KENYATAAN MEDIA

RM2.8 JUTA DANA UNTUK TRANSFORMASI OPERASI DAN PENDIGITALAN INDUSTRI KAYU-KAYAN


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menghadiri perjumpaan dengan para pemain industri kayukayan pada Sesi Dialog Bersama Industri Pekayuan dan Majlis Iftar Ramadan di Hotel La Crista, Melaka. Majlis ini turut dihadiri EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, YB Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mewakili Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama (Dr) Sulaiman Md Ali.

2. Sesi kali ini adalah yang kedua dalam siri Jerayawara Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) 2021 selepas YB Menteri berdialog dengan pemain industri kayu-kayan di Kuala Lumpur pada 3 Mei 2021. Sesi berkenaan adalah untuk memberi taklimat tentang perkembangan pasaran terkini di samping langkah dan usaha mengukuhkan lagi kedudukan industri perkayuan di persada dunia.

3. Sebagai subsektor ketiga terbesar selepas sawit dan getah, industri kayu-kayan berdepan dengan pelbagai cabaran baharu termasuk cabaran Revolusi Industri 4.0. MTC telah memperuntukkan RM2.8 juta dari dana pembangunan RM28.3 juta untuk membantu industri mentransformasikan operasi mereka ke arah penggunaan automasi dan pendigitalan.

4. Ini bagi mengurangkan kebergantungan industri kepada tenaga buruh asing dan membuka peluang pekerjaan yang lebih kepada tenaga tempatan. Sehingga kini, sektor perkayuan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 140,000 pekerja yang berkhidmat di 3,500 kilang berasaskan kayu di seluruh negara.

5. Selain itu, MTC turut menyediakan Program Bantuan Eksport (EAP) dengan dana RM1 juta kepada pengeksport produk kayu Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengurangkan beban kos pengangkutan laut yang melambung tinggi akibat kesan pandemik COVID-19.
1

6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkarap dengan wujudnya program serta insentif pembangunan MTC, ia dapat membantu lebih 30 pengusaha dan pengilang kayu di Melaka bagi meningkatkan lagi prestasi pengeluaran produk kayu yang bernilai tinggi demi kelangsungan perniagaan dan ekonomi negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Melaka
6 Mei 2021