SIARAN MEDIASIARAN MEDIA

PROGRAM ‘KNOW YOUR RIGHTS, DO IT RIGHT’ 2025

TEKAN KEPENTINGAN AMALAN PERLADANGAN MAMPAN DIIKTIRAF DI PERINGKAT ANTARABANGSA.

 

1. Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Fong Hin telah merasmikan Program ‘Know Your Rights, Do It Right’ Siri 1 Tahun 2025 anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang berlangsung di Hotel Courtyard by Marriott, Melaka. Program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam usaha memerangi isu pemerdagangan manusia dan buruh paksa, khususnya dalam sektor perladangan melalui aktiviti libat urus berterusan bersama pihak industri.

 

2. Pada tahun ini, KPK dengan kerjasama pihak Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO), melaksanakan aktiviti atau program berkaitan pencegahan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia. Program ini bertujuan memberikan penerangan dan pencerahan kepada pihak industri berhubung hak dan tanggungjawab majikan serta pekerja, isu pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak selaras dengan perundangan negara dan piawaian antarabangsa.

 

3. Sesi ini meliputi taklimat dan penerangan berkaitan amalan perburuhan terbaik dan beretika di sektor perladangan oleh penceramah daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan wakil syarikat SD Guthrie Berhad. Penceramah dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijemput bagi memberi penerangan mengenai kaedah pencaruman wang simpanan pekerja bagi pekerja bukan warganegara yang bakal dilaksanakan pada bulan Oktober 2025. Manakala, pihak Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) memberi taklimat mengenai Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) sektor perladangan.

 

4. Berdasarkan statistik semasa, lebih 75% tenaga kerja dalam sektor ini terdiri daripada pekerja asing. Kebergantungan tinggi yang berterusan terhadap pekerja asing boleh mewujudkan pelbagai isu dan risiko termasuklah peluang eksploitasi dan buruh paksa. Justeru, program ini adalah untuk memastikan majikan di sektor perladangan mematuhi undang-undang perburuhan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 serta memastikan pematuhan kepada amalan perladangan mampan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

5. KPK melalui inisiatif pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) telah menggariskan piawaian yang ketat dalam memastikan syarikat perladangan sawit dan pekebun kecil tidak terbabit dalam amalan buruh paksa. Mengikut data rasmi terkini setakat 30 Jun 2025, sebanyak 89.6%atau 5.03 juta hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia telah disahkan di bawah pensijilan MSPO. Pencapaian ini menunjukkan komitmen berterusan industri sawit negara dalam memastikan pematuhan kepada amalan perladangan mampan selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

6. Malaysia telah dinaikkan ke Tier 2 sebagai pengiktirafan terhadap usaha pencegahan, pendakwaan dan perlindungan pekerja dalam Laporan Trafficking in Persons (TIP) 2024 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS). Pencapaian ini menunjukkan komitmen berterusan dari semua pihak dalam menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa.7. Kementerian menyeru semua pemain industri agar memperkukuhkan sistem penggajian di sektor perladangan berlandaskan prinsip etika dan hak asasi, serta mengamalkan amalan perladangan mampan selaras dengan pensijilan MSPO, bagi memastikan industri perladangan terus berkembang secara berdaya saing dan berintegriti.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITIKEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

4 OGOS 2025