berhati-hati dengan haiwan berbisa memandangkan kawasan ladang yang gelap-gelita dengan mereka hanya berbekalkan lampu suluh di kepala.

Katanya, menoreh pada waktu malam bukan perkara baharu kerana ia dilakukan kumpulan penoreh di situ setiap kali tiba musim panas.

Seorang lagi penoreh, Mohd Nor Hamid, 75, berkata, dia biasanya akan keluar menoreh bersama dua rakannya selepas waktu isyak hingga awal pagi.

“Waktu siang sekarang ini panas, jadi boleh menoreh sehingga pukul 10 pagi sahaja. Kalau waktu malam boleh dapat lama sikit sebab sejuk,” tambahnya. -UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/02/menoreh-getah-waktu-malam-akibat-cuaca-terlampau-panas/#google_vignette

 

Sumber : Utusan