KENYATAAN MEDIA
KERJASAMA ANTARA AGENSI, INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DIPERGIATKAN BAGI PEMBANGUNAN INDUSTRI KOKO
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menyaksikan majlis menandatangani memorandum mengenai kerjasama di antara Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Bagan Datuk dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
2. Memorandum Perjanjian (MOA) di antara LKM dan PPK Bagan Datuk adalah untuk melaksanakan Projek Pembangunan Lestari Tanaman Koko secara integrasi dengan tanaman kelapa meliputi kawasan tanah di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko (PPPK) LKM, Bagan Datuk seluas 28.3 hektar. PPK Bagan Datuk akan mengusahakan tanaman manakala LKM akan memberi khidmat nasihat teknikal penanaman koko secara integrasi dan memastikan konsep tanaman integrasi ini mendapat pulangan yang menguntungkan. Usaha tanaman secara ‘mini estet’ ini akan dijadikan rujukan untuk rancangan kerjasama LKM dengan lain-lain agensi dan syarikat di masa hadapan.
3. Manakala Memorandum Persefahaman (MOU) di antara LKM dan UMP adalah kerjasama untuk menjalankan kajian penyelidikan bagi menghasilkan ekstrak koko, membangunkan produk penjagaan kesihatan berasaskan ekstrak koko serta membangunkan teknologi enose sensor (menggunakan sistem Artificial Intelligent) untuk memperkasakan pemeriksaan kualiti biji koko melalui pengecaman bau, rasa serta profil bahan aktif.
4. Melalui kerjasama ini, hasil penyelidikan dan maklumat-maklumat berkaitan koko yang dikumpul oleh LKM akan dapat digunakan untuk membangunkan produk akhir dan teknologi yang lebih baik melalui perkongsian kepakaran pihak UMP. Selain itu, kerjasama ini akan meningkatkan kemahiran dan kepakaran para penyelidik serta para pelajar universiti.
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui LKM kini sedang dalam perancangan dan peringkat rundingan untuk mengadakan beberapa kerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan, pihak industri dan universiti dalam usaha memperluaskan tanaman koko serta pembangunan teknologi dan produk berasaskan koko.
6. KPPK berharap melalui perancangan dan starategi yang betul, usaha mengembalikan kegemilangan tanaman koko negara dapat dicapai dan industri huluan serta hiliran koko mampu menyumbang kepada ekonomi negara dengan jumlah yang signifikan sebegai salah satu komoditi utama dalam jangka masa panjang.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Kuala Lumpur
22 April 2021